Monday, February 20, 2012

"Kesunyian" di celahan deretan rumah

Sekitar Oktober 2001

Zaman persekolahan, terutama sekali zaman sekolah menengah adalah zaman yang agak lengang bagi saya dan juga kawan-kawan sebaya. Sekolah hanya setengah hari. Beban kerja rumah tidak banyak. Ketika itu kami di tingkatan 1, maka tidak terikat dengan peperiksaan besar seperti PMR.

Boleh dikatakan, kami dalam tahun "berbulan madu".

Cuma kadang-kala, kawan-kawan akan menghadiri kelas tuisyen petang atau malam.

Seperti biasa, di sekolah pagi itu, saya, Abid, Afiq dan beberapa lagi kawan berbincang untuk melepak di rumah mana petang itu. Memandangkan ramai di antara kawan kami yang ibu bapanya bekerja, maka, banyak rumah yang tidak "ber-orang dewasa" yang boleh kami jadikat 'port' untuk melepak.

Hari itu, setelah disepakati, kami jadikan Afiq sebagai tuan rumah.

************************************************************************

Usai sahaja sekolah dan tiba di rumah, dengan baju sekolah masih bersarung di badan, saya meneruskan agenda kami seperti yang kami rancang di sekolah. Tugas saya pada hari itu mudah sahaja.

Dapatkan motor.

Bukannya mencuri motor, tapi cuma perlu memastikan motor bapa saya dapat kami gunakan pada hari itu. Seperti biasa, setiap petang, apabila saya katakan kepada emak yang saya ingin menggunakan satu-satunya kenderaan bermotor di rumah tersebut, saya akan mendapat tentangan hebat dari abang dan adik lelaki. Kerana masing-masing tahu menunggang motor, maka masing-masing ingin menggunakannya untuk keperluan masing-masing.

Hari itu, saya berkeras. Saya mahu menggunakan motor kerana saya sudah berjanji dengan Abid dan Afiq. Tidak kira apa cara sekalipun, saya perlu tunaikan janji dan saya akan pastikan motor merah (motor yang dulunya hijau sebelum dicuri) berada di tangan saya pada petanf itu.

Saya berjaya akhirnya. Dengan tanpa izin dari sesiapa, saya ambil kunci, dan terus berderum ke rumah Afiq.

*************************************************************************

Setibanya di rumah Afiq, saya terus masuk ke pekarangan rumah dan memasak motor merah di situ. Pagar terbuka dan pintu pula tidak berkunci. Saya masuk ke rumah Afiq dengan muka bangga dan gembira kerana motor di tangan saya dan saya berjaya tunaikan janji pagi tadi. Abid sudah pun ada bersama Faizal, jiran Afiq, yang juga kawan sekolah kami. Masing-masing gembira kerana hari itu, kami mempunyai kenderaan yang boleh digunakan untuk bergembira.

Di rumah Afiq, tiada apa-apa yang khusus yang kami lakukan. Kebanyakkan masa hanya dihabiskan dengan menonton television, memandangkan rumah Afiq terpadsang Astro. Ada masanya, kami hidupkan enjin motor, kami meronda di sekitar taman mengambil angin petang. Bosan sahaja aktiviti-nya, tapi kami berasa gembira. Gembira kerana tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Sementara kami menoton TV, sesekali saya akan ke dapur melihat-lihat andai ada apa-apa yang boleh dimakan. Saya minta izin kepada Afiq terlebih dahulu untuk menikmati apa-apa sahaja yang boleh dinikmati.

Saya buka peti sejuk, yang ada hanyalah ketulan keju di dalam bungkusan yang agak menarik. Bagi saya, keju adalah makanan orang kaya dan saya sangat teringin u tuk merasa keju tersebut. Saya jerit ke Afiq u tuk meminta izin untuk makan keju tersebut, namun izin tidak diberi. Saya mencari benda lain untuk dimakan dan akhirnya saya hapuskan lapar saya dengan roti dan jem. Setelah mendapat izin Afiq.

Di rumah itu, saya perasan, suasananya agak suram. Sunyi dan sedikit menyayukan hati. Tidak seberapa hidup seperti yang biasa saya alami di rumah saya sendiri. Saya seperti merasakan Afiq kesunyian di rumah tersebut (walaupun mungkin tidak begitu). Ibu bapanya bekerja. Adik-adik lain sama ada bersekolah sesi petang, ataupun menghadiri tuisyen. Afiq.... Sendirian di rumah tanpa diperhati atau dijaga oleh sesiapa.

