Thursday, June 14, 2012

Mereka kata "Duit Bukanlah Segalanya"

Ramadan 1996


Petang itu, saya duduk-duduk di ruang tamu, sambil melihat Mak menjahit langsir yang ditempah oleh pelanggan. Selain bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, Mak juga mengambil upah menjahit di rumah. Emak lebih mahir menjahit pakaian wanita, seperti baju kurung, blouse dan kebaya, tetapi sesekali ada juga yang menempah langsir dan benda-benda lain.

Seronok melihat aksi beliau yang lincah bergerak, bermain dengan alatan-alatan menjahit. Selepas menebar kain langsir di atas lantai ruang tamu, pembaris L dicapai (pembaris yang biasa digunakan oleh tukang jahit) untuk membuat ukuran. Tangan kiri pula tersepit kapur jahit untuk menanda bahagian yang sudah diukur. Selesai membuat ukuran, gunting pula melekat di tangan dan emak menggunting dengan laju; menujukkan beliau sudah biasa dengan tugas tersebut dan setiap langkah dibuat tanpa perlu difikir dua kali.

Sambil menjahit, Mak yang perasan saya sedang duduk memerhati beliau 'bekerja', memulakan perbualan untuk menghiburkan diri saya dan juga beliau; yang seperti sudah bosan dengan rutin menjahit. Memang tabiat Mak, sambil-sambil membuat kerja, beliau akan berborak dengan sesiapa sahaja yang ada di sekitar beliau.

Saya mendengar bualan Mak, yang lebih kepada leteran, sambil mata saya tetap terpacak pada pergerakan tangan beliau. Laju dan lancar.

"Makcik Nora (bukan nama sebenar) ni kejam betul. Suruh Mak jahit langsir untuk satu rumah! Mak bukannya ada masa sangat nak jahit langsir besar-besar ni. Kain yang dia bagi sudahlah susah nak dijahit, bagi masa 2 minggu sahaja. Sekarang ni musim orang nak raya, jahitan Mak banyak lagi. Marah orang nanti bila tau baju dia orang tak siap. Tetapi sebab jahit langsir boleh dapat duit lebih, terpaksa juga mak buat. Kalau tak buat nanti, tak ada duit la kita nak raya"

Memang benar kata Mak. Jahitan untuk musim raya biasanya luar biasa banyak. Boleh dilihat dengan berlambaknya bungkusan-bungkusan kain yang belum berusik di dalam bilik jahitan Mak. Saya tidak pasti sama ada Mak sempat menyiapkan semua sekali atau tidak. Tapi saya tahu, Mak akan mencuba sehabis boleh untuk menyiapkannya dan setiap masa terluang beliau akan ditemani oleh helaian-helaian kain.

Untuk langsir Makcik Nora, Mak beritahu yang beliau tetapkan RM1,000 untuk harga upah jahitan memandangkan kerjanya banyak dan leceh.

Dalam hati saya saya berbisik "Wow! RM1,000! Boleh beli 3 basikal. Boleh makan KFC hari-hari. Boleh beli itu. Boleh beli ini." Perkiraan seorang budak darjah 2.

Mak pula ada perkiraan lain. Mak cakap, bila beliau dapat upah itu, beliau nak beli kain untuk buat baju raya kami. Mak juga nak buat langsir baru memandangkan langsir rumah yang berwarna hijau sudah sangat uzur dan berkulat. Ada lebihan, Mak nak beli kain untuk buat sarung kerusi yang baru. Barang-barang untuk membuat kuih dan hidangan raya jga akan menggunakan duit itu. Kalau masih ada baki, Mak nak simpan untuk kegunaan persekolahan kami tahun hadapan.

Saya yang mendengar hanya mampu mendengar.

"Tak dapat la nak minta belikan basikal baru".

2 minggu seterusnya adalah dua minggu yang sangat sibuk untuk Mak. Rutin jahitan beliau akan bermula seawal waktu sahur. Selesai sahaja bersahur, Mak akan terus duduk di lantai, menanda dan memotong kain. Mak akan berhenti apabila azan subuh berkumandang untuk bersolat. Selesai solat, tugasan sebagai suri rumah beliau pula perlu dipenuhi; seperti membasuh baju, mengemas rumah, menyapu dan lain-lain tugas. Selesai tugas suri rumah, tugas tukang jahit akan disambung. Jika tidak di mesin jahit mencantum lembaran-lembaran kain, Mak akan berada di atas lantai memotong kain. Malam pula, jika tidak di tikar sejadah bersolat tarawikh, tangan Mak pasti akan memegang kain. Jika larat, Mak akan menyambung menjahit di mesin sehingga pukul 3 pagi sebelum ke dapur untuk menyediakan sahur. Ketika saya tidur, bunyi kayuhan mesin jahit Mak masih boleh didengari.


