Friday, October 24, 2008

"Small paradise that not many knows"

21 oktober 2008

Malam ini, saya bekerja seperti biasa. Pelajar yang datang untuk makan di Dewan Makan Tillet pada hari ini tidaklah seramai mana. Pekerja-pekerja yang hadir pula lebih dari mencukupi . Suasana ini memberikan ruang kepada saya untuk berborak dengan rakan-rakan sekerja yang lain.

Walaupun saya telah bekerja di sini lebih dari tiga minggu, namun saya masih belum mengenali semua pekerja di sini. Mungkin kerana terlampau malas untuk berbahasa Iggeris ditambah pula dengan perasaan tidak yakin untuk bercakap dengan fasih membuatkan saya tidak berbual dengan mereka. Sehinggakan saya dimarah oleh seorang pekerja kerana menjadi terlalu pendiam. Sesungguhnya, saya kerap berdoa agar diberikan kekuatan dan keyakinan untuk bertutur dalam bahasa asing ini dengan lancar. Insya Allah.

Pada hari itu, tidak tahu mengapa, ada seorang pekerja wanita Cina tiba-tiba menegur kami (saya bekerja dengan seorang lagi rakan pada masa itu). Beliau berkata bahawa beliau pernah melancong ke Malaysia kerana beliau tahu bahawa kami berasal dari sana. Beliau bercerita mengenai perkara-perkara menarik yang beliau alami ketika melawat Malaysia.

Antaranya mengenai kepelbagaian makanan yang beliau jumpa semasa di Malaysia Beliau berkata bahawa makanan di Malaysia semuanya sedap-sedap. Yang paling beliau ingat ialah sate dan juga ikan bakar di dalam daun pisang. Beliau sanggup bersusah=payah pergi ke merata tempat di Malaysia hanya untuk mencari makanan-makanan istimewa lain yang Malaysia sediakan.

Kemudian, beliau melawat kawasan-kawasan menarik yang terdapat di sana. Antaranya ialah pantai-pantai, makan di atas bukit yang nyaman, KLCC, menaiki Menara Kuala Lumpur, dan pelbagai lagi tempat yang menarik. Tetapi yang beliau kesali ketika pulang dari Malaysia ialah beliau terlupa untuk membeli patung yang memakai pakaian kebangsaaan rakyat Malaysia sebagai kenang-kenangan.

Kebiasaannya, apabila beliau melancong ke negara lain, beliau akan membeli patung yang memakai pakaian tradisional masyarakat tempatan sebagai cenderahati. Tetapi, apabila melancong ke Malaysia, beliau terlupa untuk mencarinya kerana terlampau banyak perkara menarik yang boleh beliau lakukan dan juga terlalu banyak makanan yang perlu beliau cuba. Akhirnya, beliau terlupa untuk mencari patung tersebut untuk dijadikan bukti kehadiran beliau di Malaysia.

Beliau meminta kepada kami jika kami ingin pulang ke Malaysia, jangan lupa belikan patung tersebut sebagai hadiah untuk beliau. InsyaAllah kami tidak lupa. Kemudian beliau mengungkap satu ayat yang membuatkan saya betul-betul menghargai Malaysia.

"Malaysia is like a small paradise in this world. But not many people know"

Ayat tersebut membuat saya gembira sebagai rakyat negara tetapi pada masa yang sama, membuatkan saya menyedari akan suatu perkara.

Sebelum ini, saya hanya menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak punya banyak kelebihan yang mampu membuatkannya dikenali di seluruh dunia. Saya juga sering merungut terhadap cuaca Malaysia yang terlampau panas. Inilah ketidak-syukaran saya terhadap nikmat Allah yang dikurnakanNya kepada Malaysia yang tidak dikurniakan kepada tempat-tempat lain di dunia ini. Astaghfirullah al-azim.

Apabila sampai di bumi Amerika ini, baru saya sedari akan nikmat tersebut dan betapa bodohnya saya kerana tidak pernah betul-betul menghayati nikmat tersebut. Hanya setelah menggigil kesejukan di sini, baru wujud perasaan rindukan nikmat haba dan hanya setelah kempunan terhadap sate dan kuah kacang di sini, baru wujud kecintaan terhadap masakan tradisional.

