Saturday, November 18, 2017

Hari Penyampaian Hadiah Sekolah

Hujung Tahun 1999

O ek o ek o ek....

Bas Foh Hup bergoyang-goyang dalam perjalanan di sepanjang Jalan Sungai Kantan menuju ke Pekan Kajang. Ada masa, makin seram bunyinya, lagi-lagi bila menaiki bonggol jalan. Dengan bas yang sentiasa senget seolah-olah ada beban terlebih di bahagian sebelah bas, seperti menunggu masa sahaja untuk bas tumbang mengiring di atas jalan. Jika dilihat dari jauh, agak menakutkan. .

Hari ini hari Ahad.

Orang lain sepatutnya duduk di rumah, tengok kartun depan TV atau bermain di sekitar taman perumahan. Aku pula perlu ke sekolah dengan uniform rasmi. Rasanya dalam bas itu, hanya aku seorang berpakaian sekolah. Ari pula tidak ikut hari ini seperti hari persekolahan biasa. Rasa sunyi seorang diri naik bas Foh Hup hari Ahad ini.

Nak ikutkan, malas sungguh nak ke sekolah. Tapi sudah berjanji dengan Cikgu Sanah untuk ikut sama dalam kumpulan koir. Menyanyi untuk majlis penyampaian hadiah sekolah. Latihan pula sudah dibuat sejak 2 bulan lepas. Hampir setiap waktu rehat Cikgu Sanah akan panggil kami, kumpulan koir, untuk berlatih menyanyi di perpustakaan sekolah. Rasa bersalah kalau tidak hadir hari ini.

Lebih kurang 30 minit bergoyang dalam bas, tiba juga ke Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan.

Perkarangan sekolah (merangkap tapak perhimpunan) yang selalunya kosong, penuh hari ini. Dengan kereta mak ayah pelajar yang akan mengambil hadiah. Rasa janggal tengok sekolah penuh dengan kereta. Selalu itu kawasan yang dilarang untuk dimasuki kereta. Tapi hari ini istimewa.

Aku menuju ke 3 Dahlia. Kelas paling hujung yang dekat dengan pagar sekolah. Cikgu Sanah sudah berada di situ dan sudah mula berlatih dengan beberapa pelajar yang sudah tiba. Aku terus ambil posisi dan turut menyanyi. Ada 2 lagu yang akan dipersembahkan hari ini, 'Bunga Matahari" dan "Burung Tiung". Lagu kelas muzik untuk darjah 2.

Selepas latihan, kami diberikan kostum bunga matahari yang dijahit sendiri oleh Cikgu Sanah. Kelakar pula bila kami masing-masing melihat kepala kawan sebelah dijadikan bunga matahari. Tangan pula dibalut dengan kain hijau seolah menjadi daun.

Majlis penyampaian bermula pada pukul 1:30 petang. Kami akan bernyanyi pada waktu rehat majlis, lebih kurang pukul 3 petang. Cikgu Sanah memberikan kami setiap orang satu kupon makanan. Makanan boleh diambil di perpustakaan sekolah di tingkat 2. Kawan-kawan lain terus bergerak mengambil makanan.

Aku tidak boleh bergerak, masih perlu menunggu di kelas 3 Dahlia. Kerana di situ juga pelajar-pelajar Tahun 3 yang mengambil hadiah perlu berkumpul. Kelas darjah 1 sehingga 3 akan mengambil hadiah sekejap lagi. Aku akan mengambil hadiah bagi tempat pertama kelas 3 Ros.

Kelas 3 Dahlia sunyi seketika selepas kawan-kawan koir keluar mengambil makanan. Aku menunggu bersendirian sambil membelek-belek kupon yang hanya dibuat dari kad manila dan dipotong pada saiz lebih kurang 1x1 inci yang dicopkan nama sekolah dan alamat sekolah dalam bentuk bulatan.

Pelajar-pelajar lain kebanyakannya datang dengan ibu bapa masing-masing. Makan bersama mereka. Berpusu-pusu ibu bapa dan anak-anak mereka turun naik di tangga hadapan kelas 3 Dahlia yang menghubungkan dewan sekolah di tingkat bawah dan perpustakaan.

Aku melihat dengan perasaan yang sangat berat, tidak mahu aku berebut-rebut dengan ibu bapa pelajar lain untuk mengambil makanan di perpustakaan.

Majlis penyampaian hadiah bermula. Selepas ucapan dari beberapa orang, satu demi satu pelajar dipanggil oleh cikgu-cikgu yang menguruskan perjalanan majlis. Kami diminta untuk beratur dipintu hadapan dewan sebelum nama dipanggil oleh pengerusi majlis.

