Thursday, July 30, 2009

Kasihan sungguh saya tengok makcik-makcik ini.

30 Julai 2009

Setiap kali saya berjalan-jalan di sekitar pekan George Street, pasti akan terlintas dengan satu atau dua warga emas wanita yang bersendirian dan bermundar-mandir tanpa arah. Sambil membawa beg-beg besar, makcik-makcik ini berlegar-legar seperti "homeless" yang sentiasa mencari sesuatu. Di dalam bas, di stesen keretapi, di Burger King, warge-warga emas ini wujud seperti lembaga asing yang tidak dihirau masyarakat. Bukan di George Street sahaja, bahkan di pekan-pekan atau bandar-bandar lain, pasti ada kewujudan warga emas yang bersenario begini.

Dalam hati, memang kasihan saya melihat mereka ini. Selalu juga timbul persoalan-persoalan di dalam benak fikiran, "Ke mana keluarga makcik ni?", "Anak-anak dia sudah tidak mahu ambil tahukah?", "Makcik ini masih berumahkah?", "Tiada siapakah yang mampu membela mereka?".

Namun, tidak kira sekasihan mana saya kepada mereka ini, tiada apa yang mampu saya lakukan. Melihat dan bersimpati sahajalah yang terdaya dibuat. Mungkin mereka sendiri tidak kisah denagn situasi mereka. Tetapi kepada saya yang sering teringatkan

Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan saya mengenai situasi ini, yang banyak sekali berlaku di Amerika Syarikat. Di negara yang kononnya mengamalkan keadilan, toleransi, dan pembelaan untuk setiap warganya, yang pada pengamatan saya, tidak terlihat pun keadilan, toleransi dan pembelaan untuk warga emas ini.

Jawapan rakan saya, "Inilah akibat kapitalisma yang diamalkan secara total di sini. Sistem yang menilai manusia hanya pada nilai mereka. Selagi mereka mampu memberi untung kepada sesetengah pihak, selagi itulah periuk mereka dipelihara. Apabila hilang nilai mereka, yakni ketika mereka sudah tidak lagi mampu untuk memberi untung dan faedah kepada masyarakat, hilanglah hak mereka untuk dibela sebagai manusia yang masih bernyawa."

Kata-kata rakan saya itu ada juga kebenarannya. Di sini, apabila anak-anak sudah mampu berdikari, ibu bapa mereka akan dihantar ke nurseri. Seolah-olah anak-anak tidak ada tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka yang telah bersusah-payah membesarkan mereka. Salah satu alasan anak-anak tersebut, "Masa kami kecil, ibu ayah sibuk bekerja dan sering menghantar kami ke nurseri. Kini giliran mereka pula untuk ke nurseri." Alasan yang pernah saya dengar dari Youtube.com.

Jika benar pun berlaku perkara tersebut, mengapa perlu anak-anak berdendam dengan ibu bapa sendiri? Manusia yang telah berusaha mendewasakan mereka? Dimanakah toleransi yang sering mereka banggakan? Sedangkan toleransi dengan ibu bapa sendiri pun tiada, bagaimana mereka masih mampu melaungkan kepada dunia bahawa mereka mementingkan toleransi?

Dihantar ke nurseri sudah cukup baik bagi warga emas disini walaupun hidup tanpa kasih sayang anak-anak sendri untuk meniti hari-hari terakhir. Tetapi, yang lebih kasihan adalah warga-warga emas yang hidup melata tanpa teduhan. Berlegar-legar menjadi "homeless" di bandar-bandar bandar dan pekan-pekan. Di bandar New York yang megah itu sendiri, orang-orang tua tidur merata-rata. Di mana-mana Subway, di waktu malam, pasti kelihatan makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang tidur beralaskan kotak, berselimutkan surat khabar. Lebih memburukkan keadaan mereka apabila cuaca sejuk menjadi musim.

Kapitalisma yang mereka katakan sebagai sistem yang adil dan memberi faedah kepada semua hanyalah sekadar kata-kata manis yang diucap oleh mereka yang tamak dan bijak mengekspolitasi manusia untuk membesarkan tembolok sendiri. Hakikatnya, sistem ini hanyalah merendahkan nilai manusia kepada barang dagangan yang hanya digunakan untuk membuat keuntungan kepada sesetengah individu.