Ucapan wanita Cina ini betul-betul membuat saya berfikir kembali. Tidak kiralah jika hujan emas intan berlian sekalipun di negeri orang, negeri sendiri pula hanya hujan batu, negeri sendiri tetap sentiasa lebih baik. Maha Suci Allah yang telah menciptakan sesuatu perkara sebagai nikmat kepada sesuatu umat di tempat itu dan ciptanNya tidak pernah sia-sia.

Masya Allah.

Wednesday, October 22, 2008

Answer to anger is silence



22 october 2008

Recently, in these past five days, sometimes my heart felt a little bit unease. I do not know what is the reason, but what I am sure is, there is a terrible feeling inside my heart. Maybe his uncomfortable feeling started when I joined trip to Washington DC.

Last Saturday, my friends from my university and I went to Washington DC to celebrate Eid Mubarak at Malaysia Embassy. We rented two mini vans to accommodate all 14 people of us. Alhamdulillah, our way all along to DC was safe and quite enjoyable.

When we arrived there, Pn Anora and her husband, En Shaid, (both of them are from MSD) greet us with a warmest welcome I had ever experienced. We planned to stay for a couple of nights in their home . But some of us had to go back early since one of us had to work on Sunday evening.

During the trip, I realized one thing; I talked too much until some of my friends felt annoyed with me. Maybe it was just me or maybe they really showed the sign that they got tired of my babbling.

After, I just stay quite. It is not good to feel that people is getting angry with you. When I felt the feeling that I made people annoyed with me, I started to get angry.

It is not that I was mad with them. It is just that I always blame myself for not being sensitive about other's feeling and just do things as I pleased.

During the whole trip, I've tried to control myself to talk less. Although some of them still felt irritated with me, I cannot do anything about it. Maybe I should ask for apologize but I afraid that they might tell me that I am too sensitive.

At the end, the moral of the story that I can get is; don't talk too much. There is a saying that says "silence is golden" or "silence is prudence". Maybe I should keep this saying inside of my head from now on. I hope that I can be a better person with less words but more on actions.

InsyaAllah.


Tuesday, October 14, 2008

Kekalutan di dalam masjid

7 Oktober 2008

Hari ini saya bercuti. Setiap minggu, hari selasa sememangnya hari yang saya tunggu kerana saya tidak perlu ke kelas. Maka, bolehlah saya membuat apa-apa aktiviti yang saya tidak boleh lakukan di hari yang lain.

Hari ini, saya bercadang hendak ke masjid untuk bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah. Sudah agak lama juga semenjak kali terakhir saya bersolat maghrib dan isyak di masjid. Yang kali terakhir itu pun saya datang kerana mengejarkan hidangan buka puasa percuma yang disediakan di situ di sepanjang bulan Ramadhan. Kemudian, saya bersolat tarawikh bersama jemaah-jemaah yang lain.

Lebih kurang pukul 6.00 petang, saya pun bergerak ke stesen bas yang berdekatan. Waktu maghrib akan tiba tidak lama lagi; lebih kurang pukul 6.30 petang. Saya pula terpaksa bertukar 2 bas untuk sampai ke masjid tersebut. Bergerak 30 minit sebelum masuk waktu sebenarnya sudah agak lewat. InsyaAllah, saya akan sempat tiba sebelum solat jemaah dimulakan.

Angin sejuk musim luruh bertiup pada petang itu membuatkan saya terpaksa berjalan dengan laju. Entah mengapa, saya terlupa membawa baju sejuk hari ini. Mungkin kerana teringatkan waktu tengah hari tadi yang agak panas, maka saya memikirkan malam itu juga akan menjadi panas. Sangkaan saya meleset. Akibatnya, saya menggigil sendirian.

Alhamdulillah, setibanya di masjid, solat maghrib berjemaah masih belum dimulakan. Saya pun meletakkan beg saya di belakng dewan solat dan terus menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid terlebih dahulu sementara menunggu iqamah dilaungkan.

Habis sahaja solat maghrib, selepas menuanaikan solat sunat rawattib, saya duduk-duduk di sekitar dewan solat. Masih ada 1 jam sebelum solat isyak dimulakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk membelek-belek Al-Quran yang sudah agak lama saya tinggalkan.

Terasa bersalah pula kerana akibat terlampau sibuk dengan urusan dunia, banyak urusan akhirat saya tinggalkan. Saya beristighfar didalam hati disamping menanam azam untuk terus melakukan tugasan saya sebagai hamba Allah tidak kira sesibuk mana pun kehidupan saya.

