Wednesday, July 25, 2012

Surau Kami, Taman Permainan Kami

Ramadhan 1997

Surau An-Nur, Taman Kantan Permai yang baru

Masih ada 30 minit sebelum masuk waktu Subuh ketika saya menyudahkan sajian sahur pagi itu. 30 minit itu, saya gunakan untuk mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Ramadhan tahun itu jatuh pada hari sekolah, maka, selepas sahur, tiada ruang untuk kami tidur-tidur seperti tahun sebelumnya.

Ketika azan Subuh berkumandang, saya berjalan menempuhi hening pagi untuk ke surau Taman Kantan Permai yang letaknya selang 4 buah rumah dari rumah kami. Hari itu, surau penuh luar biasa memandangkan ramai yang mengambil kesempatan untuk berjemaah Subuh di surau, alang-alang sudah terbangun untuk sahur.

Kebiasaannya, subuh di surau kami hanya dihadiri oleh lingkungan 20 orang. Tetapi hari itu, surau penuh sehingga saf belakang. Saf belakang yang selalunya dibentuk oleh barisan kanak-kanak seperti saya, pagi itu dipenuhi oleh pakcik-pakcik yang kurang saya kenal.

Usai solat, saya terus menuju ke perhentian bas untuk ke sekolah.

Pulangnya saya dari sekolah, rutinnya, saya langsung menuju ke surau untuk bersolat Zohor. Waktu Zohor biasanya masuk betul-betul ketika saya turun dari bas sekolah. Dengan pakaian sekolah yang masih bersarung dan beg yang masih bergalas, saya ke surau untuk bersolat jemaah bersama beberapa orang pakcik, pakcik posmen dan kawan-kawan lain, dengan Pak Yusop selaku imam.

Habis sahaja solat, saya akan berehat-rehat dahulu di serambi surau sambil memerhati gunung di hujung Taman Kantan Permai yang dihiasi oleh awan-awan yang bertompok-tompok di langit biru. Udara tengahari di taman itu mendamaikan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja terlena dipuput bayu halus.

Kadang-kala di waktu cuti, saya akan mencari peluang untuk berbaring dan tidur di surau kerana surau itu redup, tenang, dan nyaman dan sangat kondusif untuk dijadikan tempat tidur ketika cuaca di luar terik dek sinaran matahari Zohor.

Selepas puas mengelamun di serambi, saya menyarung sepatu dan berjalan menuju ke pagar surau untuk pulang ke rumah. Ketika memijak simen di laman surau, saya boleh perhati ada beberapa kawasan yang berlubang-lubang 'hasil tangan' kami ketika bermain gasing di situ. Di laman simen itulah, tempat saya dan kawan-kawan berlatih bermain gasing. Pernah beberapa kali kami ditengking dan dimarah oleh pakcik-pakcik surau kerana merosakkan harta benda surau, namun kami buat degil dan tetap bermain di situ sehingga berlubang-lubang simen tersebut kami kerjakan.

Sambil berjalan menuju ke rumah, saya dapat melihat ruangan membasuh pinggan surau kami. Di situ, tempat saya akan bekerja membasuh pinggan dan cawan pada waktu malam nanti. Saya sudah berjanji dengan Pakcik Ghazali untuk membasuh pinggan dan cawan selepas moreh setiap malam di sepanjang bulan Ramadhan tahun itu. Pakcik Ghazali pula berjanji untuk memberi upah sebanyak RM300 jika saya boleh menyiapkan tugasan seperti yang saya janjikan. Setakat malam tadi, saya masih mampu membuat tugasan tersebut tanpa ada sebarang masalah.

Petang itu, saya hanya berehat di rumah menunggu buka dan hanya keluar untuk bersolat Asar di surau.

Selesai berbuka dengan ala kadar, saya terus mudik ke surau untuk bersolat Maghrib. Maghrib bulan Ramadhan biasanya lebih kosong berbanding hari biasa. Terbalik dengan waktu Subuh. Namun, untuk saya, sedaya upaya saya mencuba untuk bersolat di surau. Sesekali, jika saya sampai awal ke surau, saya akan menyertai jemaah surau berbuka. Tapi kebiasaannya, saya lebih selesa berbuka di rumah sambil menonton TV.

Selepas solat Maghrib, saya pulang dan akan makan sepuas hati di rumah.

Sambil menunggu waktu Isyak, sering saya dan adik berlegar-legar di sekeliling Taman Kantan Permai, mencari lokasi yang sesuai untuk bermain mercun. Hanya apabila azan dilaungkan, baru kami bergegas menuju ke surau untuk bersolat Isyak dan bertarawikh bersama jemaah surau.

Tarawikh pula, jarang kami tunggu sehingga tamat 20 rakaat. 8 rakaat sudah cukup banyak untuk kami. Selepas 8 rakaat, kami akan berdesup keluar, bermain mercun dengan rakan-rakan lain di sekitar surau. Pernah sekali, ketika kami asyik bermain mercun 'Thunderclap', botol yng memegang 'Thunderclap' jatuh dan menyebabkan mercun tersebut terbang mendatar menuju masuk ke surau. Ahli surau menjerit keluar dari surau sambil mengejar kami yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk berlaku waktu itu.