(Ini sekadar pendapat saya. Mungkin anda sekalian ada pandangan yang berbeza.)

Monday, March 23, 2009

Megah sangatkah New York?

30 November 2008

Malam itu, lebih kurang pukul 12 malam, saya tiba di New York setelah menghabiskan cuti "Thanksgiving" saya di sebuah universiti di Pennsylvania. Cuaca yang sejuk ditambah pula dengan siraman hujan membuatkan semua orang, termasuk saya, berjalan dengan laju mencari tempat yang lebih panas dan selesa untuk berteduh. Alhamdulillah, berdekatan tempat saya diturunkan, terdapat sebuah stesen Subway bawah tanah. Dapatlah kami berlindung dari hujan. Walaupun suhu di dalam stesen itu juga sejuk, sehinggakan nafas kami berkepul-kepul menjadi asap, tetapi cukuplah sekadar dijadikan tempat untuk berteduh. Pada masa yang sama, saya gunakan peta yang disediakan untuk mencari arah ke destinasi seterusnya.

Alhamdulillah, keretapi yang melalui stesen itu boleh membawa saya ke sebuah lagi stesen keretapi yang ingin saya tujui. Saya pun bergegas ke platform. Suasana di dalam Subway tersebut agak menyeramkan. Sampah-sarap berada dimana-mana terutama di atas rel keretapi. Tidak mustahil kemalangan boleh berlaku disebabkan sampah yang bertimbun di atas rel tersebut. Tikus pula kelihatan berkeliaran di sekitar stesen mencari makanan dari sampah-sampah yang bersepah. Bau hancing yang memualkan menambahkan suasana seram stesen ini. Mujurlah keretapi yang ingin dinaiki tiba beberapa minit selepas saya sampai di stesen tersebut. Dapatlah saya melarikan diri dari stesen yang kurang enak ini.



Tiba sahaja di stesen yang diingini, saya pun berjalan mencari jalan keluar dari stesen bawah tanah itu. Saya cuba berjalan secepat mungkin kerana keretapi terakhir ke New Brunswick akan tiba pada pukul 12.40 malam. Jam sudah menunjukkan 12.23 malam. Cuma tinggal beberapa minit sahaja tetapi saya masih belum keluar dari stesen Subway.

Ketika saya sedang mencari tangga untuk keluar, kelihatan beberapa orang tua, kebanyakannya orang kulit hitam dan Mexico sedang berbaring-baring di sekitar stesen tersebut. Tilam mereka cumalah beberapa cebisan besar kotak-kotak berwarna coklat dan selimut mereka hanyalah beberapa helai surat khabar yang sekadar melitupi diri masing-masing. "Suhu di stesen ini sejuk, cukupkah berselimutkan surat khabar? Dimanakah keluarga mereka? Tidak risaukah dengan ahli keluarga yang hilang? Bukankah New York bandar yang maju dan kaya-raya, tetapi mengapa masih ramai orang-orang seperti ini?", soalan-soalan ini bermain seketika di kotak fikiran ini. Bila saya mula-mula tiba di New York, terasa kasihan juga melihat "homeless" seperti mereka. Tetapi, setelah sering sampai ke bandar megah ini, perasaan simpati itu semakin terhakis. Mungkin kerana terbiasa dengan situasi dan suasana sebenar bandar metropolitan ini yang sering diagung-agungkan penduduk dunia.

Semasa saya menaiki tangga untuk keluar dari dari stesen tersebut, lintas dua orang lelaki kulit putih di hadapan saya. Cara jalan mereka agak mencurigakan; terhuyung-hayang ke kanan ke kiri sambil berpaut pada bahu masing-masing. Perbualan mereka jelas didengari orang, tetapi kurang pasti butiran yang mereka ucapkan. Ada kalanya bersuara tinggi, ada kalanya rendah, diselangi gelak tawa yang tidak tahu apa puncanya. Pada masa yang sama, bau busuk arak menusuk ke hidng saya. Selepas saya membelakangi mereka, terdengar pula bunyi yang kurang sedap didengari, "Buweek!! Uweek!! Uhuk!! Uhuk!!" Namun, saya berusaha untuk tidak menoleh ke belakang kerana sudah tahu apa yang terjadi. Situasi ini sering terlihat di malam hujung minggu di US ini. Bau hamis arak tadi menjadi semakin kuat. Saya berjalan dengan lebih laju kerana tidak tahan dengan 'aroma' tersebut.