Akhirnya, iqamah isyak berkumandang. Saya pun berpusu-pusu bersama jemaah lain memenuhkan saf-saf dihadapan. Habis sahaja solat, kami berwirid bersendirian kerana memang menjadi amalan disini untuk berwirid secara individu.

Selepas menunaikan solat rawattib selepas isyak, saya kembali membelek-belek Al-Quran. Tiba-tiba, seorang imam datang dan duduk tidak jauh dari saya diikuti dengan beberapa jemaah lain. Kemudian, imam tadi membaca beberapa hadis disamping menerangkan maksud hadis-hadis tersebut kepada jemaah-jemaah tadi.

Saya pun turut mendengar penjelasan imam tersebut terhadap hadis-hadis yang dibacanya. Pada mulanya, mereka berbincang didalam bahasa Inggeris, maka bolehlah saya memahaminya. Tidak lama selepas itu, salah seorang dari mereka menanyakan soalan kepada imam tersebut di dalam bahasa Urdu (bahasa rakyat Pakistan). Imam itu pun menjawab kembali pertanyaan tersebut di dalam bahasa Urdu juga.

Apabila saya menyedari saya sudah tidak boleh memahami perbincangan mereka, saya pun pergi meninggalkan jemaah tersebut. Selepas mengambil beg saya yang berada di belakang ruang solat, saya pun terus menuruni tangga dan menuju ke pintu keluar.

Apabila saya sampai di pintu keluar, saya terdengar bunyi tapak kaki yang agak deras seolah-olah sedang berlari. Kemudian saya memandang ke belakang. Terlihat salah seorang daripada jemaah tadi berlari dengan lajunya ke arah saya dengan muka yang mencemaskan.

Saya pun terfikir-fikir jika saya ada melakukan apa-apa kesalahan sehinggakan hamba Allah ini mengejar saya sepenuh hati. Saya periksa beg saya kerana saya mungkin tersalah mengambil beg beliau. Tidak pula. Ini memang beg saya. Apabila melihat hamba Allah ini semakin hampir, saya dengan kelam-kabutnya cuba membuka pintu untuk melarikan diri dari beliau. Tidak tahu mengapa saya tiba-tiba menjadi sangat takut.

Tiba-tiba, pintu masjid terasa berat pula untuk dibuka. Hati saya bertambah takut. Didalam hati, saya berdoa agar saya dilepaskan dari masalah ini. Bunyi tapak kaki hamba Allah tadi semakin kuat kedengaran menambahkan lagi perasaan cemas.

Akhirnya, saya berjaya membuka pintu tersebut, tetapi sudah terlambat. Hamba Allah tadi berjaya "menangkap" saya. Dengan hati yang berdebar-debar, saya cuba memberanikan diri memandang muka beliau. Kemudian, beliau menanyakan nama saya di samping memperkenalkan diri beliau sebagai Shadiq. Kami pun bersalaman.

Kamudian beliau bertanyakan dari mana asal saya, sudah berapa lama di tanah Amerika ini, kerapkah saya ke masjid dan macam-macam lagi. Rupa-rupanya, beliau hanya ingin berkenalan dengan saya. Kata beliau, beliau sering ternampak saya di masjid tersebut sewaktu bulan Ramadhan tetapi tidak sempat bertegur sapa. Maklumlah, muka orang Melayu memang sukar dilihat disini dan boleh dikatakan agak unik. Maka kami mudah untuk dicam.

Selepas bertukar-tukar nombor telefon, saya pun meminta izin untuk beransur. Selepas kejadian tadi, saya sedikit berasa kagum dengan jemaah disini. Mereka sanggup mengejar saya sepenuh hati hanya untuk bertanyakan khabar mengenai saudaranya yang lain (walaupun saya pada mulanya berasa takut akibat dikejar).

Mungkin beliau berbuat demikian kerana terlihat saya meninggalkan masjid selepas tidak dapat memahami bahasa mereka. Mungkin juga beliau berasa bersalah kerana bercakap di dalam bahasa mereka sedangkan ketika itu ada jemaah yang tidak boleh memahaminya.

Alhamdulillah, walaupun adegan tadi berjaya membuatkan saya berasa sangat cemas, sekurang-kurangnya saya dapat berkenalan dengan seorang hamba Allah disini.