Ketika mencari makanan di rumah Afiq, saya juga perasan, tiada apa makanan yang bagi saya, boleh mengenyangkan perut. Saya mahu mencari sesuatu yang berat, tapi saya hanya menjumpai roti. Tidak seperti di rumah saya, lauk dan nasi sentiasa terhidang. Walaupun kami sering menghadapi tekanan kewangan, namun saya pasti, apabila balik ke rumah, pasti ada lauk dan nasi di atas meja. Walaupun lauk semalam.

Saya juga tertanya-tanya, andai kami tiada, apa agaknya yang Afiq lakukan di rumah berseorang diri tanpa pengawasan ibu bapa? Apa yang selalunya beliau makan ketika sendirian di rumah tersebut. Lagipun, bukannya hari-hari kami melepak dengan dia. Kalau kami tiada, apa yang berlaku pada Afiq?

Soalan-soalan yang saya tak jumpa dan tak mampu untuk fahami andai dibandingkan dengan hidup saya di rumah sendiri.

Dan saya tahu, masih ada ramai kawan-kawan yang lebih kurang sebaya mempunyai situasi yang lebih kurang sama dengan apa ayang Afiq lalui.

Sunyi, sendiri, membesar dengan ibu bapa yang kurang di sisi. Situasi anak-anak di taman perumahan dan apartment.

Saturday, February 18, 2012

Motor Biru Modenas

Sekitar tahun 1998

Pagi hari itu, gempar!

Mak dan abah bercakap dengan kuat di pintu depan rumah walaupun waktu subuh masih belum masuk. Jam itu, masih terlalu awal untuk kami adik-beradik bangun untuk bersiap ke sekolah.

Perbualan abah dan emak agak kuat dan berbunyi mencemaskan. Terdengar suara abah mendengus-dengus seperti risaukan sesuatu. Emak juga berkata-kata tetapi butirnya masih kurang jelas dalam lubang telinga saya pagi itu. Suara emak juga seperti dalam kerisauan.

Saya yang masih mamai di bilik hadapan cuba menyambung tidur dan membiarkan mak dan abah berbual di pintu rumah. Masih terlalu awal untuk berasa serabut dengan benda yang tidak sepatutnya. Tidur lebih penting.

Selang beberapa minit, sebelum sempat saya lena semula, emak dan abah masuk ke bilik saya dan mengejut saya, abang dan adik. Sambil membangunkan kami, emak menyampaikan satu berita yang saya tak pasti untuk memberi respon yang macam mana.

Motor abah kena curi.

Saya, abang dan adik lelaki bingkas bangun dan terus menyelak tingkap bilik yang betul-betul menghadap ke halaman rumah. Kosong! Sepatutnya di situ ada sesuatu pada waktu-waktu begini, tapi pagi itu, kosong.

Motor Modenas Kriss hijau abah memang sudah dicuri! Dan pintu pagar masih ternganga seolah memberitahu sang pencuri bergesa ketika mengambil hak milik kami itu tanpa izin.

Di waktu malam. Ketika kami tenggelam dalam rehat.

Abah terduduk di kerusi malasnya. Emak pula terus ke bilik belakang untuk mengejutkan kakak dan adik-adik perempuan dan juga untuk memberitahu berita tersebut.

Abah dan mak kelihatan sangat serabut memikirkan itu sahajalah satu-satunya sumber pengangkutan kami. Motor lain, tiada. Kereta juga tiada. Motor itulah yang menjadi tunjang pengangkutan di rumah kami. Motor Kriss hijau itulah digunakan untuk perkara serba-serbi. Membeli barang keperluan rumah, menghantar dan menjemput kami adik-beradik untuk ke sekolah, pengangkutan abah untuk ke tempat kerja, sumber rezeki dan sumber keselasaan kami yang sedikit.

Pagi itu, tunjang pergerakan kami di rampas. Abah bingung, tidak tahu bagaimana untuk ke tempat kerja. Emak pening, bagaimana kami akan ke sekolah.

Untuk pagi itu, mungkin boleh minta tolong jiran kami yang kebetulannya bekerja di tempat abah bekerja. Kebetulan juga, anak-anak mereka bersekolah di tempat yang sama dengan kami. Pagi itu dan untuk 2-3 hari kemudian mungkin ada cara, tapi bagaimana dengan hari-hari yang seterusnya? Adakah mahu terus menumpang?

Persoalan itu, menyebabkan kami sekeluarga sedih dan risau. Terasa kehilangan sesuatu yang besar. Terasa seperti dunia hilang separuh. Terperangkap di rumah tanpa 'alat berhubung' dengan dunia luar (yakni sekolah dan tempat kerja).

Pada yang sama, kami berasa marah pada sang pencuri. Berbagai jenis kata kesat dilontarkan di pagi itu oleh kami anak-beranak untuk dituju pada sang pencuri. Pelbagai jenis 'doa' dibaca untuk melaknat perampas kemudahan kami itu.

