Monday, March 23, 2009

Megah sangatkah New York?

30 November 2008

Malam itu, lebih kurang pukul 12 malam, saya tiba di New York setelah menghabiskan cuti "Thanksgiving" saya di sebuah universiti di Pennsylvania. Cuaca yang sejuk ditambah pula dengan siraman hujan membuatkan semua orang, termasuk saya, berjalan dengan laju mencari tempat yang lebih panas dan selesa untuk berteduh. Alhamdulillah, berdekatan tempat saya diturunkan, terdapat sebuah stesen Subway bawah tanah. Dapatlah kami berlindung dari hujan. Walaupun suhu di dalam stesen itu juga sejuk, sehinggakan nafas kami berkepul-kepul menjadi asap, tetapi cukuplah sekadar dijadikan tempat untuk berteduh. Pada masa yang sama, saya gunakan peta yang disediakan untuk mencari arah ke destinasi seterusnya.

Alhamdulillah, keretapi yang melalui stesen itu boleh membawa saya ke sebuah lagi stesen keretapi yang ingin saya tujui. Saya pun bergegas ke platform. Suasana di dalam Subway tersebut agak menyeramkan. Sampah-sarap berada dimana-mana terutama di atas rel keretapi. Tidak mustahil kemalangan boleh berlaku disebabkan sampah yang bertimbun di atas rel tersebut. Tikus pula kelihatan berkeliaran di sekitar stesen mencari makanan dari sampah-sampah yang bersepah. Bau hancing yang memualkan menambahkan suasana seram stesen ini. Mujurlah keretapi yang ingin dinaiki tiba beberapa minit selepas saya sampai di stesen tersebut. Dapatlah saya melarikan diri dari stesen yang kurang enak ini.



Tiba sahaja di stesen yang diingini, saya pun berjalan mencari jalan keluar dari stesen bawah tanah itu. Saya cuba berjalan secepat mungkin kerana keretapi terakhir ke New Brunswick akan tiba pada pukul 12.40 malam. Jam sudah menunjukkan 12.23 malam. Cuma tinggal beberapa minit sahaja tetapi saya masih belum keluar dari stesen Subway.

Ketika saya sedang mencari tangga untuk keluar, kelihatan beberapa orang tua, kebanyakannya orang kulit hitam dan Mexico sedang berbaring-baring di sekitar stesen tersebut. Tilam mereka cumalah beberapa cebisan besar kotak-kotak berwarna coklat dan selimut mereka hanyalah beberapa helai surat khabar yang sekadar melitupi diri masing-masing. "Suhu di stesen ini sejuk, cukupkah berselimutkan surat khabar? Dimanakah keluarga mereka? Tidak risaukah dengan ahli keluarga yang hilang? Bukankah New York bandar yang maju dan kaya-raya, tetapi mengapa masih ramai orang-orang seperti ini?", soalan-soalan ini bermain seketika di kotak fikiran ini. Bila saya mula-mula tiba di New York, terasa kasihan juga melihat "homeless" seperti mereka. Tetapi, setelah sering sampai ke bandar megah ini, perasaan simpati itu semakin terhakis. Mungkin kerana terbiasa dengan situasi dan suasana sebenar bandar metropolitan ini yang sering diagung-agungkan penduduk dunia.

Semasa saya menaiki tangga untuk keluar dari dari stesen tersebut, lintas dua orang lelaki kulit putih di hadapan saya. Cara jalan mereka agak mencurigakan; terhuyung-hayang ke kanan ke kiri sambil berpaut pada bahu masing-masing. Perbualan mereka jelas didengari orang, tetapi kurang pasti butiran yang mereka ucapkan. Ada kalanya bersuara tinggi, ada kalanya rendah, diselangi gelak tawa yang tidak tahu apa puncanya. Pada masa yang sama, bau busuk arak menusuk ke hidng saya. Selepas saya membelakangi mereka, terdengar pula bunyi yang kurang sedap didengari, "Buweek!! Uweek!! Uhuk!! Uhuk!!" Namun, saya berusaha untuk tidak menoleh ke belakang kerana sudah tahu apa yang terjadi. Situasi ini sering terlihat di malam hujung minggu di US ini. Bau hamis arak tadi menjadi semakin kuat. Saya berjalan dengan lebih laju kerana tidak tahan dengan 'aroma' tersebut.



Setelah keluar dari stesen itu, saya terhenti seketika. Berasa kurang pasti arah mana untuk ke stesen New York-Penn. D stesen itulah tempat untuk mengambil keretapi ke New Brunswick. Saya cuma tahu tempatnya tidak jauh, tetapi tidak tahu arah mana yang betul. Mungkin ke kiri, tidak mustahil juga ke kanan. Jalan-jalan di New York ini pula semuanya hampir sama. Bangunan-bangunan tinggi berdiri melangit di kiri kanan setiap jalan. Lebih-lebih pula di pada waktu malam ini yang menyukarkan saya membuat keputusan. Walaupun jalan tersebut diterangi lampu-lampu neon yang berwarna-warni, namun, ia tidak dapat membantu saya membuat keputusan yang tepat. Sebaliknya, ia hanya menyilau pandangan dan menambah kekeliruan yang telah sedia ada.

'Ahh, ikut sahajalah mana-mana! Kalau sesat, tanyalah orang," pujuk hati ini agar terus berjalan. Kemudian, setelah merentasi empat jalan besar, timbul kembali perasaan ragu-ragu tadi. Betulkah jalan ini? Sudah empat jalan besar dilintasi, namun masih tiada tanda-tanda stesen keretapi yang berdekatan. Mungkinkah saya perlu belok ke kiri di jalan sebelum ini? Mungkin jua saya salah arah ketika keluar dari stesen Subway tadi? Hati menjadi semakin cuak.

Tiba-tiba, terlihat seorang lelaki kulit hitam berjalan menuju ke arah saya. Bajunya lusuh dihiasi dengan beberapa koyakan di sana sini. Saya beranikan diri untuk bertanya "Do you know which way to New York-Penn Station?". Lelaki kulit hitam itu menjawab dengan gaya tipikal masyarakat kulit hitam US "Urm, you walk straight this way and turn left on 4th avenue, buddy". Selepas mengucapkan terima kasih, saya meneruskan perjalanan. Namun langkah saya terhenti. Lelaki kulit hitam itu menahan saya.

Dia bertanya, "What'cha got in your hand, buddy? Is that food?". Dia bertanya sambil menunjuk ke arah beg plastik yang saya pegang. Saya hanya menjawab "Yeah. Some buffalo wings." Saya fikir, mungkin lelaki ini juga salah seorang 'homeless' yang sedang berlegar-legar di bandar ini, sedang mencari sesuatu untuk mengisi perut. "Do you want it?", tanya saya sambil menghulurkan bungkusan tersebut kepada lelaki itu. Berasa simpati pula dengan keadaannya, disamping risau lelaki itu akan melakukan sesuatu yang luar biasa. Selepas dia mengambil bungkusan tersebut dan mengucapkan terima kasih, saya cepat-cepat melangkah meninggalkan tempat tersebut.

Selepas mengikut arahan yang diberikan lelaki tersebut, saya akhirnya sampai ke stesen keretapi New York-Penn. Alhamdulillah, jam baru menunjukkan 12.36 malam. Masih ada 4 minit sebelum keretapi bergerak. Setibanya saya di platform, keretapi sudah bersedia seperti akan bergerak pada bila-bila masa. Saya pun menaiki keretapi tersebut dengan perasaan bersyukur kerana dapat pulang ke New Brunswick pada tengah malam itu.