Sepanjang perjalanan pulang, saya hanya tersenyum sendirian memikirkan kekalutan yang saya lakukan di masjid tadi. Tiba-tiba saya terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh Shadiq apabila melihat saya cuba melarikan diri dari beliau tadi dengan keadaan tergopoh-gapah?

Saya kembali tersenyum sendirian.

p/s : maaf, tiada sebarang gambar yang boleh saya letak untuk post ini.

Thursday, October 9, 2008

Pekerja asing di bumi asing

9 Oktober 2008

Selepas sahaja pulang dari kelas Bahasa Jepun, lebih kurang pukul 4.20 petang, saya terus bergegas ke perhentian bas yang berdekatan. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup di petang musim luruh ini. Malam semalam hujan turun agak lebat. Kehadiran hujan sedikit sebanyak mengawal suhu supaya tdak terlampau sejuk. Syukur kerana Allah masih membenarkan hujan untuk turun di bandar New Brunswick ini. Tidak perlulah kami memakai baju-baju yang tebal untuk ke kelas.

Saya berdoa didalam hati agar saya sempat sampai ke kampus Livingston sebelum pukul 5.00. Mujurlah bas ekspress ke Livingston tiba tidak lama kemudian.

Apabila tiba di sana, masa baru sahaja menunjukkan pukul 4.40 petang. Masih ada 20 minit sebelum saya memulakan sesi pertama saya sebagai seorang pekerja asing di bumi yang asing ini. Setibanya saya disitu, saya mecari-cari jika ada tempat untuk saya duduk dan menulis. Saya terlupa bahawa ada pelbagai borang yang perlu diisi sebelum saya boleh memulakan kerja saya hari ini. Maklumlah, saya disini hanyalah sebagai pendatang yang masih belum mempunyai banyak hak. Maka, ramai orang masih tidak yakin dengan kewujudan diri ini. Alhamdulillah, jumpa juga saya dengan sebuah meja dan beberapa kerusi.

Habis mengisi borang-borang yang beraneka soalan, saya terus bergerak menuju ke dewan makan pelajar-pelajar Livingston. Di situlah tempat yang akan saya bekerja untuk mendapatkan seberapa banyak pengalaman dan sedikit harta dunia untuk terus hidup di tempat asing ini.

Sesampai sahaja di dewan makan tersebut, saya terus berjumpa dengan seorang pengurus pelajar di situ. Beliaulah yang menerima permintaan saya untuk bekerja di situ beberapa hari yang lepas. Walaupun beliau merupakan seorang orang kulit hitam dan bukan Islam, tetapi beliau sangat peramah dan cuba membantu saya seupaya mungkin. Beliau juga menunjukkan kepada saya ruang untuk bersolat kerana beliau kenal dengan senior saya yang pernah dan akan bekerja di situ kembali.

Subhanallah. Walaupun pengurus ini bukan seorang Muslim, tetapi beliau sangat memahami kami melebihi Muslim-Muslim yang pernah saya kenal sebelum ini. Bukan untuk menghina, tetapi kadang-kala terkilan dengan sikap saudara seagama sendiri yang memandang remeh ibadah solat. Mudah-mudahan, Allah membuka pintu hati pengurus ini untuk menerima Islam suatu hari kelak.

Semasa saya cuba menanyakan soalan-soalan tentang kerja tersebut, beliau kurang memahami percakapan saya kerana Bahasa Inggeris saya yang masih lemah. Terasa segan pula kerana sebagai seorang pelajar universiti di sini, saya masih kurang fasih berbahasa Inggeris.

Sebelum saya mula bekerja, pengurus tadi memberi saya sehelai T-shirt dan sebuah topi. Selepas itu, beliau menerangkan beberapa perkara yang perlu saya tahu sebelum saya boleh memulakan tugas termasuklah cara menggunakan mesin "punch-card", tugas-tugas biasa yang perlu dilakukan, kebersihan, kawasan-kawasan persekitaran dewan makan dan sebagainya. Kemudian, saya diserahkan kepada pengurus yang lain.

Beliau merupakan seorang orang kulit putih, bersikap santai, tetapi sangat peramah. Di dalam bimbingan beliau, saya belajar beberapa perkara lagi. Beliau menunjukkan kepada saya cara mengisi makanan yang telah habis, dimana makanan-makanan tersebut perlu diambil dan juga cara membuat piza!