Saya pada tahun itu sesi petang, maka saya tidak risau dengan persekolahan saya kerana bas Foh Hup (bas awam) sentiasa ada. Balik sekolah juga saya tak perlu risau kerana bas yang sama masih beroperasi (walaupun kebiasaannya abah yang ambil). Abang pula menaiki bas sekolah, juga tiada masalah.

Tapi bagaimana pula dengan kakak dan adik? Mereka bersekolah sesi pagi dan bergantung kepada motor Kriss hijau untuk ke sekolah. Balik tengah hari bolehlah naik bas Foh Hup sebab kebiasaannya memang begitu. Bas Foh Hup pula, sangat tidak efisien pada waktu pagi. Selangnya sejam sekali. Bas biasanya datang pada pukul 6:30 pagi; bermakna mereka perlu menunggu di perhentian bas dalam gelap pagi. Waktu datangnya pula tidak konsisten. Kadang awal, kadang lewat melampau. Andai terlepas bas, alamatnya, sekolah hari itu berkebarangkalian untuk diponteng kerana datang lambat akan didenda walaupun salahnya bukan terletak pada mereka.

Abah pula, tak pasti adakah dia akan terus menumpang jiran kami atau cuba mencari alternatif lain. Abah masih bingung pagi itu.

Hari itu, rutin kami berubah sedikit. Kakak dan adik terpaksa menaiki bas dan syukur, bas pagi itu datang tepat pada waktunya. Abah ke rumah jiran untuk menumpang mereka.

*****************************************************

Petang itu, abah pulang dengan membawa keputusan. Abah akan membeli motor baru walaupun hutang motor lama masih ada. Tak ada cara lain, itu sahaja caranya walaupun keputusan itu membawa makna gaji abah yang sudah sedia kecil akan menjadi lebih kecil.

Kami terima sahaja keputusan abah dan berdoa agar motor Kriss hijau itu berjaya dijumpai oleh pihak Polis dan kembali menjadi milik kami.


Inilah motor baru kami (sekarang sudah berusia 14 tahun). Modenas Kriss 2 biru yang kami panggil "motor biru"

Sunday, February 5, 2012

20 sen

Waktu petang di sekitar taman perumahan Taman Kantan Permai biasanya sentiasa cerah. Cahaya matahari asar yang kuning keemasan yang menyinari seluruh taman membuatkan taman itu seolah-olah sentiasa hidup dan bertenaga. Panas, tapi pada masa yang sama menenangkan mata yang suka termenung ke luar rumah.

Azan asar biasanya akan berkemundang di sekitar waktu itu; menandakan abah akan pulang dari kerja tidak lama lagi. Biasanya, kami adik-beradik tidak sabar untuk menunggu kepulangan abah kerana hanya dengan kepulangan abah, barulah pintu grill akan dibuka dan kami diberi izin untuk bermain di luar rumah.

Derum... Derum... Abah pulang dan motornya diparkir di simen luar rumah. Mak mengambil kunci dan langsung ke pintu untuk membuka pintu grill.

Kami adik-beradik pula, berdesup berlari ke depan. Kononnya untuk menyambut abah pulang, hakikatnya masing-masing sudah tidak tahan untuk bermain dan beriangan di luar.

Cuaca yang kurang terik tetapi masih menyilau mata tidak berapa dilayan. Kami terus ke tengah jalan ke arah masing-masing. Saya dan adik lelaki biasanya ke jalan TKP 1, kerana di situ biasanya budak-budak lelaki berkumpul. Kakak dan adik-adik perempuan pula, saya tidak pasti apa di mana mereka berkumpul dan apa yang biasanya mereka lakukan.

Sebelum keluar, biasanya kami tidak lupa untuk buat satu perkara. Satu perkara yang seolah-olah menjadi kemestian. Kami akan minta duit dari abah. Untuk belanja beli jajan.

Tak banyak. 20 sen sahaja.

Kemudian baru kami betul-betul berlari ke luar rumah.

Dengan 20 sen itu, saya boleh ingat, banyak benda yang berjaya kami beli. Banyak jenis makanan ringan yang mampu kami rasa.

Antara beberapa jenis jajan yang amat kami suka adalah choki-choki. Coklat dalam tiub yang boleh dimakan dengan pelbagai cara. Boleh dimakan begitu sahaja atau kadang-kala, bila terpengaruh dengan iklan di TV, kami sapu atas roti. Pada zaman itu, saya masih ingat, ada choki-choki pendek, ada choki-choki panjang. Yang pendek 10 sen, yang panjang 20 sen. Kami biasanya beli yang pendek sebab lebih berbaloi. Dua choki-choki 10 sen, panjangnya lebih dari satu choki-choki 20 sen.