Bermula dari kelas 1 Dahlia ke 1 Kenanga ke 1 Orkid, 1 Ros, 1 Siantan dan 1 Tanjung. Darjah 2 dan 3 mengikut tertib yang sama.

Akhirnya nama aku dipanggil. Cepat-cepat aku berjalan naik ke atas pentas, mengikut setiap arahan guru bertugas. Sampai di tangga, tunggu dulu. Selepas naik ke tangga, berhenti dan berdiri di tapak yang ditanda "X". Bersalam dengan pemberi hadiah, ambil hadiah dengan dua belah tangan sambil senyum dan terus berjalan ke pintu belakang dewan.

Aku tidak menoleh ke arah hadirin. Tiada sesiapa yang perlu aku cari di situ.

Turun dari pentas, aku perlu terus bersiap untuk persembahan koir. Menyarung kembali kepala bunga matahari dan kain hijau di tangan. Habis penyampaian sijil tahap 1, kumpulan koir terus naik ke pentas. Ada antara kami yang menyanyi sambil tergelak, melihat kawan di sebelah berkepalakan bunga matahari. Kami berseronok di atas pentas. Ibu bapa di bawah dewan juga ada yang ikut tertawa bersama.

Habis persembahan, kami turun dari pentas. Kawan-kawan lain terus menuju ke tempat ibu bapa masing-masing. Aku berpatah balik ke 3 Dahlia untuk memulangkan kostum kepada Cikgu Sanah. Mujur Cikgu Sanah tidak berkata apa-apa melihat kami membuat persembahan dalam keadaan tidak serius. Aku meminta izin kepada Cikgu Sanah untuk pulang dahulu memandangkan sesi selepas ini adalah untuk pelajar-pelajar Tahap 2 dan aku tidak terlibat. Cikgu Sanah izinkan.

Sebelum pulang, aku naik ke perpustakaan, mengambil makanan. Di perpustakaan itu juga aku habiskan 2 ketul kuih dan sekotak air selepas ditukar dengan kupon. Perpustakaan sudah kosong dari ibu bapa pelajar. Aku habiskan makanan itu sendirian.

Di hentian bas, aku membelek-belek hadiah tadi, masih belum membukanya. Dari bentuk, aku sudah boleh teka. Hadiahnya seperti hadiah yang aku terima semasa Tahun 1 dan Tahun 2 yang lepas. Buku cerita Kenari. Yang juga aku ambil bersendirian.

Sambil menunggu bas berseorangan, tiba-tiba kereta pakcik Saiful lalu. Dia bertanyakan jika aku pulang seorang diri. Aku menjawab "Ya". Pakcik Saiful menawar untuk balik bersamanya kerana rumah dia hanya selang 4-5 rumah dari aku. Aku menolak kerana aku tidak mahu menunggu. Pakcik Saiful akan balik bersama Ustazah Wasilah. Ustazah pula hanya akan balik sehingga habis majlis.

Pakcik Saiful pun memandu semula masuk ke sekolah.

Aku sambung menunggu di hentian bas. Sunyinya lebih dari biasa. Ahad, hari orang bercuti. Kereta-kereta di perkarangan sekolah juga masih kaku tidak berganjak, menunggu sehingga majlis tamat.

 .......................................................................................................

Aku turun dari bas ketika matahari sudah berwarna oren. Budak-budak taman memenuhi jalan-jalan taman perumahan, bermain sesama mereka.

Sampai di rumah, Mak seperti biasa berada di mesin jahit di bilik depan. Tingkapnya mengadap ke perkarangan rumah. Mak menjerit dari tingkap bertanya "Dapat hadiah apa?"

"Buku jugak..." jawabku ringkas.

Aku letak buku tersebut di atas meja ruang tamu. Esok-esok nanti aku akan susun bersama buku-buku hadiah yang lain di rak buku. Tidak tahu bila aku akan membacanya.

Buku-buku lain di rak tersebut sudah habis aku baca. God Father, Knights of the Round Table, Tafsir Mimpi, Kunci Rezeki, Kisah 1001 Malam, Meniti Kaca, dan lain-lain. Cuma buku-buku hadiah sekolah sahaja yang tidak pernah aku usik. Tidak menarik minat.

Habis menyalin baju, aku keluar semula untuk bermain dengan kawan-kawan lain. Hari itu mereka bermain baling selipar. Harapnya hari ini selipar aku tidak masuk ke longkang seperti sebelum-sebelum ini.