Habis sahaja solat witir, kami akan menuju kembali ke surau untuk menikmati moreh yang disediakan oleh wakil-wakil dari setiap jalan. Pakcik-pakcik surau pula, seperti tidak kisah dengan kehadiran kami yang hanya bersolat 8 rakaat dan hanya kembali ke surau untuk makan.

Tamat moreh, saya akan ke belakang surau, "bermain" di kawasan membasuh pinggan membersihkan pinggan dan cawan-cawan yang digunakan untuk moreh tadi.

Selesai tugasan disiapkan, saya pulang ke rumah untuk berehat bagi menyambung rutin yang hampir serupa pada keesokkan harinya; sehinggalah ke penghujung Ramadhan.

Bulan Ramadhan di Surau Taman Kantan Permai sentiasa meriah. Walaupun suraunya tidaklah semewah dan secantik surau lain, tapi itulah tempat bertumpunya penduduk Taman Kantan Permai. Di situlah tempat kami, kanak-kanak Taman Kantan Permai, bermain sambil pakcik-pakcik surau menjadi pengawas kami. Di situlah juga kami belajar erti berjemaah, erti berkawan dan erti hidup berjiran.

Walaupun kini surau itu diruntuhkan dan diganti dengan surau yang lebih besar di kawasan lain, namun suasananya tidak dapat menggantikan suasana ketika di surau lama.

Semoga memori di surau tersebut dapat disambung di Surau An-Nur Taman Kantan Permai yang baru yang dihadiri oleh ahli Taman Kantan Permai yang baru.

Monday, July 9, 2012

Arumugam

Tahun 1995



Pelajar-pelajar lain sudah pun berada di dalam barisan di luar kelas 1 Ros ketika Arumugam dengan perlahan-lahan berjalan menuju ke blok kelas kami di bawah sinar terik matahari. Arumugam tenang berjalan seperti tiada apa yang perlu dirisaukan sedangkan pelajar lain sudah bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran.

Saya, salah seorang pelajar yang berada di dalam barisan, leka memerhatikan Arumugam yang tadinya sayup-sayup kelihatan, tetapi kelibatnya menjadi semakin jelas apabila dia semakin dekat dengan bangunan kelas. Kelas kami yang berada di tingkat 3 menyebabkan saya boleh memerhati pergerakan Arumugam yang datang nun dari hujung padang sekolah.

Selesai beratur dan membaca doa, kami masuk ke kelas dan duduk di meja masing-masing.

Hanya apabila kami sudah duduk di meja baru Arumugam tiba di pintu kelas. Sebelum dia diizinkan untuk duduk, Cikgu memukul tapak tangannya dengan pembaris sebagai hukuman kerana hadir ke kelas lewat.

Arumugam seperti tidak berapa kisah dimarah dan dipikul oleh Cikgu. Selepas dihukum, dia duduk di mejanya seperti pasrah dengan apa yang dilakukan ke atasnya.

Selepas bertukar subjek dan guru beberapa kali, waktu rehat akhirnya tiba.

Pelajar-pelajar lain berlumba-lemba ke kantin untuk berada di barisan hadapan untuk membeli makanan di kaunter. Jika terlewat, alamatnya mungkin tidak sempat untuk makan memandangkan waktu rehat hanyalah 20 minit sedangkan ada beratus pelajar yang akan beratur di 2 kaunter kantin.

Arumugam, tenang seperti biasa, tidak terkejar-kejar ke kantin dan dia berjalan turun ke tingkat bawah. Saya perhatikan gelagat Arumugam dari belakang. Saya juga ingin ke kantin tetapi memandangkan Mak sudah menyediakan bekal roti benjo (makanan kegemaran), maka saya tidak perlu terkejar-kejar untuk beratur seperti pelajar lain.

Apabila sampai di bawah, Arumugam tidak ke kantin, tetapi beliau menuju ke padang sekolah. Saya mengambil keputusan untuk mengekorinya.

Ketika dia sedang berjalan di atas padang, saya menjerit dari belakang Arumugam,

"Arumugam! Kau nak pergi mana?"

Arumugam menoleh ke belakang dengan muka terkejut. Mungkin dia risau andai ada orang yang ingin menangkapnya dan mengadu kepada cikgu kerana dia ingin keluar dari perkarangan sekolah pada waktu sekolah. aApabila dia tahu yang bertanya itu adalah saya, dia menjawab, "Balik rumah!" dan terus berjalan.

Saya masih mengekori tetapi saya berlari-lari sedikit untuk mengejarnya sambil tangan saya memegang Tupperware berisi benjo dan botol air.

"Rumah kau kat mana?" tanya saya apabila saya berada betul-betul di sebelahnya.