Pada waktu itu juga, benda yang agak berbaloi untuk dibeli adalah sugus atau gula-gula. Dengan 20 sen, 5 biji sugus mampu kami dapat. Cuma kalau ada kedai yang jual mahal, 20 sen boleh dapat empat sahaja. Kalau beli sugus, saya akan makan satu demi satu; selang 30 minit. Sayang nak habiskan sebab sedap. Kalau habis, kena tunggu esok untuk beli lagi. Biasanya warna yang paling saya suka adalah warna merah. Merah untuk strawberry. Oren untuk oren. Ungu untuk anggur dan hijau untuk epal. Tapi saya tak akan ambil warna hijau kerana merasakan hijau adalah warna sayur dan untuk memakan gula-gula yang berasa sayur (seperti sawi), saya tak berapa boleh terima. Walaupun hakikatnya, rasanya yang sebenar adalah rasa epal.



Selain itu, antara jajan yang paling awal yang mampu saya ingat adalah Wafel Apollo yang panjang-panjang. Ada rasa coklat, ada rasa strawberry, ada juga rasa kacang tanah. Ketiga-tiga saya tidak suka, tapi sebab adik-adik yang lain selalu beli yang itu, saya pun akur beli sama sepeti mereka.



Owh ya, lagi satu jajan adalah gula-gula coklat berbentuk pelet yang biasanya dalam bungkusan berbentuk lapan dan dalam iklan, ditunjuk boleh dibuat topeng. Sangat suka kupil satu demi satu untuk mengambil coklat di dalam. Bila sangat sayang untuk habiskan, saya tekan gula-gula coklat tu dengan kuku sampai retak macam pizza, dan ambil sikit-sikit supaya tidak cepat habis.

Ada banyak lagi jajan yang boleh kami dapat hanya dengan 20 sen. Keropok jagung perisa durian, keropok rota, bermacam jenis gula-gula, chewing gum yang pelbagai rasa dan warna, Super Ring, Bika dan lain-lain. Ada juga jajan yang sukar untuk kami dapat (kecuali kalau menyimpan 2-3 hari atau mak dan abah tiba-tiba baik hati belanja) seperti Ding-Dang (50 sen), Tora (RM 1) dan beberapa lagi jajan lain yang lebih mahal.

Bagaimanapun, apabila meningkat ke sekolah rendah, 20 sen tersebut sudah semakin kurang nilainya. Semakin banyak jajan kami meningkat dari 20 sen ke 30 sen. Cloud 9, kek coklat Hero, dan beberapa lagi makanan ringan. Kami tidak pasti, kenapa makanan ringan tersebut tiba-tiba naik harga. Mungkin kerana kegawatan ekonomi pada 1998, tapi pada pemahaman budak sekolah rendah, kami tidak berapa faham apa erti "gawat" dan "kenapa kami tak mampu lagi beli makanan-makanan tersebut", "apa kaitannya?"

Untuk minta duit tambahan dari abah, kami rasa, lebih baik kami tidak berbuat begitu kerana teringat kata abah, "Kesiannya anak-anak abah, dah sekolah pun masih dapat 20 sen sahaja. Nak bagi lebih, tapi itu sahaja yang boleh abah bagi. Apa lah yang korang boleh beli dengan 20 sen."

Ayat itu, seolah-olah menutup hati kami untuk meminta lebih. Kerana kami faham. Kami juga merasa apa yang abah dan emak rasa. 20 sen pun, 20 sen lah. Masih ada banyak benda yang boleh dibeli dengan duit tersebut.

Kami semakin besar, semakin faham dengan nilai duit dalam keluarga kami. Apa yang boleh kami buat pada masa tersebut, hanya belajar erti syukur. Kalau mahu beli sesuatu yang diluar kemampuan (sepeti gasing seringgit atau mercun thunder clap RM1.20), kami cuba menyimpan dengan duit belanja sekolah, walaupun nanti, akan kelaparan di kantin sekolah.

Walaupun tanpa jajan dari 20 sen, kami hakikatnya masih bergembira dan merasa menjadi kanak-kanak. Di lorong-lorong jalan taman perumahan, bermain layang-layang buatan sendiri atau bermain dengan selipar di kaki. Atau berkejaran di laman surau, atau melepak di tangga kedai. Dengan kawan-kawan yang sentiasa ada dan ibu bapa yang sentiasa menunggu di rumah, 20 sen atau 30 sen bukan sebab untuk menghalang kami belajar erti dewasa.

"Mak, nak pergi tadika boleh?"