Setelah dua minggu berlalu, Makcik Nora datang ke rumah kami seperti yang kami jangkakan. Mak sudah bersedia di pintu rumah dengan beg-beg plastik besar yang berisi langsir. Mak kelihatan tidak sabar untuk menerima habuan beliau.

Selesai beg-beg plastik diangkat ke dalam kereta Makcik Nora, dia pun mengeluarkan wang untuk membayar upah jahitan Mak.

RM40 sampai ke tangan Mak.

Mak tercengang seketika seperti tidak percaya.

"RM40? Harga upah langsir tu RM1,000 macam aku cakap hari tu. Mana bayaran lebih?" kata Mak.

"RM40 cukup la. Bukan susah pun nak buat langsir. Kawan-kawan punya harga, bagi la murah sikit. Aku nak kena cepat ni. Apa-apa hal nanti aku jumpa kau lagi" jawab Makcik Nora.

Makcik Nora terus masuk ke dalam kereta dan meluncur ke jalanraya lalu lesap dari pandangan.

Mak masih tercengang di hadapan pintu seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Usaha dua minggu beliau, harapan beliau untuk menukar langsir, harapan beliau untuk membeli kain untuk menjahit baju raya kami, harapan beliau untuk sarung kerusi baru, dan juga persediaan sekolah kami. Semuanya ranap secara tiba-tiba.

Bukannya mudah untuk mendapatkan RM1,000. RM1,000, bukannya harga yang Mak buat-buat. Itu harga yang telah dijanjikan. Harga itu jauh lebih murah jika dibandungkan dengan kedai-kedai lain yang menjahit langsir. RM1,000 itu adalah harga dua minggu emak bertungkus lumus dalam penat beliau menjaga 6 orang anak.

RM1,000 kini hanya tinggal RM40.

Saya yang berada di belakang Mak tidak faham apa-apa dan hanya memerhati.

Dan raya hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Mak mampu untuk mengumpul duit lain hasil dari jahitan yang lain.

Tahun itu, raya kami menjadi lebih sederhana dari biasa. Tanpa baju baru, tanpa makanan istimewa, dan sudah tentu, tanpa dapat berjumpa dengan saudara mara di kampung.


**************************************************************************

Setelah lebih 10 tahun berlalu, Mak menceritakan semula kisah itu kepada saya. Dai cerita Mak, jelas menunjukkan yangMak masih berdendam dengan Makcik Nora atas apa yang berlaku.

Seperti tidak percaya diperlakukan sezalim itu.



(Artikel ini ditulis pada 15 Jun 2012 apabila saya membaca kisah PM Najib menghabiskan RM3 juta hanya untuk lawatan ke 3 tempat. Pembaziran yang sangat melampau. Saya sebagai seorang rakyat yang sangat-sangat menghargai nilai duit rasa sangat tercabar apabila seorang 'pemimpin' menggunakan wang sewenang-wenangnya. Kalaulah dia tahu peritnya seorang rakyat mencari sesuap nasi.)

Wednesday, June 13, 2012

Baju Terbuang Untuk Jiran Dari Seberang



22 April 2012

Hari sudah mulai gelap dengan cahaya kemerah-merahan memancar di ufuk barat ketika saya memasuki kereta petang itu. Peluh di badan masih belum kering hasil dari memunggah barang-barang pejabat naik ke tingkat dua.

Penat, badan berbau hamis dan azan Maghrib pula akan dilaungkan sekitar 10 minit lagi.

Terasa ingin pulang ke rumah sewa telebih dahulu, membersih dan menyegarkan diri, dan bersolat maghrib di surau berhampiran sebelum pulang ke Kajang. Tetapi saya sudah berjanji dengan Mak untuk berada Kajang sebelum pukul 8 malam. Kalau saya mandi dulu, saya mungkin akan sampai ke rumah sekitar pukul 9 malam. Dan Mak akan bising.

Tambahan pula, malam itu saya berjanji untuk membawa Mak ke rumah Makcik saudara di Keramat. Kalau pukul 9 sampai rumah, kemudian perlu ke Keramat dan perlu berpatah balik ke Kajang, tak tahu pukul berapa saya akan balik ke Bangi, ke rumah sewa saya.

Fikir punya fikir, saya mengambil keputusan untuk terus sahaja memandu pulang ke Kajang. Walaupun badan berasa sangat tidak selesa dengan peluh yang masih basah dan menyebabkan baju melekat-lekat di atas kerusi kereta, saya tegapkan juga tangan untuk mengawal stereng. Harapnya, sempat untuk saya mandi di rumah Kajang nanti sebelum bergerak ke rumah Makcik.

Alhamdulillah, saya sempat tiba ketika azan Maghrib berkumandang di surau berhampiran rumah. Sempat juga untuk berhenti solat di surau sebelum tiba di rumah.