Setelah keluar dari stesen itu, saya terhenti seketika. Berasa kurang pasti arah mana untuk ke stesen New York-Penn. D stesen itulah tempat untuk mengambil keretapi ke New Brunswick. Saya cuma tahu tempatnya tidak jauh, tetapi tidak tahu arah mana yang betul. Mungkin ke kiri, tidak mustahil juga ke kanan. Jalan-jalan di New York ini pula semuanya hampir sama. Bangunan-bangunan tinggi berdiri melangit di kiri kanan setiap jalan. Lebih-lebih pula di pada waktu malam ini yang menyukarkan saya membuat keputusan. Walaupun jalan tersebut diterangi lampu-lampu neon yang berwarna-warni, namun, ia tidak dapat membantu saya membuat keputusan yang tepat. Sebaliknya, ia hanya menyilau pandangan dan menambah kekeliruan yang telah sedia ada.

'Ahh, ikut sahajalah mana-mana! Kalau sesat, tanyalah orang," pujuk hati ini agar terus berjalan. Kemudian, setelah merentasi empat jalan besar, timbul kembali perasaan ragu-ragu tadi. Betulkah jalan ini? Sudah empat jalan besar dilintasi, namun masih tiada tanda-tanda stesen keretapi yang berdekatan. Mungkinkah saya perlu belok ke kiri di jalan sebelum ini? Mungkin jua saya salah arah ketika keluar dari stesen Subway tadi? Hati menjadi semakin cuak.

Tiba-tiba, terlihat seorang lelaki kulit hitam berjalan menuju ke arah saya. Bajunya lusuh dihiasi dengan beberapa koyakan di sana sini. Saya beranikan diri untuk bertanya "Do you know which way to New York-Penn Station?". Lelaki kulit hitam itu menjawab dengan gaya tipikal masyarakat kulit hitam US "Urm, you walk straight this way and turn left on 4th avenue, buddy". Selepas mengucapkan terima kasih, saya meneruskan perjalanan. Namun langkah saya terhenti. Lelaki kulit hitam itu menahan saya.

Dia bertanya, "What'cha got in your hand, buddy? Is that food?". Dia bertanya sambil menunjuk ke arah beg plastik yang saya pegang. Saya hanya menjawab "Yeah. Some buffalo wings." Saya fikir, mungkin lelaki ini juga salah seorang 'homeless' yang sedang berlegar-legar di bandar ini, sedang mencari sesuatu untuk mengisi perut. "Do you want it?", tanya saya sambil menghulurkan bungkusan tersebut kepada lelaki itu. Berasa simpati pula dengan keadaannya, disamping risau lelaki itu akan melakukan sesuatu yang luar biasa. Selepas dia mengambil bungkusan tersebut dan mengucapkan terima kasih, saya cepat-cepat melangkah meninggalkan tempat tersebut.

Selepas mengikut arahan yang diberikan lelaki tersebut, saya akhirnya sampai ke stesen keretapi New York-Penn. Alhamdulillah, jam baru menunjukkan 12.36 malam. Masih ada 4 minit sebelum keretapi bergerak. Setibanya saya di platform, keretapi sudah bersedia seperti akan bergerak pada bila-bila masa. Saya pun menaiki keretapi tersebut dengan perasaan bersyukur kerana dapat pulang ke New Brunswick pada tengah malam itu.


Friday, January 23, 2009

Duniawikah?