Biru subuh hari itu masih belum hilang tatkala saya melabuhkan diri di kerusi ruang tamu. Dingin pagi itu menyapa kulit. Sejuknya mampu memaksa diri membalut tubuh dengan selimut andai saya mahu menyambung mimpi. Sejuk, luar masih gelap, tapi rumah sudah pun riuh.

Abah akan ke tempat kerja. Abang dan kakak akan ke sekolah. Mak pula membuat apa yang patut sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Saya, masih belum bersekolah, tidak berbuat apa-apa dan hanya melihat gelagat mereka.

Hampir setiap pagi saya akan bangun awal pagi. Ingin melihat abah, abang dan kakak terkejar-kejar bersiap untuk memulakan hari masing-masing. Seronok kerana akan ada air milo panas dan sedikit sarapan yang boleh dimakan bersama dengan abah, emak, abang dan kakak.

Setiap hari, abang akan menyarung kemeja putih. Berseluar gelap. Bertali pinggang dan menyandang beg. Sesekali, songkok akan menghias kepala abang. Sangat kemas. Sangat menarik.

Saya tertarik.

Kakak pula akan berbaju kurung putih. Berkain gelap. Sesekali akan menyarung pinafor hitam. Dengan kemeja putih di dalam. Juga kemas. Juga menarik.

Terasa tidak sabar pula untuk saya memulakan zaman persekolahan. Mahu berpakaian kemas seperti abang dan kakak. Mahu naik motor untuk dihantar ke sekolah dan mahu mempunyai kawan yang ramai di sekolah. (Sebab kakak kata, di sekolah, dia ada sangat ramai kawan).

Usai sahaja bersiap, abah akan menghantar abang dan kakak ke sekolah dengan motornya. Bertiga di atas motor. Ke sekolah yang saya tahu jauh dari rumah kerana saya tidak mampu untuk ke sana dengan berjalan kaki. Abah akan terus ke tempat kerja selepas menghantar abang dan kakak.

Pergi sahaja mereka, rumah menjadi sunyi. Mak akan menyambung rutin beliau. Membasuh, mengemas, menjahit, menganyam bunga dari tali rafia, menyediakan makanan untuk adik-adik dan pelbagai lagi aktiviti biasa suri rumah. Adik-adik pula masih belum bangun. Tidur di bilik depan yang berdekatan dengan pintu utama rumah.

Saya masih duduk di kerusi ruang tamu. Memandang ke luar. Melihat motor dan kereta lalu-lalang. Ibu bapa sibuk mengahantar anak masing-masing ke sekolah dan ke tadika.

Saya masih termenung tidak berbuat apa-apa. Cuaca semakin cerah. Semakin jelas rupa dan warna keadaan di luar rumah.

Bila langit sudah terang, sesekali akan kelihatan kawan-kawan sebaya ke tadika. Ada yang berbaju merah kotak-kotak dan berseluar gelap. Ada yang berbaju melayu dengan samping hijau. Ada yang berbaju kurung berkain hijau. Nampak menarik.

Azian (bukan nama sebenar), budak yang duduk berdepan dengan rumah kami, juga ke tadika. Bila saya nampak dia berjalan kaki ke tadika, saya melaung dari pintu rumah, "Azian! Nak pergi mana tu?" Bukannya saya tidak tahu dia akan ke tadika. Cuma sekadar ingin menyapa.

Biasanya Azian hanya akan menjawab (sambil melaung juga), "Tadika!". Ringkas sahaja jawapannya. Kerana dia tidak suka bercakap dengan saya. Saya juga tidak suka dengan dia. Bagi saya, Azian seorang yang sombong, perasan kaya, perasan bagus. Macam-macam lagi perasaan tidak suka saya kepada dia, tapi kami masih bermain bersama bila tiba waktu petang.

Selepas seketika, jalan di depan rumah kembali lengang. Kadang-kala sunyi dipecahkan dengan bunyi hon motor roti dan lori ikan. Matahari makin terik.

Mak biasanya akan tekun dengan rutin harian beliau.

Untuk menghilangkan bosan, saya akan berborak dengan mak. Soalan lazim saya ialah, "Mak, nak pergi tadika boleh? Kenapa orang seorang tak pergi tadika? Orang lain semua pergi. Orang je yang duduk rumah." ('orang' adalah cara kami adik-beradik membahasakan diri di rumah. Sama penggunaan seperti 'saya' dan aku')

Mak akan memberikan pelbagai alasan kenapa saya tidak ke tadika. Mak kata, yuran tadika mahal, RM40 sebulan. Kena belikan baju, kena sewakan van, kena beli buku, kena beli itu, kena beli ini. Namun ketika itu, saya masih kurang faham dengan penjelasan emak. Saya tak tahu RM40 tu berapa nilainya kepada kami. Saya tak tahu apa makna mahal, tidak faham apa makna tidak berduit.

