Sekitar tahun 1993-1994
Hujan menyimbah taman perumahan, Taman Jasa Utama, tengahari itu. Saya duduk di kerusi ruang tamu sambil memerhati luar rumah yang basah dan berlopak dek hujan yang turun. Cuaca gelap, jalanraya pula lebih sunyi berbanding biasa. Mungkin semua penghuni bersembunyi di dalam rumah masing-masing, menikmati hujan yang turun tengahari itu.
Saya terus memerhati hujan yang masih mencurah-curah.
Dalam hati, saya sedikit sedih dengan kehadiran hujan pada hari itu. Kerana abang sudah berjanji untuk membawa saya ke empangan di belakang taman perumahan kami. Pelbagai cerita dari kakak dan abang yang membuatkan saya sangat teringin untuk ke empangan mereka.
Kata kakak, "Kalau mahu ke sana, perlu melintasi sungai. Hendak menyeberangi sungai tersebut perlu berhati-hati kerana ada nyamuk gergasi tinggal di sungai tersebut. Kalau digigit, mungkin boleh mati!" Sedikit seram apabila saya mendengar penjelasan kakak tapi pada masa yang sama, berasa tidak sabar untuk berjumpa dengan 'nyamuk gergasi' tersebut.
Abang pula kata, "Di bawah empangan itu ada pokok ceri. Boleh makan. Rasanya manis tapi kalau salah pilih, kena yang masam." Timbul pula bayangan ceri merah yang pernah saya makan di atas kek harijadi jiran saya sebelum itu. Seronoknya kalau dapat makan ceri itu puas-puas.
Bagaimanapun, cerita tersebut akan tinggal menjadi cerita andai hujan tengahari tersebut tidak berhenti.
Saya kecewa, namun tiada apa yang boleh dilakukan. Saya cuma mampu berharap supaya hujan tersebut berhenti sebelum abang pulang dari sekolah; supaya plan kami pada hari itu dapat diteruskan.
Sementara menanti hujan berhenti, saya tertidur di atas kerusi tersebut.
***************************************************************************
Emak yang menyedari saya tertidur datang mengejut saya ketika hari sudah pun petang. Sedar-sedar sahaja, saya terus melihat keluar rumah.
Hujan sudah hilang!
Abang pula sudah pulang. Baju biasa juga sudah abang pasang.
Gembiranya saya bukan kepalang. Akhirnya, tiba juga masa dan peluang; untuk saya mengalami sendiri perjalanan ke tempat air di empang.
Sebaik sahaja motor abah di-parkir, saya, kakak dan abang berdesup keluar. Kakak juga mahu ikut; maka kami terpaksa membawa kakak bersama.
Kami menuju ke hujung deretan perumahan teres kami mengarah ke sungai. Pagar dipasak di tebing-tebing sungai untuk mengelak kanak-kanak seperti kami dari terjatuh ke dalam sungai tersebut. Bagaimanapun, pagar tersebut tersembunyi di balik rimbunan pokok-pokok bunga tahi ayam yang tumbuh merayap di pagar tersebut. Andai pagar tersebut dipanjat, boleh dilihat kawanan kambing biri-biri yang berbulu putih di seberang sungai yang sedang meragut rumbut yang hijau subur di sebelah sana.
Kami teruskan perjalanan menyusuri benteng sungai sehingga tiba di kawasan yang sudah tidak berpagar.
Tiba di suatu kawasan, tebing sungai tersebut ditumbuhi oleh pokok-pokok buah. Suasananya redup dilitupi oleh daun-daun pokok buah-buahan yang rendang. Kebetulan pada masa itu musim buah. Maka boleh dilihat manggis, mangga, ciku dan rambutan sedang ranum di celahan-celahan daun. Banyak juga yang bertaburan di atas tanah. Terliur saya melihat manggis dan ciku ranum yang bergolek di tanah; tidak perlu memanjat, hanya dengan huluran tangan sudah boleh mendapat buah.
Bagaimanapun, kakak menghalang saya dari mengambil apa-apa buah. Kata kakak, "Berdosa makan buah orang tanpa minta izin dari tuannya dahulu. Di akhirat nanti kena seksa." Saya akur dan terus berlalu sambil mata tetap menjeling ke buah-buahan enak yang ada di sekeliling dan hanya memerlukan satu capaian untuk mengambilnya.
Selang beberapa ketika, kami tiba di sungai yang diceritakan. Airnya cetek sahaja tetapi sejuknya bukan sebarang. Dengan hujan yang baru sahaja turun, airnya menjadi lebih sejuk dari biasa.