Pada mulanya, saya berasa agak ralat untuk membuat piza tersebut kerana kebanyakan bahan-bahannya dibuat dari daging khinzir. Mujurlah kami dikehendaki memakai sarung tangan. Maka saya tidak perlu memegang daging tersebut secara terus. Di dalam hati, terasa sedikit tercabar iman ini kerana terpaksa memegang sesuatu yang dilarang oleh Islam. Beberapa lama kamudian, saya mula biasa membuat piza-piza tersebut tetapi saya lebih banyak membuat piza sayuran dan piza kosong. Apabila ruangan untuk meletak piza sudah penuh, saya berhenti dan mencari tugasan lain.

Tepat jam 7.00 malam, saya dibenarkan untuk berehat dan makan. Dikesempatan ini, saya tunaikan solat Maghrib dan mengisi perut yang mula berbunyi. Mulanya, saya ragu-ragu untuk makan makanan-makanan di situ (kerana banyak daging yang tidak halal), tetapi nasib baik ada sebuah kaunter yang menyediakan makanan-makanan "vegetarian". Terisi juga perut ini dengan makanan-makanan "vegetarian" walaupun tekak Melayu ini masih belum biasa dengan makanan-makanan tersebut.

Apabila terpaksa makan berseorangan, timbul perasaan sayu dalam hati. Mahu berbual, tiada teman. Jika terjumpa pun, mungkin saya akan menghadapi masalah komunikasi gara-gara masih tidak fasih bercakap dalam Inggeris.

Terdetik pelbagai persoalan tentang bekerja sebagai pekerja asing di bumi orang ini. "Inikah perasaan seorang yang terpaksa bekerja sebagai pekerja asing?", "Inikah pengalaman yang terpaksa mereka tempuh?", "Bagaimana mereka boleh bertahan hidup sebagai orang asing di tempat uang tidak mereka biasa ini?". Macam-macam lagi persoalan yang bermain di kotak fikiran yang kecil ini.

Terasa insaf pun ada. Teringat sewaktu berada di tanah air sendiri dahulu. Saya sering memandang serong kepada pekerja-pekerja asing. Di dalam pemikiran saya, mereka hanyalah penyibuk di tempat orang. Mereka juga perampas kerja-kerja yang sepatutnya diberikan kepada anak tempatan. Astaghfirullah. Jikalah saya menyedari kesusahan yang terpaksa mereka hadapi, pada masa itu, mungkin saya tidak akan berfikir seperti begitu.

Sebaliknya, mugkin saya akan lebih menghoramti merek kerana sanggup berkorban meninggalkan kampung halaman demi mencari rezeki Allah di tanah orang. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, saya menyedarinya sekarang daripada tidak menyedarinya langsung.

Selepas sahaja rehat, saya kembali menyambung tugas. Tepat jam 10.00malam, saya pun keluar dari dewan makan tersebut dengan harapan baru; iaitu menjadi manusia yang lebih tabah dan lebih memahami jiwa dan perasaan orang lain.

Walaupun kaki dan badan terasa kepenatan, tetapi saya berpuas hati dengan pengalaman pertama saya sebagai seorang pekerja asing di bumi asing ini.
Pemandangan di sekitar kampus Livingston

Wednesday, October 8, 2008

Hari ini dalam sejarah 2



Sambungan....

Beliau menambah, keputusan yang beliau dapat itu kemungkinan disebabkan niat beliau sewaktu ingin mengambil pepriksaan tersebut. Beliau membayangkan, apabila beliau mendapat keputusan SPM, beliau akan ke surau untuk menunaikan solat sunat di samping melakukan ibadah-ibadah yang lain sebagai tanda kesyukuran. Subhanallah.

Berbeza sekali dengan saya. Saya cuma dapat membayangkan saya akan menghabiskan hari tersebut dengan kawan-kawan sekolah di pusat-pusat membeli-belah. Maklumlah, mungkin hari tersebut akan menjadi hari terakhir untuk kami bersama. Betapa kurangnya kesedaran saya pada masa tersebut. Alhamdulillah. Sekarang, saya sudah mempelajari sesuatu dari beliau. Akan saya aplikasikan dalam kehidupan saya dimasa kelak.Yakni bersyukur terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah.

Setelah diam seketika, sahabat saya ini kembali menyambung perbualan. Beliau bercerita pula ketika beliau mendapat tawaran-tawaran biasiswa dan universiti-universiti dahulu. Sewaktu surat-surat yang amat berharga bagi kebanyakan orang itu sampai kepada beliau, beliau sedang bekerja di sebuah kilang. Bapa beliaulah yang menerima surat-surat tersebut dan menghantarnya kepada beliau di kilang terbut.