Terasa seolah-olah emak menghukum saya dengan 'memenjarakan' saya seorang di rumah. Tidak mahu saya menjadi seperti budak-budak lain.

Rasa kecewa kerana tidak ke tadika. Saya cemburu dengan kawan sebaya.

Bila tiba waktu petang, selepas Abah pulang, kami adik-beradik akan dilepaskan untuk bermain di luar. Biasanya, Azian akan ada sekali bermain bersama kami, dengan abang dan kakak dia. Sambil bermain, Azian akan membawa buku tadika dia. Dia akan buka buku tersebut, tunjuk nombor 1 hingga 10. Dia kenal huruf A sampai Z dalam buku itu. Dia juga boleh mengeja dan membaca sedikit-sedikit perkataan dalam buku itu.

Dia sengaja berbuat begitu kerana dia tahu saya tidak ke tadika. Saya tidak tahu membaca. Saya tidak tahu mengira.

Terasa sakit hati ketika Azian menunjuk-nunjuk yang dia dapat ke tadika dan dapat belajar semua benda tu. Saya, hanya tahu ada nombor, tahu ada benda bernama 'huruf'. Tapi saya tidak hafal atau tahu menggunakannya.

Geram kerana nak pergi tadika tak dapat.

Saya berazam akan memaksa emak untuk menghantar saya ke tadika.

Esok pagi, dalam hening biru subuh, rutin saya yang sama akan saya ulang. Saya tidak akan berputus-asa untuk ke tadika.

Soalan yang sama akan diulang.

"Mak, nak pergi tadika boleh?"

Soalan itu, soalan harian itu, akan dijawab dengan penjelasan harian emak yang saya akan terus menganggap sebagai 'alasan.

Kampung kami adalah sebuah "Taman"

Azan bergema di seluruh taman perumahan Taman Kantan Permai pada waktu maghrib hari itu. Berdengung-dengung berbunyi dari speaker surau yang letaknya hanya selang empat rumah teres dari rumah kami. Nyaring. Pada masa yang sama syahdu. Kerana itu adalah azan maghrib 1 Syawal. Bulan raya.

Musim lapar dan haus di sekolah akhirnya tamat untuk tahun itu. Saya yang ketika itu berada di tahun 3 berasa lega. Lega kerana tidak perlu lagi berbasikal ke sekolah dengan tekak yang kering. Lega kerana akhirnya kembali boleh makan dan minum pada bila-bila masa. Tidak perlu terseksa dengan bau gerai-gerai makanan yang menjual hidangan berbuka.

Saya dan adik lelaki saya bergegas ke surau selepas habis berbuka di rumah. Sudah menjadi rutin kami untuk bersolat jemaah di surau setiap kali mempunyai peluang. Seronok solat di masjid. Ada pakcik-pakcik yang sporting. Ada kawan-kawan sebaya yang ramai.

Namun maghrib hari itu sedikit aneh. Sunyi. Sepi. Tanpa kelibat manusia-manusia yang rancak seperti biasa. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka akan beraya bersama sepupu, datuk dan nenek masing-masing. Abid, Syakir, Mohsin, Syafiq, Pak Andak, Hafiz, Along Kecik, semua tiada hari itu. Semua sudah pulang ke kampung. Tinggal saya dan adik saya sahaja yang berdiri di barisan kanak-kanak pada hari itu. Berdua di dalam saf yang biasanya paling meriah.

Wirid hari itu lain sikit. Biasanya ada subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Tapi hari itu, imam menggunakan takbir raya sebagai wirid. Wirid habis cepat dari biasa, bermakna lebih banyak masa untuk saya dan adik bermain sementara menunggu azan isyak.

Selepas wirid, saya dan adik cabut keluar dari surau untuk meneruskan rutin biasa kami yang seterusnya. Berlegar-legar di kaki lima kedai tanpa arah tujuan sehingga azan isyak berkumandang. Kaki lima kedai hari itu juga suram. Tidak meriah seperti biasa. Gelap dan sangat hening.

Sekali-sekala, kami bakar dan baling mercun mancis ke tengah jalan raya.

POM!!

Meletup. Bercahaya sesaat.

Namun, tiada siapa yang perasan kerana kebanyakan kedai sudah pun tutup. Jalan lengang tanpa kenderaan.

