Tuesday, October 7, 2008

Raya di New Brunswick

2 Oktober 2008

Hari ini merupakan hari kegembiraan bagi kebanyakan rakyat Muslim di Malaysia. Begitu juga kami di New Brunswick, New Jersey. Walaupun ramai di antara kami mempunyai kelas pada hari tersebut, namun perasaan ingin menyambut raya di perantauan mengatasi perasaan risau akan lambat ke kelas.

Malam sebelumnya, saya dan beberapa sahabat bergerak ke masjid berdekatan untuk mengetahui bilakah tempat ini akan menyambut 1 Syawal. Alhamdulillah. Pengumuman yang dibuat mengatakan bahawa anak bulan sudah muncul. Ini menujukkan 1 Syawal telah tiba. Selesai sahaja pengumuman tesebut, kami terus bergerak ke rumah sahabat kami di sebuah apartment universiti yang berdekatan dengan masjid. Sebelum itu, kami sempat bersalaman dan mengucapakan "Eid Mubarak" kepada beberapa saudara Muslim yang kami kenal di masjid tersebut.

Tiba sahaja di rumah sahabat kami, kami terus merancang aktiviti yang akan kami lakukan untuk menyambut Hari Raya pada keesokan harinya. Selesai sahaja keputusan dibuat, kami bergegas mengumpul bahan-bahan masakan dari rumah kami masing-masing. Jarak di antara rumah-rumah agak jauh. Jadi, kami terpaksa meminjam kereta sahabat kami yang tinggal berhampiran masjid ini. Syukur kerana kami ada kemudahan ini.

Keesokan harinya, seawal 6 pagi, kami sudah bangun dan bersiap-siap untuk bersolat sunat Aidil Fitri di masjid. Di tengah-tengah kedinginan pagi musim luruh, kami bergerak ke masjid dengan memakai baju Melayu dan baju kurung (bagi wanita).

Selesai solat, kami menjamu selera di padang permainan di belakang apartment sahabat kami. Dengan soto dan lontong yang di masak pada malam sebelumnyaoleh para-para wanita, kami sambut Aidil Fitri pertama kami sebagai perantau di bumi Allah.

Hari ini dalam sejarah

4 Oktober 2008

Di petang yang dingin ini, di bandar New Brunswick, New Jersey, saya bersama seorang sahabat saya ingin bergerak ke bandar New York. Jarak di antara universiti kami dengan bandar New York hanyalah lebih kurang sejam setengah dengan menaiki keretapi. Walaupun saya akan menghadapi peperiksaan Organic Chemistry dan Genetic pada lusanya, namun saya beranikan jua diri ini demi merasai nikmat beraya di perantauan.

Pada asalnya, kami ingin menaiki keretapi seawal yang boleh. Tetapi memandangkan maghrib hampir tiba, kami tangguhkan dahulu perjalanan kami demi memberi ruang untuk bersolat terlebih dahulu. Selesai sahaja bersolat maghrib di rumah masing-masing (masjid yang paling dekat pun perlu menaiki 2 bas), kami bergerak ke stesen keretapi. Sebelum itu, kami singgah di sebuah restoran halal yang agak murah untuk makan malam. Kemudian, kami singgah di sebuah bank untuk mengeluarkan sedikit tunai kerana kami sudah kehabisan tunai.

Tepat jam 9.30 malam, kami pun bergerak ke Hoboken, tempat yang sering kami singgah untuk bermalam sebelum kami masuk atau selapas kami keluar dari bandar New York. Nasib baik ramai kawan kami belajar di sebuah universiti di sini. Dapatlah kami bermalam secara percuma jika berlaku apa-apa masalah di New York.

Semasa di dalam keretapi, pelbagai perkara kami bualkan termasuklah akademik, keluarga, masa hadapan dan lain-lain topik. Saya juga sering bertanya mengenai banyak perkara kepada sahabat saya kerana beliau juga merupakan senior saya.

Setelah agak lama berbual, sahabat saya ini menceritakan kisah silamnya sewaktu beliau di sekolah. Beliau menceritakan bahawa beliau sering mendapat markah tertinggi di sekolah beliau, beberapa kali beliau naik ke pentas untuk menerima hadiah, dan lain-lain. Di dalam hati kecil ini, wujud perasaan dengki kepada beliau, tetapi saya diamkan.

Selepas itu, beliau bercerita mengenai zaman sekolah rendah beliau. Beliau bercerita bagaimana di sekolah rendah, beliau terpaksa pergi ke sekolah seawal 4 pagi kerana menurut kehendak pekerjaan bapa beliau. Di dalam hening pagi itu, beliau bersama adik-beradik beliau yang lain terpaksa berhimpit-himpit di dalam sebuah lori yang sarat dengan kelapa. Apabila mereka tiba di sekolah, mereka tidur di kantin sekolah demi mengganti tidur malam yang tidak cukup sementara menunggu loceng berbunyi.

Tiba-tiba, perasaan dengki tadi berubah menjadi perasaan sayu dan kagum. Tidak dapat saya bayangkan diri saya di situasi beliau. Mungkin saya akan ke sekolah tanpa mandi terlebih dahulu kerana takutkan air yang sejuk. Mungkin juga saya tidak akan ke sekolah kerana lebih sayangkan katil yang empuk. Subhanallah. Di lubuk hati ini, terbit perasaan syukur kerana saya tidak diuji dengan dugaan sedahsyat itu. Alhamdulillah. Namun, saya berdoa agar saya boleh menjadi setabah dan sekuat beliau.

Bersambung...