23 Januari 2009

Hari ini, cuaca agak cerah. Suasana yang dapat dilihat agak menarik pandangan mata. Salji bersinar-sinar bagai serpihan permata yang berselerakan di tepi jalanan. Angin yang bertiup pula tidaklah sesejuk selalu, cuma sekadar membawa kesegaran yang sudah lama tidak dirasai. Jalan-jalan yang dahulunya licin dan sering membuatkan penggunanya tergelincir dan jatuh, kin dibasahi oleh salji yang mencair. Rumput-rumput pula mulai memunculkan diri dari bawah debuan ais yang larut ke dalam tanah memberikan pandangan kehijauan yang sudah lama kami rindukan. Seronok pula rasa hati ini memrhatikan perubahan kawasan sekeliling.

Apabila tiba di rumah, setelah membuka kasut (masih mengamalkan budaya melayu walaupun di USA), saya duduk-duduk seketika di ruangan tamu. Saya perhatikan sekeliling dalaman rumah kami. Tiada apa yang menarik untuk diperhatikan. Di tengah-tengah ruang tamu, hanyalah sebuah meja kayu yang berwarna kuning langsat, dikelilingi oleh lima buah kerusi yang hampir sama warnanya. Lantai pula tidak dilitupi oleh karpet atau permaidani. Menampakkan lantai papan yang berwarna merah gelap. Di satu penjuru, terdapat sebuah meja sudut dua tingkat yang berwarna hitam. Di tingkat atas meja sudut tersebut, hadir dua buah kotak yang berisi pokok-pokok yang tidak saya ketahui namanya. Di tingkat bawahnya pula terletak "router" internet yang berkelip-kelip lampunya. Di sebelah meja sudut tersebut, terpaku sebuah sofa berkembar merah yang disimbahi cahaya matahari yang menerjah masuk melalui tingkap di belakang sofa tesebut.

Kemudian saya berlalu masuk ke bilik saya yang terletak di sebelah kanan pintu masuk ke ruang tamu. Saya buka komputer yang berada di atas meja belajar yang saya beli dari Malaysia. Walaupun ramai di antara kawan saya membeli komputer baru sebaik sahaja tiba di sini, saya tetap kekal pada komputer lama saya. Walaupun hati ini sering mengidamkan sebuah komputer baru yang lebih maju dan cantik.

Puas membelek-belek komputer, saya keluar dan kembali melihat ruang tamu dengan pandangan kosong. Teringat saya pada kata-kata kawan yang pernah sampai ke rumah ini, "Kat sini, kalau kau letak LCD sebiji, lepas tu, siap dengan "home theater", mesti mantap. Kat bwh LCD tu pula, kau letak PS3 tak pun XBox 360, mesti lagi gempak." Pada ketika itu, saya hanya tertawa sambil berkata, "Kalau aku kaya, insyaAllah aku letak. Tapi, kalau kau nak sponsor, aku terima je".

Sememangnya, kita sukar terlepas untuk menjadi materialistik apabila tiba di tanah US ini. Gajet-gajet canggih dan kompleks boleh didapati dengan mudah di internet. Kamera SLR, IPod, IPhone, LCD, PS3, XBox, Wii dan sebagainya sangat-sangat menjadi impian pelajar-pelajar. Harganya pula lebih murah berbanding Malaysia. Pergi ke mana-mana, barang-barang popular tersebut akan sering dibincangkan. Sehinggakan, ada seorang YB yang pernah tiba di sini, turut bertanya mengenai barangan-barangan tersebut.

Walaubagaimanapun, harganya tidaklah semurah mana. Bagi kami yang hanya bergantung pada biayaan biasiswa, harta-harta tersebut sepatutnya tidak mampu kami beli. Tetapi, yang peliknya, ramai yang memilikinya. Mungkin mereka memang berkemampuan ataupun mereka menafikan yang mereka sebenarnya tidak berkemampuan dan memaksa diri untuk memebelinya.

Setahu saya, ramai yang sering mengadu, "kami kesempitan wang, JPA tidak meberikan elaun yang mencukupi, "rate" kami sepatutnya dinaikkan," dan pelbagai masalah lagi. Tetapi, apabila tiba di rumah mereka, TV Plasma tersergam indah, wayar PS3 atau Xbox berselirat di atas lantai, kamera SLR dan IPod pula terbaring di atas meja masing-masing.

Inikah yang mereka maksudkan dengan wang tidak mencukupi? Berapa banyak lagi yang mereka mahukan dari JPA supaya mencukupi? Sebanyak manakah yang dikatakan "cukup" itu? Adakah mereka akan puas jika "rate" mereka dinaikkan?