Kami terus berlegar-legar di sekitar deretan kedai. Sekali-kala, kami masuk ke jalan belakang kedai. Gelap gelita tanpa lampu jalan. Cuma diterangi oleh lampu belakang rumah-rumah teres yang membelakangi deretan kedai. Kami sambung bermain mercun yang masih bersisa di tangan. Mercun roket, mercun padi, mercun naga dan macam-macam lagi mercun yang mampu kami sumbat di dalam poket-poket baju melayu dan seluar kami. Kami tidak berapa pasti, dari mana datangnya duit untuk membeli mercun-mercun tersebut.

Bergema sahaja azan isyak, kami terus berjalan ke surau. Selesai solat isyak dan wirid takbir raya, kami melepak-lepak bersama pakcik-pakcik surau. Hari ini, jemaah surau mempunyai aktiviti istimewa. Selepas solat rawatib, jemaah surau akan berarak ke rumah-rumah yang masih berpenghuni untuk bertakbir.

Saya dan adik mengikut sekali jemaah surau. Kami membonceng motor Pakcik Zainuddin, seorang veteran askar yang berumur dalam lingkungan 40-an. Bertiga di atas satu motor. Bersama lebih kurang 13 lagi motor jemaah surau, kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah, dari satu jalan ke satu jalan. Dari Jalan TKP 1 hingga ke Jalan Persiaran TKP (jalan 8).

Lebih kurang pukul 4 pagi, takbir rumah ke rumah akhirnya selesai. Labih kurang 20 rumah mampu kami singgah.

Penat. Pada masa yang sama seronok. Sebab dapat kumpul duit raya lebih awal. Tidak perlu menunggu siang 1 Syawal. Kami kira, dalam RM14 juga kami berjaya kumpul. Cukup untuk kami pergi KFC di bandar Kajang sebanyak 2 kali.

Selepas takbir rumah ke rumah, perut rasa bagai mahu meletup. Dek menjamah hidangan raya di setiap rumah.

Tiba di rumah, kami tidur seketika sementara menunggu hari besar sebentar lagi.

Waktu subuh, kami ke surau untuk bersolat. Sekali lagi, tidak seperti subuh di bulan puasa, solat subuh hari itu sungguh sunyi. Hanya ada 4-5 jemaah dengan saya dan adik di saf belakang. Usai solat, kami pulang untuk bersiap dan makan-makan.

Pagi itu, sesuatu yang amat aneh berlaku. Ketika solat sunat Aidil Fitri, surau penuh tak terkata! Lebih penuh dari solat tarawikh malam Ramadan pertama! Penuhnya sehingga ada yang membentang sejadah di perkarangan masjid. Bersolat di bawah sinar Dhuha. Selepas solat sunai Aidil Fitri, abang dan abah menunggu khutbah, tapi saya dan adik pulang dahulu, tidak sanggup menunggu imam berkhutbah. Bosan, panjang, dan isinya sama macam tahun lepas. Cuma mungkin ada sedikit pengubahsuaian.

Pulang ke rumah, kami sambung makan-makan dan menonton TV. Di TV, ada banyak rancangan raya. Ada orang menyanyi, ada drama raya, Malaysia Hari Ini (MHI) versi raya, dan beberapa rancangan lagi. Dalam TV, saya perasan ada sesuatu yang sedikit pelik. Dalam siaran TV, selalu terlihat orang bersalam-salaman di pagi raya; meminta maaf dan memaafkan di kalangan ahli keluarga. Dalam keluarga kami, suasana itu tiada. Nampak janggal.

Bila sudah bosan menonton tv, saya dan adik berkeputusan untuk beraya di rumah jiran-jiran. Mungkin akan dapat duit raya lagi. Bila cukup duit, bolehlah kami pergi ke KFC atau membeli Digimon di Kompleks Metro Kajang. Cemburu betul tengok kawan yang ada Digimon di sekolah.

Kami berdua mulakan perjalanan kami di jalan TKP 1 dan kami akan sambung ke jalan TKP 2 - jalan rumah kami, kemudian TKP 4; jalan TKP 3 tiada rumah kerana hanyalah jalan yang memisahkan taman perumahan kami dan ladang getah - dan ke jalan-jalan yang seterusnya.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, kami terus berlari keluar, dengan baju melayu yang masih bersarung dan terus mengikat kasut raya yang makcik belikan.

Perjalanan ziarah raya , kami mulakan dari rumah nombor 2 di Jalan TKP 1 kerana rumah nombor 1 adalah rumah Pak Andak. Kami tahu rumah tersebut kosong kerana Pak Andak sudah pulang ke kampung.

Di rumah nombor 2, salam dilaungkan.

Tiada sambutan.

Salam dilaungkan kembali.

Masih tiada jawapan.

Salam ketiga dilaungkan.

Sepi.