Selesai sahaja Mak bersolat Maghrib dan bersiap, dan saya juga lengkap dengan persalinan baru, kami masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan ke Keramat. Adik-adik lain tidak mahu ikut sama, Abah juga nak tinggal di rumah untuk menonton TV. Maka hanya saya dan Mak di dalam kereta pada malam itu.

Kami tiba di rumah Makcik sekitar pukul 9 malam. Makcik sudah sedia menunggu di rumah dengan bancuhan kopi susu dan sepinggan biskut di atas meja. Saya menjamah biskut tersebut bagaikan budak yang mendapat coklat, tanpa berasa segan silu, memandangkan perut sudah beberapa jam kosong tidak berisi dek kesuntukan masa dan terkejar-kejar ke sana ke mari.

Sambil Mak berborak-borak dengan Makcik, Makcik keluar masuk dari bilik beliau sambil membawa beberapa guni berisi pakaian-pakaian terbuang yang beliau terima dari kawan-kawan beliau.

Mak, selaku tukang jahit berpengalaman, membelek-belek baju-baju di dalam guni tersebut sambil mengasingkan baju yang masih boleh diguna dan baju yang hanya layak berada di bawah kaki atau di dalam tong sampah.

Saya pula, hanya memerhati tanpa minat memandangkan kebanyakkannya adalah baju-baju terpakai dan baju perempuan.

Mak tekun mengasingkan baju-baju tersebut.

Mak mengumpul baju-baju terbuang bukannya untuk kegunaan beliau atau ahli keluarga kami, tetapi untuk 'saudara'nya yang datang dari seberang.

Di rumah, saya tahu Mak berkawan dengan ramai orang Indonesia. Dari pembantu-pembantu rumah hinggalah kepada pembantu restoran di deretan kedai belakang rumah. Satu perkara yang menyebabkan saya berasa kagum dengan Mak, kerana beliau boleh membuat kawan tanpa mengenal bangsa, asal usul atau latar belakang. India, Cina, Indonesia, Datin, orang dari Jabatan Kebajikan... Semua Mak jadikan kawan. Semua mak jemput datang ke rumah kami yang tidak seberapa.

Mak juga selalu berusaha untuk membantu orang yang lebih susah dari beliau. Mak bukanlah orang senang. Walaupun makanan di rumah pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada, tapi Mak sentiasa mencari jalan untuk membantu orang lain.

Mengumpul baju-baju terpakai adalah salah satu usaha Mak untuk membantu rakan-rakannya. Mak tahu, orang-orang Indonesia yang bekerja di sini adalah orang-orang susah.

Sambil Mak memilih baju, Mak bercerita tentang kesusahan pekerja restoran Indonesia di kedai belakang rumah. Saya dan Makcik hanya mendengar.

"Kau tau tak Midah (nama Makcik), diorang tu, orang Madura. Nak masak air pun, sampai kena kutip daun kering dari pokok jiran. Buat unggun api. Kadang-kadang sampai jiran marah sebab diorang pun nak guna daun kering tu. Kalau bela ayam, tak sempat anak ayam nak besar, telurnya semua kena curi. Lepas tu, dah lah kena merantau sampai Malaysia nak cari duit. Tapi bila diorang hantar balik Madura sana, orang kampung fitnah diorang jual badan kat sini. Orang kampung diorang tak tau diorang mula kerja pukul 4 pagi, tutup kedai pukul 12 malam. Separuh mati kerja tapi gaji RM25 sehari. Sebulan dapat dalam RM800 je. Yang kelakar, ada yang beli tong gas kat sana, tapi jadi perhiasan sebab sayang nak guna" bebel Mak.

Kami tekun mendengar.

Bila mendengar penjelasan Mak, saya semakin faham kenapa Mak beriya nak menolong mereka.

Mak juga memberitahu, yang mereka sangat gembira bila Mak memberi mereka baju-baju terpakai kami adik-beradik. Sebab tengok mereka gembira dengan pemberian Mak, Mak berusaha mencari baju-baju terpakai yang lain. Namun, urusan Mak banyak dipermudahkan kerana beliau adalah seorang tukang jahit yang punya ramai kenalan.

Selepas Mak puas berbual dengan Makcik, kami minta izin untuk beransur. Saya menolong Mak dengan membawa guni-guni baju tersebut; memandangkan Mak sudah semakin lemah dek mamahan usia.

Kami  pulang dengan kereta dipenuhi guni baju.

Malam itu, saya belajar sesuatu daripada Mak.

Kalau nak bersedekah, tak semestinya perlukan duit. Beliau boleh bersedekah dalam keadaan beliau sendiri hidup dalam kepayahan.

Saya berdoa agar setiap usaha beliau diberi ganjaran berlipat kali ganda oleh Sang Maha Pembalas Kebaikan.