Thursday, July 30, 2009

Kasihan sungguh saya tengok makcik-makcik ini.

30 Julai 2009

Setiap kali saya berjalan-jalan di sekitar pekan George Street, pasti akan terlintas dengan satu atau dua warga emas wanita yang bersendirian dan bermundar-mandir tanpa arah. Sambil membawa beg-beg besar, makcik-makcik ini berlegar-legar seperti "homeless" yang sentiasa mencari sesuatu. Di dalam bas, di stesen keretapi, di Burger King, warge-warga emas ini wujud seperti lembaga asing yang tidak dihirau masyarakat. Bukan di George Street sahaja, bahkan di pekan-pekan atau bandar-bandar lain, pasti ada kewujudan warga emas yang bersenario begini.

Dalam hati, memang kasihan saya melihat mereka ini. Selalu juga timbul persoalan-persoalan di dalam benak fikiran, "Ke mana keluarga makcik ni?", "Anak-anak dia sudah tidak mahu ambil tahukah?", "Makcik ini masih berumahkah?", "Tiada siapakah yang mampu membela mereka?".

Namun, tidak kira sekasihan mana saya kepada mereka ini, tiada apa yang mampu saya lakukan. Melihat dan bersimpati sahajalah yang terdaya dibuat. Mungkin mereka sendiri tidak kisah denagn situasi mereka. Tetapi kepada saya yang sering teringatkan

Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan saya mengenai situasi ini, yang banyak sekali berlaku di Amerika Syarikat. Di negara yang kononnya mengamalkan keadilan, toleransi, dan pembelaan untuk setiap warganya, yang pada pengamatan saya, tidak terlihat pun keadilan, toleransi dan pembelaan untuk warga emas ini.

Jawapan rakan saya, "Inilah akibat kapitalisma yang diamalkan secara total di sini. Sistem yang menilai manusia hanya pada nilai mereka. Selagi mereka mampu memberi untung kepada sesetengah pihak, selagi itulah periuk mereka dipelihara. Apabila hilang nilai mereka, yakni ketika mereka sudah tidak lagi mampu untuk memberi untung dan faedah kepada masyarakat, hilanglah hak mereka untuk dibela sebagai manusia yang masih bernyawa."

Kata-kata rakan saya itu ada juga kebenarannya. Di sini, apabila anak-anak sudah mampu berdikari, ibu bapa mereka akan dihantar ke nurseri. Seolah-olah anak-anak tidak ada tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka yang telah bersusah-payah membesarkan mereka. Salah satu alasan anak-anak tersebut, "Masa kami kecil, ibu ayah sibuk bekerja dan sering menghantar kami ke nurseri. Kini giliran mereka pula untuk ke nurseri." Alasan yang pernah saya dengar dari Youtube.com.

Jika benar pun berlaku perkara tersebut, mengapa perlu anak-anak berdendam dengan ibu bapa sendiri? Manusia yang telah berusaha mendewasakan mereka? Dimanakah toleransi yang sering mereka banggakan? Sedangkan toleransi dengan ibu bapa sendiri pun tiada, bagaimana mereka masih mampu melaungkan kepada dunia bahawa mereka mementingkan toleransi?

Dihantar ke nurseri sudah cukup baik bagi warga emas disini walaupun hidup tanpa kasih sayang anak-anak sendri untuk meniti hari-hari terakhir. Tetapi, yang lebih kasihan adalah warga-warga emas yang hidup melata tanpa teduhan. Berlegar-legar menjadi "homeless" di bandar-bandar bandar dan pekan-pekan. Di bandar New York yang megah itu sendiri, orang-orang tua tidur merata-rata. Di mana-mana Subway, di waktu malam, pasti kelihatan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang tidur beralaskan kotak, berselimutkan surat khabar. Lebih memburukkan keadaan mereka apabila cuaca sejuk menjadi musim.

Kapitalisma yang mereka katakan sebagai sistem yang adil dan memberi faedah kepada semua hanyalah sekadar kata-kata manis yang diucap oleh mereka yang tamak dan bijak mengekspolitasi manusia untuk membesarkan tembolok sendiri. Hakikatnya, sistem ini hanyalah merendahkan nilai manusia kepada barang dagangan yang hanya digunakan untuk membuat keuntungan kepada sesetengah individu.

(Ini sekadar pendapat saya. Mungkin anda sekalian ada pandangan yang berbeza.)