Kami membuat keputusan untuk ke rumah seterusnya. Ustazah di sekolah menasihati andai sudah diberi 3 salam dan tiada sambutan, bermakna tidak perlu untuk terus menunggu. Pergi sahaja dari rumah tersebut.

Rumah kedua dan seterusnya juga menghampakan. Tiada salam yang berjawab. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman. Jalan-jalan di taman perumahan kami sangat sunyi. Seolah-olah bandar mati.

Setelah penat merayau dengan harapan untuk beraya, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Mengumpul kembali tenaga untuk menyambung beraya petang nanti. Andai ada rezeki, mungkin dapat seringgit dua duit raya hari itu.

Di rumah, mak, abah dan adik-beradik lain sedang berehat-rehat sambil menonton tv. Aktiviti biasa di hari raya pertama. Saya dan adik turut serta melepak-lepak bersama mereka.

Sambil duduk-duduk, saya bertanya kepada mak, "Mak, kenapa kita tak balik kampung? Semua orang balik. Kita je yang ada dalam taman ni. Tak seronok la raya di sini. Tak ada orang. Nak kumpul duit raya pun susah."

Rungut saya pada mak. Pada ketika itu, saya sudah mampu faham kenapa kami tidak pulang ke kampung. Namun, saya masih bersuara sekadar meluahkan isi hati kepada mak. Sedih terpaksa beraya di hutan batu tidak mampu lagi disorok.

Mak menjawab dengan nada rendah. Rendahnya mampu membuat saya rasa bersalah kerana bertanyakan soalan tersebut.

Kata mak, "Bukannya tak nak balik, tapi nak balik macam mana. Kita tak ada kereta. Nak naik bas boleh, tapi mahal nak beli tiket. Tiket mak, tiket abah, tiket Faiz, Ana, kau, Ari, Tiqah, Hani. Pergi balik nanti akan habis dua tiga ratus. Mana mak nak dapat duit banyak tu. Bonus raya abah, dah habis beli baju melayu kau orang. Kalau nak pinjam kereta Iswara makcik pun boleh, tapi nak bayar minyak, kena juga keluar duit. Minyak kereta untuk pergi akan habis RM80. Balik lagi RM80. Tol semua, pergi balik hampir seratus. Jumlahnya nanti, akan habis dua ke tiga ratus ringgit."

Itu jawapan mak. Kesedihan mula terlukis di wajah mak. Sedih kerana tidak mampu untuk membawa kami pulang ke kampung. Sedih terpaksa membiarkan anak-anaknya beraya di taman perumahan yang sunyi. Mak sendiri pun bukannya mahu untuk beraya di taman perumahan. Mak juga sangat sangat ingin untuk bertemu kembali dengan sahabat handai beliau di kampung. Untuk bertanya berita. Untuk berkongsi cerita. Namun, apakan daya.

Kalau nak dikira, apalah sangat dengan RM300 tersebut. Robot permainan Afiq yang tinggal selang beberapa rumah kami sahaja sudah RM250. Tapi untuk keluarga yang mempunyai 8 anggota dengan gaji abah yang hanya RM1500 sebulan, itu nilai yang cukup besar. Dengan duit itu, kami mampu membeli makanan untuk dua ke tiga minggu. Siap dengan duit belanja sekolah seringgit sehari. Bagi kami, untuk menghabiskan 25% duit gaji abah hanya untuk perjalanan pulang ke kampung, adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.

Sudah sangat lama kami tidak pulang ke kampung. Seingat saya, kali terakhir kami pulang pun mungkin tiga atau empat tahun lepas. Sangat lama. Untuk seorang pelajar tahun 3, tiga ke empat tahun itu sama panjang dengan setengah hayatnya. Hinggakan saya sudah lupa bagaimana rupa rumah kampung kami. Bagaimana situasi beraya di kampung. Yang saya ingat, lamannya berwarna merah. Merah dengan tanah laterit.

Saya kembali menonton television. Tidak mahu memanjangkan soalan mengapa kami terpaksa beraya di taman perumahan yang sunyi. Tidak sanggup melihat wajah mak yang sedih dan penuh dengan rasa bersalah.

Petang itu, saya dan adik kembali menyarung kasut untuk beraya. Dengan harapan mungkin ada satu dua rumah yang sudi menjawab salam kami. Dan menjemput kami untuk masuk ke rumah untuk menjamah kuih-kuih raya. Andai ada rezeki, dapat dua tiga ringgit untuk hari itu.

Kami berjalan di jalan-jalan yang sunyi. Mungkin selang dua tiga tahun nanti, kami akan mula menerima hakikat bahawa taman inilah kampung halaman kami. Di sinilah kami akan kembali.

Kembali ke Taman Kantan Permai yang sunyi di Hari Raya Aidil Fitri.