"Kat belakang padang je. Rumah 2 tingkat." sambil jarinya menunjukkan deretan rumah 2 tingkat separuh siap yang betul-betul berada di luar pagar kecil di hujung padang. Deretan rumah tersebut agak menyeramkan. Rumahnya tidak berpagar. Semak-samun dan pokok-pokok renek merimbun di celahan rumah-rumah tersebut. Agak seram jika dilhat sekali imbas.

Apabila tiba di pagar, Arumugam keluar. Saya berhenti. Tidak berani untuk mengekorinya keluar dari kawasan sekolah pada waktu sekolah. Takut Cikgu marah. Arumugam pula, terus berjalan menuju ke salah sebuah rumah tersebut seperti tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Saya berpatah balik ke bangunan kelas dengan harapan Arumugam akan balik ke kelas selepas habis waktu rehat.

Malangnya, dia tidak muncul selepas habis waktu rehat.

Saya perasan, Arumugam kadang-kala akan hilang selepas waktu rehat. Kadang-kala, dia akan menunggu sehingga tamat sesi sekolah.

Saya juga perasan, Arumugam tidak seperti pelajar yang lain.

Saya merasakan diri saya agak sama dengan Arumugam. Arumugam juga merasa begitu. Maka, kami agak rapat di dalam kelas walaupun dia pelajar India dan saya pelajar Melayu. Ada pelajar Melayu dan India yang lain di dalam kelas, tetapi saya lebih selesa berborak dengan Arumugam. Arumugam juga begitu.

Kami boleh mesra kerana kami adalah dua pelajar yang masih tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Maka, kawan-kawan sering memperolokkan kami. Kami faham perasaan diperolokkan dan diasingkan.

Mana kan tidak, kawan-kawan lain semuanya ke tadika dan sudah boleh membaca sejak di tadika. Saya pula, hanya mengenal huruf hanya apabila saya masuk ke sekolah. Maka, saya lebih lembab dari kawan-kawan yang lain.

Arumugam, olokkannya lebih dahsyat dari saya.

Kawan-kawan sering mengatakannya cacat kerana jari-jari Arumugam ada yang bercantum dan berbentuk pelik. Dia juga agak selekeh dengan kasut yang besar dan berlumpur dengan baju seragam sekolah yang kusam dan tidak kemas. Maka kawan-kawan lain sukar untuk berasa selesa dengannya.

Saya pula, tidak kisah dengan penampilannya. Kerana saya tahu, kasutnya selalu berlumpur kerana hari-hari dia akan meredah padang sekolah untuk ke kelas dan pulang ke rumah. Dengan padang yang sentiasa berlopak, memang sukar unruk menjaga kebersihan kasut. Kasutnya juga besar kerana Arumugam berkongsi kasut dengan abangnya. Abangnya bersekolah sesi pagi, dia bersekolah sesi petang. Maka mereka akan bergilir menggunakan kasut tersebut. Hanya apabila abangnya pulang, baru dia dapat menggunakan kasut. Maka, dia selalu masuk ke kelas lewat. Dia juga berjalan perlahan kerana kasut yang bersaiz besar tersebut mengganggu pergerakkannya. Jika dia berjalan laju sedikit, kasut tersebtu akan tanggal dari kaki. Bajunya juga dikongsi dengan abangnya. Maka, bajunya lebih lusuh dari baju pelajar lain kerana baju itu sudah lama dan dipakai pula oleh 2 orang.

Untuk jari-jari Arumugam pula, saya tidak mempunyai komen. Tapi jika ada peluang, saya suka memerhatikannya. Lain dari yang lain!

Malangnya, pelajar-pelajar lain tidak tahu apa yang berlaku pada dirinya. Mereka lebih selesa untuk terus memulau dan mengejeknya. Saya pula, kebetulan boleh rapat dengannya, maka saya mempunyai kesempatan untuk tahu situasinya yang sebenar. Untuk mengejeknya dan memulaukannya, adalah sesuatu yang amat zalim untuk diperlakukan ke atasnya (bagi saya). Kemungkinan besar, Cikgu juga tidak tahu. Sebab itu Cikgu menghukumnya tanpa rasa bersalah. (Arumugam juga tidak membuat penjelasan dan hanya menerima dengan redha).

Masuk ke darjah 2, saya sudah tidak melihat kelibat Arumugam di sekolah. Tetapi sekali-sekala saya akan ke hujung padang sekolah dan memerhatikan rumahnya. Saya boleh lihat adiknya bermain-main di luar rumah walaupun kelibatnya tidak kelihatan.

Saya tahu, dia tidak masuk ke darjah 2 kerana dia tidak mampu membayar yuran. Masa darjah 1, saya tahu dia beberapa kali dipanggil oleh guru kelas untuk melunaskan yuran sekolah, namun dia hanya terdiam di meja guru apabila soalan itu diaju untuk ke berapa kalinya. Mungkin yuran darjah 1 juga tidak mampu dibayarnya.

Darjah 2, naik ke darjah 3, masuk ke darjah 4, dan seterusnya, Arumugam masih tiada di sekolah dan saya semakin melupakannya.

Sejak darjah 2, saya terputus hubungan dengan Arumugam dan saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya selepas itu.

Arumugam.