Hujung tahun 2005
"PANG!!"
Berdentum pinggan jatuh ke lantai. Tersedar saya seketika selepas leka menghadap timbunan pinggan dan mangkuk di dalam sinki dengan buih-buih membukit di atasnya. Mujur pinggan yang jatuh bukannya pinggan kaca. Tidak perlu saya menjawab apa-apa kepada pengurus kedai.
Dengan sedikit susah payah, saya membongkokkan diri untuk mencapai pinggan melanin putih yang terlantar di lantai restoran yang basah dek air basuhan pinggan. Setelah berdiri selama lebih 5 jam di depan sinki dan tidak bergerak-gerak, kaki merasa keras dan kebas dan sukar untuk dilentur untuk merendahkan badan. Namun dipaksakan juga supaya pinggan tersebut dapat dibasuh.
Dari gaya pinggan dan mangkuk yang bertimbun di dalam sinki malam itu, bagaikan memberitahu malam ini saya dan rakan sekerja pasti akan balik lewat. Restoran pada malam itu sibuk luar biasa!
Sesekali saya menjenguk ke luar tingkap yang menghubungkan ruang membasuh dengan ruang makan restoran. Boleh dilihat betapa sibuknya restoran; dengan meja yang semuanya penuh dan ada yang sanggup beratur untuk menunggu ruang kosong. Kami memang sedia maklum, hujung minggu di awal bulan, biasanya restoran pasti akan sibuk. Cuma malam itu, sibuknya lebih dari yang kami jangkakan.
Saya terus menghabiskan basuhan yang seperti tiada surutnya di dalam sinki. Perlu cepat. Jika lambat akan dimarah oleh rakan sekerja yang bertugas untuk menghidang kerana tiada pinggan yang boleh digunakan.
Malam itu, saya berasa tidak puas hati dengan pengurus restoran. Masuk hari ini, sudah hari ketujuh saya bertugas pada waktu malam. Saya faham restoran kami sedang mengalami krisis kekurangan kaki tangan, cuma agak melampau tujuh hari berterusan ditugaskan pada waktu itu. Pekerja baru pula diberi sesi siang yang tidak seberat mana.
Bekerja sesi malam bermakna terpaksa bertugas mengemas kedai. Kerja-kerja waktu mengemas pula agak berat, terutama yang bekerja di bahagian dapur (dan saya salah seorangnya). Lantai perlu dijirus dan diberus, longkang di dalam dapur perlu dipastikan tidak tersumbat, penapis sampah di bawah sinki perlu dibuka dan dibersihkan, periuk-periuk sup, air rebusan di dalam kuali, oven semua perlu dicuci. Dan ada beberapa lagi tugas lain. Bangunan kedai akan dikunci pada pukul 12 malam, kedai tutup pada pukul 11 malam, maka kami ada sejam sahaja untuk menyiapkan semua tugas membersih. Andai terlewat, kami akan terperangkap dan tiada 'over-time'.
Malam itu, kedai kami tutup lewat dari biasa kerana masih ada yang sedang makan walaupun kedai sudah ditutup. Seperti yang saya jangka.
Selesai melakukan tugasan, saya menawarkan diri untuk membuang sampah ke tempat buangan sampah yang terletak di hujung bangunan. Tugas terakhir sebelum kedai ditutup. Perlu berjalan melalui ruangan untuk meletak kereta untuk ke kawasan tersebut. Saya sering menawarkan diri untuk membuang sampah kerana saya ada peluang untuk melihat langit malam setelah penat bekerja. Kawan-kawan lain tidak berapa suka untuk mengambil tugasan tersebut kerana tidak tahan dengan bau kawasan pembuangan sampah dan tidak mahu membuat tugasan terakhir. Lebih baik mereka berehat-rehat sebelum pulang.
Dengan baju yang sudah hamis dan seluar yang basah dan berbau hanyir ayam, 'hasil' membasuh pinggan berjam-jam, saya menyorong tong sampah hijau beroda menuju ke luar bangunan. Beratnya luar biasa. Dengan badan yang sudah lesu dan kaki yang hampir hilang rasa nadinya, saya gagahkan diri untuk terus menyorong.
Sampai sahaja ke kawasan meletak kereta, penat saya hilang sedikit. Dilekakan oleh mata yang memerhati langit yang cerah.
Saya terus berjalan ke kawasan pembuangan sampah. Tiba di situ, plastik-plastik sampah yang mampat di dalam tong dipunggah keluar dan dicampak ke dalam tong besi besar yang disediakan. Bau sampah yang meloyakan dan lantai yang bergelumang dengan air sampah perlu tidak dihiraukan. Sudah terbiasa. Air sampah yang berwarna coklat meleleh menitik dari plastik ketika ia dipunggah.
Habis semua plastik sampah dipunggah, tong sampah perlu dicuci. Paip air ada disediakan di depan bangunan pembuangan sampah. Saya jirus sehingga hilang air-air yang berbau sambil mencuci tangan dan kasut yang terkena tempias. Jika tidak dicuci, Tuhan sahaja yang tahu busuknya tong itu pada hari esok.
Selesai mencuci tong hijau, saya duduk sebentar di tebing longkang. Mengambil nafas sambil memberi rehat kepada kaki yang semakin kebas.
Teringat pula, pulang ke rumah malam nanti, seluar hitam di kaki itu perlu dibasuh untuk menyambung kerja esoknya. Sehelai lagi perlu disimpan untuk digunakan dalam sesi temuduga biasiswa pada hari lusa. Saya tidak mahu memakai seluar yang berbau hamis ayam untuk ke temuduga.
Dalam hati, saya bersyukur, walaupun keputusan SPM tidaklah sehebat mana, tapi masih diberi peluang untuk ditemuduga untuk mendapat biasiswa.
Sambil duduk-duduk, saya mendongak ke atas melihat langit.
Malam itu cerah. Langit gelap kebiru-biruan. Bintang-bintang boleh dilihat dengan jelas. Bulan juga terang. Cuaca pula nyaman disejukkan oleh hujan yang turun petang tadi.
Terasa syahdu di dalam hati melihat pemandangan. Hilang rasa penat berdiri berjam-jam membasuh pinggan.
Terasa seperti diri saya berada dalam mimpi dan akan dikejutkan bila-bila sahaja. Terasa bagaikan dunia ini bukanlah tempat saya yang sebenar.
Tiba-tiba, hati merasa sesuatu yang sukar diungkap. Bagaikan ia merindui sesuatu di sebalik langit malam yang luas itu. Hati ini bagaikan tahu, di luar sana, ada sesuatu. Sesuatu yang juga sedang merinduinya.
Sukar dijelaskan, tapi itulah ungkapan terbaik yang boleh dibuat.
Hati saya seolah-olah tahu dan yakin, di luar sana, ada sesuatu.
Saya terus termenung melihat langit. Terus menikmati syahdu.
Selang beberapa minit, saya bangun dan menyorong tong sampah pulang ke restoran. Kawan-kawan lain tentu sedang menunggu saya pulang supaya kedai boleh ditutup dan mereka boleh pulang.
Sambil menyorong, saya terus memerhati langit. Menikmati keindahan dan kesyahduan yang menenangkan hati. Hati yang ingin pulang kepada 'sesuatu'.