Monday, July 29, 2013

"Macam Mana Kalau Tuhan Tak Wujud?"

November 2010



Bilik komputer di bangunan Loree hanya tinggal kami bertiga ketika kami keluar dari bangunan tersebut. Jam menunjukkan malam sudah berlabuh sehingga pukul 2 pagi. Kebanyakkan komputer masih hidup memandangkan minggu tersebut adalah minggu peperiksaan, maka komputer-komputer di bilik komputer sekitar universiti boleh digunakan 24 jam.

Saya sepatutnya boleh pulang lebih awal bersama ahli kumpulan saya yang lain, tapi ditahan oleh Shawn dan Mario yang masih tersangkut dengan tugasan mereka, meminta bantuan untuk menyiapkan tugasan.

"Jom kita pergi makan dulu? Saya lapar." ajak Shawn. (Anggap kami sedang berbual dalam bahasa Inggeris)

"Makan mana? Tempat yang kau bawa mesti tak bagus." jawab Mario mengutuk pilihan-pilihan restoran yang pernah Shawn bawa dahulu.

Di sepanjang perjalanan ke kereta Mario, mereka masih berdebat tentang tempat makan yang menarik untuk dituju. Saya hanya mengikut mereka dari belakang, sekadar memenuhi pelawaan mereka. Ke mana mereka bawa pun, saya hanya akan berkata 'Ya'.

Cuaca malam di bulan November bukanlah cuaca yang seronok untuk ditempuh. Malamnya berangin dingin dengan suhu berada di bawah paras beku. Hujan pula datang tidak menentu. Kombinasi hujan, angin dan dingin adalah kombinasi yang sukar untuk saya hadapi selaku orang yang membesar di iklim khatulistiwa.

Malam itu terasa sangat sunyi tanpa kelibat manusia lain. Perjalanan kami ke tempat parkir sesekali diterangi lampu jalan yang menyimbah oren. Jalan berbecah hasil tinggalan hujan petang tadi. Di kiri kanan kami masih dilitupi daun musim luruh yang belum sempat mereput. Hadirnya daun-daun tersebut memerangkap air hujan dan menyebabkan becah lambat mengering dan tapak kaki kami basah dan berbunyi-bunyi.

Tiba di tempat parkir, kami terus masuk ke dalam kereta Mario dan langsung menuju ke Chicken Express seperti yang mereka persetujui. Saya pula mengia di belakang.

"Wow, manual! Susah nak jumpa kat sini." Terpegun saya seketika tatkala melihat kayu gear di dalam kereta Mario.

"Hehehe. Cara nak mencegah kes curi kereta kat U.S." jawab Mario dengan bangga sambil terus memandu bagaikan mat rempit yang baru memegang stereng. Saya dan Shawn cuba mengawal rasa cuak di sepanjang perjalanan memikirkan nasib kami di dalam tangan Mario.

Di Chicken Express, kelihatan beberapa orang pelanggan yang sudah duduk. Kebanyakkannya warga kulit hitam dan seorang dua warga Mexico. Usai memilih dan membayar, kami berlabuh di salah sebuah meja yang disediakan.

"Mario, jom sambung perbualan kita petang tadi. Apa soalan kau? Macam mana nak tau agama mana yang betul?" pelawa Shawn kepada Mario untuk memecah diam. Mario mengangguk setuju sambil menyua makanan ke mulut.

Shawn, adalah seorang pelajar Muslim Pakistan yang membesar di Los Angeles. Gayanya biasa-biasa, tapi beliau sangat suka andai ada diskusi berkenaan agama. Seperti juga kebanyakkan orang Muslim Amerika yang biasa saya perhati di sini, mereka gemar berdiskusi secara terbuka dan berkongsi berkenaan Islam dengan orang lain. Situasi yang sangat baru untuk orang Muslim Malaysia seperti saya yang lebih selesa menyimpan apa yang saya tahu.

Mario pula adalah pelajar berketurunan dari Mexico yang saya tidak pasti apa pegangan agamanya. Mungkin atheist, mungkin juga Kristian.

Shawn terus bercerita dengan besemangat kepada Mario yang hanya mendengar tanpa respon. Saya juga memasang telinga mendengar 'syarahan' Shawn sambil menikmati cheesesteak di tangan. Banyak pendapat Shawn yang saya tidak berapa setuju, tapi saya diamkan sahaja. Tak berapa berani nak berdebat dengan mereka, lagi-lagi dengan bahasa Inggeris saya yang masih tidak cukup hebat. Dan juga untuk menghabiskan cheesesteak yang sangat memenuhi selera.

Mario bersuara, "Macam mana kalau kita pegang dengan satu agama, tapi bila kita mati, apa yang kita pegang tu tak ada pun. Bukan sia-sia ke macam tu? Macam mana kita nak tahu betul atau tak ada hidup selepas mati, sedangkan kita belum mati. Macam mana kita nak tahu Tuhan itu wujud sedangkan kita tak pernah jumpa pun Dia."

Shawn, cuba menjawab persoalan Mario dengan penuh semangat. Saya cuba untuk menangkap butir perkataan Shawn, tetapi gagal memahami keseluruhan poin beliau. Tapi saya pasti penerangan Shawn tidak mampu membuat Mario berasa puas melihatkan dahinya yang berkerut seribu.

Saya akhirnya memberanikan diri untuk mencelah apabila Shawn mula untuk mendominasi perbualan dengan suara yang agak keras dan tidak mahu memberi ruang untuk Mario memberikan kata balas.

"Shawn, diam sekejap. Mario, cuba fikir macam ni. Anggap kita hidup kat dunia paling lama pun sekitar 80 tahun. Dan cuba bayang hidup selepas mati adalah selama-lamanya, seperti kami, orang Islam, diajar. Cuba kata, alam lepas mati, Tuhan semua tak ada. Maknanya kami orang Islam telah membazir dan rugi 80 tahun kerana percaya benda sia-sia.

Tapi macam mana kalau alam lepas mati tu ada, Tuhan tu ada dan kita hanya jumpa dengan Dia lepas kita mati? Bukankah kita akan rugi selama-lamanya untuk mempertahankan hidup yang hanya 80 tahun?

Benda ni lebih kurang macam Game Theory cuma jauh lebih mudah dari itu." (Sila google apa itu Game Theory).

Mario mengangguk. Riak wajahnya menunjukkan dia masih tidak puas dengan perbahasan saya tapi dia tidak tahu untuk menolak dari sudut mana.

Saya menyambung 'syarahan' saya selepas melihat raut Mario yang masih dipenuhi persoalan "Kita memang susah nak buktikan dengan sains semua benda yang berkaitan Tuhan, mati, alam selepas mati dan kebanyakkan perkara berkaitan agama. Tapi, saya cuma boleh cadangkan untuk kau terus membaca. Mungkin satu hari nanti, kau akan jumpa juga benda yang kau boleh pegang dengan kukuh. Saya akan terus berdoa supaya kau jumpa benda yang betul-betul benar."

Mario membalas dengan mengangguk.

Selesai makan, Mario dan Shawn menghantar saya pulang ke rumah dahulu memandangkan rumah saya yang paling dekat.

Malam itu, saya membuka pintu rumah dengan seribu satu perasaan. Perasaan untuk memikir semula apa yang percaya selama ini, harapan supaya Mario bertemu jawapannya, apa makna Islam, apa makna menjadi Muslim, dan lain-lain.

Malam itu, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bermusafir di tanah Muslim sebagai minoriti.

Di tanah pegangan Islam dicabar.