Di atas permukaan sungai tersebut, terlihat 'nyamuk-nyamuk gergasi' menggelungsur berlumba-lumba sesama mereka. Kecetekan air di bahagian sungai tersebut membolehkan kami meranduknya untuk ke seberang sana. Ketika meranduk, kakak menjerit-jerit ketakutan dengan kehadiran 'nyamuk gergasi' tersebut. Saya juga turut takut dengan terpengaruh dengan gelagat kakak. Abang hanya tergelak dan memberitahu bahawa 'nyamuk gergasi' itu bukannya nyamuk dan mereka dipanggil kiak-kiak (water glider) dan kiak-kiak tidak menghisap darah.
Saya sedikit lega dengan penerangan abang tetapi masih berhati-hati supaya binatang tersebut tidak menyentuh saya. Masih ragu-ragu dengan identiti mereka.
Selepas sungai diranduk, kami teruskan pengembaraan kami menuju ke kawasan lapang sebelum sampai ke empangan. Di kawasan tersebut, berdiri pokok-pokok yang tidak saya berapa kenal. Di dahan-dahannya tergantung buah-buah bulat berwarna oren kemerah-merahan. Pokoknya tidak sebesar pokok mangga atau pokok rambutan. Rendah tapi rendang.
Tiba-tiba, kakak berlari menuju ke salah satu pokok tersebut sambil menjerit, "Pokok ceri!!" dan terus mencapai beberapa biji buah ceri yang mampu digapai oleh tangan.
Baru saya tahu, itulah rupa pokok ceri. Saya pun mengikut rentak kakak mencapai beberapa biji buah ceri segar. Buah ceri tersebut tidak seperti yang saya bayangkan dalam fikiran. Buahnya tidak sebesar dan tidak semerah ceri yang saya makan di atas kek. Rasanya juga tidak semanis ceri yang pernah saya rasa. Tapi masih sedap! Abang suruh ambil yang sudah oren sepenuhnya sahaja, kerana andai tersilap pilih, boleh termakan yang masam.
Setelah puas memetik ceri, kami sambung perjalanan ke empangan. Untuk melihat empangan tersebut, kami perlu menaiki bukit di hujung kawasan lapang yang ditumbuhi pokok ceri tadi.
Selepas mendaki bukit, kami tiba ke tempat yang ingin kami tuju.
Empangan Batu, Selayang.
Dari ketinggian bukit tersebut, terlihat satu pemandangan yang tidak pernah saya lihat seumur hidup.
"PELANGI!!" laung saya, abang dan kakak.
Bukan pelangi yang biasa saya nampak di langit, tetapi pelangi tersebut terpacak tepat di tengah tasik dengan kedua hujungnya seolah-olah memasak di dua tebing tasik, masuk ke dalam hutan di tebing tasik itu; memberi banyangan bahawa pelangi tersebut adalah jambatan yang menghubungkan dua tebing tasik tersebut.
Langit yang kuning kemerahan menambahkan lagi seri pelangi di petang itu; membuatkan warnanya jelas kelihatan di kanta mata. Dengan air empangan yang berwarna keemasan memantulkan cahaya dari langit, lebih menambah warna kepada pemandangan waktu itu.
Sangat menakjubkan.
Terasa ingin berlari turun ke bawah mencari salah satu hujung pelangi tersebut dan ingin merasa sendiri bagaimanakah keadaannya berada di dalam pelangi. Tetapi mustahil, kerana hutan tebal memisahkan kami dari sampai ke kaki pelangi itu. Mustahil untuk diredah.
Saya, abang dan kakak terpana melihat pemandangan yang tidak pernah kami alami selama ini.
Kata abang, pelangi hanya muncul selepas hujan. Kena tunggu hujan berhenti baru boleh jumpa pelangi.
Saya terdiam seketika kerana baru tengahari tadi saya berasa marah dengan hadirnya hujan. Rupanya turunnya hujan tadi adalah untuk memberikan kami sesuatu. Hujan tengahari tadi adalah untuk memberi pelangi.
Tersenyum; itu sahaja yang saya mampu buat ketika itu bagaikan ingin meminta maaf kepada 'sang hujan' kerana memarahinya.
Selang beberapa ketika, pelangi tersebut mulai pudar warnanya dan hilang dari penglihatan. Kami turun dari empangan dan memulakan perjalanan pulang ke rumah.
Hari itu, saya belajar sesuatu. Saya belajar untuk tidak lagi marah kepada hujan andai ia turun membasahi bumi. Kerana ia juga datang membawa penyeri. Ia datang membawa Sang Pelangi.