Monday, May 22, 2017

Tangannya Terketar-ketar

"Mak, macam mana nak betulkan zip ni? Zip rosak, tapi tak boleh nak cabut zipnya. Kain berlapis-lapis kat seluar ni." tanya aku pada Mak yang sedang berbaring-baring di kerusi panjang ruang tamu. Seluar tu baru dibeli. Baru sahajadipakai 2-3 kali, sayangnya zip buat hal. Mak yang sudah berpuluh tahun dalam medan menjahit aku harap dapat menyelesaikan masalah kecil ini.

"Meh sini Mak tengok. Ni memang tak boleh cabut zip. Kena buka balik seluar ni dari hujung ke hujung. Lama kalau nak repair ni." balas Mak.

"Tak apa la, Mak. Nanti buat kat kedai je la." jawabku ringkas.

"Tak apa, bagi Mak buat. Mak boleh buat. Bak balik seluar tu". Mak hulurkan tangan untuk menyambut seluar tadi yang aku sudah lipat siap-siap.

"Mak larat ke? Tadi kata nak demam. Tak apa la. Kedai buat kejap je kot." Aku masih cuba menolak sebab tahu Mak sudah tak kuat untuk berada di mesin jahit.

"Tak apa. Bak sini seluar tu." Aku mengalah. Faham sudah. Kalau dihalang pun, dia tetap akan cari peluang untuk cuba baiki seluar itu.

Memang perangai dia. Walaupun dia sudah tak larat, dia tetap mencuba untuk membantu apa yang boleh.

Sentiasa!

Seolah Mak masih belum puas berbakti pada anak-anak dia. Seperti dia pula yang terhutang budi pada kita.

Terbongkok-bongkok Mak berjalan ke mesin jahit di dapur. Dengan tangan masih menggenggam seluar tadi.

Aku mengekor dari belakang. Sudah lama aku tak melihat dia di mesin jahit. Hari ini, dapat tengok semula aksi tangan dan kaki dia. Bermain dengan pedal mesin dan jarum yang mencucuk-cucuk laju.

Grrrr...... grrr....

Enjin mesin masih boleh dihidupkan. Walaupun sudah berbulan, mungkin bertahun tidak disentuh.

Mak biarkan dulu enjin mesin berjalan. Mungkin menunggu enjin panas sedikit.

Tangannya mengambil gunting kecil dan cuba dituntas benang-benang di sekitar zip seluar. Aku perasan, walaupun berkali Mak cuba menuntas, benang tersebut tidak juga putus-putus.

Aku ambil seluar tersebut dari tangan Mak. "Tak apa. Ni orang boleh buat. Kejap mak." Terang aku dan cuba dicari kawasan benang zip tersebut.

Tangan mak sudah tidak kuat. Hendak memotong benang di seluar pun sudah tidak larat. Aku terpaksa terima hakikat tersebut. Dia juga terpaksa sama menerima kenyataan dan tidak melawan ketika aku mengambil seluar dan gunting dari tangannya. Dia sudah tua dan lemah.

Di hujung meja mesin, aku ternampak ada gulungan velcro. Aku cadang kepada Mak untuk dijahit sahaja velcro di atas zip yang rosak. Mudah. Cepat.

Mak setuju. Mak kata, inilah akal budak bijak. Orang lain tak fikir nak buat macam ni. Orang lain akan cari jalan juga untuk tukar zip baru.

Aku diamkan saja.

Sebenarnya, niat dalam hati tak nak dia bersusah-susah hanya sebab sehelai zip seluar. Janji boleh dipakai, cukup.

Mak pun mengambil pembaris, mengukur saiz velcro yang hendak dipotong. Lepas digunting, dia mula menjahit.

Terketar-ketar tangannya menahan seluar dari ditarik jarum mesin. Dengan tengkuknya terbongkok-bongkok cuba melihat kawasan zip yang dicucuk jarum mesin. Aku perhati dengan seribu rasa bersalah. Tidak sepatutnya aku bertanyakan langsung pasal seluar yang zipnya rosak. Sepatutnya aku ke kedai terus.

Mak masih di atas mesin.

Tangannya yang berkedut seribu dengan ketar-ketar tadi cuba memberi sehabis perhatian untuk disiapkan jahitan velcro tadi. Tuhan sahaja yang tahu rabaknya hati melihat Mak menjahit dalam keadaan itu. Dia demam. Dia sakit. Patutnya aku tak bagi langsung dia menjahit.

Demi Allah! Inilah kali terakhir aku akan minta tolong dari Mak. Tak sanggup tengok dia terketar-ketar atas mesin.

Demi Allah! Demi Allah! 

Janji aku dalam hati.

Selang 5 minit. Mak siap menjahit. Diberinya seluar tadi kepada aku. Aku terus menyalinnya di bilik belakang dan ditunjuk pada Mak yang seluar itu boleh dipakai semula.

Mak melihat dengan muka puas. Lebar senyumnya.

Mungkin puas hati merasakan dia masih boleh membantu anaknya yang seorang ini.

"Terima kasih, Mak". Ucapku.