Apabila surat-surat tersebut sampai ke tangan beliau, surat-surat tersebut hanya diletakkan di celah-celah mesin yang berderum-deram. Untuk membukanya pun, beliau hanya boleh curi-curi baca kerana sibuk dengan kerja beliau di kilang tersebut.

Bagi orang-orang lain, mungkin mereka akan menyimpan surat-surat tersebut sebaik mungkin (termasuklah saya). Tetapi bagi beliau yang sedang bekerja untuk menampung hidup yang serba sederhana, surat-surat itu hanya dapat "dilayan" sekadar boleh.

Lagi sekali, perasaan kagum tadi muncul. Teringat kembali sewaktu saya menerima surat-surat temuduga dari pelbagai jabatan dan syarikat yang menawarkan biasiswa. Gembira di hati bukan kepalang. Walaupun hanyalah temuduga, tetapi saya sudah kecoh dan menunjuk-nunjuk surat-surat tersebut kepada semua ahli keluarga saya sehinggakan kakak saya menempelak "Berlagaklah kau!".

Begitu berlainan sekali kisah kami berdua. Ketika mendapat surat tersebut, hati saya penuh dengan perasaan takabbur manakala beliau hanya bersikap tawadduk. Keinsafan tiba-tiba muncul di dalam diri. Terasa hina diri ini kerana menjadi begitu bongkak terhadap kurniaan Ilahi yang boleh dirampasNya bila-bila masa.
Beliau menyambung lagi, sewaktu ingin menghadiri temuduga biasiswa Petronas, beliau hanya menaiki bas di tengah-tengah malam. Apabila beliau tiba di stesen bas yang berdekatan dengan Universiti Petronas, beliau hanya berseorangan di tengah-tengah keheningan malam. Beberapa lama kemudian, barulah terlihat kelibat orang-orang lain yang turun dari bas memenuhi ruang tersebut. Cukuplah untuk menjadi peneman beliau daripada berseorangan di situ.

Bapa beliau tidak dapat menghantar beliau kerana masalah kewangan yang teruk. Mujur beliau masih diberi peluang untuk tetap hadir ke temuduga itu. Sesungguhnya benarlah kata-kata bahawa rezeki di tangan Allah. Alhamdulillah. Beliau berjaya memperoleh biasiswa tersebut tetapi beliau tolak kerana mempunyai pilihan yang lebih baik.

Di dalam akal fikiran, dapat saya bayangkan suasana sewaktu bersendirian di stesen bas di tengah malam. Betapa sunyinya suasana tanpa teman berbicara. Sekali lagi saya berdoa agar saya dikurniakan semangat untuk terus berjuang di bumi perantauan ini walaupun jika saya terpaksa bersendirian . InsyaAllah.

Habis sahaja beliau berbicara, keretapi kami pun selamat tiba di stesen Secaucus, stesen transit kami untuk ke Hoboken. Kami pun bergerak meredah sejuk di luar keretapi dan menuju ke ruang menunggu untuk menanti keretapi seterusnya.

Tamat

Tuesday, October 7, 2008

Raya di New Brunswick

2 Oktober 2008

Hari ini merupakan hari kegembiraan bagi kebanyakan rakyat Muslim di Malaysia. Begitu juga kami di New Brunswick, New Jersey. Walaupun ramai di antara kami mempunyai kelas pada hari tersebut, namun perasaan ingin menyambut raya di perantauan mengatasi perasaan risau akan lambat ke kelas.

Malam sebelumnya, saya dan beberapa sahabat bergerak ke masjid berdekatan untuk mengetahui bilakah tempat ini akan menyambut 1 Syawal. Alhamdulillah. Pengumuman yang dibuat mengatakan bahawa anak bulan sudah muncul. Ini menujukkan 1 Syawal telah tiba. Selesai sahaja pengumuman tesebut, kami terus bergerak ke rumah sahabat kami di sebuah apartment universiti yang berdekatan dengan masjid. Sebelum itu, kami sempat bersalaman dan mengucapakan "Eid Mubarak" kepada beberapa saudara Muslim yang kami kenal di masjid tersebut.

Tiba sahaja di rumah sahabat kami, kami terus merancang aktiviti yang akan kami lakukan untuk menyambut Hari Raya pada keesokan harinya. Selesai sahaja keputusan dibuat, kami bergegas mengumpul bahan-bahan masakan dari rumah kami masing-masing. Jarak di antara rumah-rumah agak jauh. Jadi, kami terpaksa meminjam kereta sahabat kami yang tinggal berhampiran masjid ini. Syukur kerana kami ada kemudahan ini.

Keesokan harinya, seawal 6 pagi, kami sudah bangun dan bersiap-siap untuk bersolat sunat Aidil Fitri di masjid. Di tengah-tengah kedinginan pagi musim luruh, kami bergerak ke masjid dengan memakai baju Melayu dan baju kurung (bagi wanita).

Selesai solat, kami menjamu selera di padang permainan di belakang apartment sahabat kami. Dengan soto dan lontong yang di masak pada malam sebelumnyaoleh para-para wanita, kami sambut Aidil Fitri pertama kami sebagai perantau di bumi Allah.

Hari ini dalam sejarah

4 Oktober 2008

Di petang yang dingin ini, di bandar New Brunswick, New Jersey, saya bersama seorang sahabat saya ingin bergerak ke bandar New York. Jarak di antara universiti kami dengan bandar New York hanyalah lebih kurang sejam setengah dengan menaiki keretapi. Walaupun saya akan menghadapi peperiksaan Organic Chemistry dan Genetic pada lusanya, namun saya beranikan jua diri ini demi merasai nikmat beraya di perantauan.

Pada asalnya, kami ingin menaiki keretapi seawal yang boleh. Tetapi memandangkan maghrib hampir tiba, kami tangguhkan dahulu perjalanan kami demi memberi ruang untuk bersolat terlebih dahulu. Selesai sahaja bersolat maghrib di rumah masing-masing (masjid yang paling dekat pun perlu menaiki 2 bas), kami bergerak ke stesen keretapi. Sebelum itu, kami singgah di sebuah restoran halal yang agak murah untuk makan malam. Kemudian, kami singgah di sebuah bank untuk mengeluarkan sedikit tunai kerana kami sudah kehabisan tunai.

Tepat jam 9.30 malam, kami pun bergerak ke Hoboken, tempat yang sering kami singgah untuk bermalam sebelum kami masuk atau selapas kami keluar dari bandar New York. Nasib baik ramai kawan kami belajar di sebuah universiti di sini. Dapatlah kami bermalam secara percuma jika berlaku apa-apa masalah di New York.

Semasa di dalam keretapi, pelbagai perkara kami bualkan termasuklah akademik, keluarga, masa hadapan dan lain-lain topik. Saya juga sering bertanya mengenai banyak perkara kepada sahabat saya kerana beliau juga merupakan senior saya.

Setelah agak lama berbual, sahabat saya ini menceritakan kisah silamnya sewaktu beliau di sekolah. Beliau menceritakan bahawa beliau sering mendapat markah tertinggi di sekolah beliau, beberapa kali beliau naik ke pentas untuk menerima hadiah, dan lain-lain. Di dalam hati kecil ini, wujud perasaan dengki kepada beliau, tetapi saya diamkan.

Selepas itu, beliau bercerita mengenai zaman sekolah rendah beliau. Beliau bercerita bagaimana di sekolah rendah, beliau terpaksa pergi ke sekolah seawal 4 pagi kerana menurut kehendak pekerjaan bapa beliau. Di dalam hening pagi itu, beliau bersama adik-beradik beliau yang lain terpaksa berhimpit-himpit di dalam sebuah lori yang sarat dengan kelapa. Apabila mereka tiba di sekolah, mereka tidur di kantin sekolah demi mengganti tidur malam yang tidak cukup sementara menunggu loceng berbunyi.

Tiba-tiba, perasaan dengki tadi berubah menjadi perasaan sayu dan kagum. Tidak dapat saya bayangkan diri saya di situasi beliau. Mungkin saya akan ke sekolah tanpa mandi terlebih dahulu kerana takutkan air yang sejuk. Mungkin juga saya tidak akan ke sekolah kerana lebih sayangkan katil yang empuk. Subhanallah. Di lubuk hati ini, terbit perasaan syukur kerana saya tidak diuji dengan dugaan sedahsyat itu. Alhamdulillah. Namun, saya berdoa agar saya boleh menjadi setabah dan sekuat beliau.

Bersambung...