Bagi pendapat saya, selagi mereka tidak mendapat semua yang diidamkan, selagi itulah tidak cukup. Untuk mendapat semuanya pula adalah mustahil. Kesimpulannya, mereka tidak akan berasa cukup!

Bagi saya lagi, selama mana mereka masih menginginkan harta-harta dunia tersebut, selama itulah mereka tidak akan berasa cukup. Tidak dinafikan, saya juga kadang-kala berhasrat memiliki barang-barang tersebut. Tetapi apabila mengenangkan benda-benda itu hanyalah harta duniawi, saya batalkan hasrat tersebut. Teringat saya pada kata-kata ibu saya apabila melihat jiran-jiran kami bermegah-megah dengan kereta baru masing-masing, "Kereta tu kau tak bawa masuk kubur..."

Walaupun bunyinya agak tajam dan kasar, namun ia amat memberi kesan pada diri saya. Apabila sampai di sini, ayat itu menjadi semakin jelas di ingatan saya, berdengung-dengung apabila saya ingin memebeli sesuatu yang tidak bermakna.

Saya harap, rakan-rakan saya sedar akan dugaan duniawi di US ini. Biarlah kita tidak mempunyai satu barang pun selama kita di sini, tetapi apabila pulang kita mampu memberi sumbangan yang besar pada agama, bangsa dan negara. InsyaAllah.

Ada apa dengan pangkat?

23 Januari 2009

Cuaca di New Brunswick hari ini agak cerah dan sedikit panas. Salji di jalanan mulai cair dan bersinar-sinar seperti serpihan permata yang menyilaukan pandangan. Angin yang dahulunya bertiup hanya untuk menambahkan kesejukan, tapi hari ini, berhembus membawa kesegaran pada mereka yang berlalu . Mungkin kerana musim bunga hampir. Syukur kepada Tuhan yang telah memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi musim salji yang sejuk walaupun tempohnya tidaklah selama mana.

Petang itu, sambil duduk-duduk di hadapan komputer melihat gambar rakan-rakan sewaktu di Texas didalam Facebook. Teringat pula kisah-kisah suka duka sepanjang perjalanan tersebut. Selepas itu, saya lihat pula gambar-gambar sewaktu saya berada di Ohio bersama rakan-rakan sebuah persatuan yang agak terkenal di USA.

Terfikir atau tidak, rupa-rupanya, di dalam masa lima bulan semenjak saya sampai ke tanah ini, sudah hampir satu per tiga nagara ini saya terokai. Juga tanpa diduga, pengembaraan-pengembaraan tersebut telah menambah ilmu di dada dan melatih diri menjadi manusia lebih berguna.

Di dalam perjalanan-perjalanan tersebut, saya telah menjadi saksi kepada perletakan jawatan ahli-ahli lama dan perlantikan ahli-ahli baru persatuan tersebut.Terbayang pula di otak fikiran suasana sewaktu perlantikan ahli-ahli jawatan kuasa yang baru tersebut.

Yang paling ironi, di mana-mana saya pergi pasti ada yang bertanya soalan-soalan seperti begini, "Apa jawatan awak dalam persatuan ini?", "Bila nama awak nak di panggil sebagai AJK tertinggi yang baru?", "Kenapa nama awak tiada dalam senarai perlantikan?", dan beberapa soalan yang hampir serupa maknanya. Jawapan yang mampu saya berikan hanyalah seperti "Saya bukanlah orang penting disini", "Masih ramai yang lebih berkelayakan dari saya", "Saya cumalah rakan kepada ahli-ahli persatuan ini, tidak lebih dari itu", dan beberapa jawapan lain yang mungkin tidak akan memuaskan hati si penanya.

Selepas habis perlantikan, AJK-AJK lama dan baru dikehendaki membentangkan perkara yang mereka telah lakukan atau akan dilakukan. Saya cuba mendengar segala yang mereka cuba mereka terangkan. Namum kadang-kala, tertewas juga dengan daya yang dihasilkan oleh hanya beberapa otot kelopak mata.

Setelah habis sesi pembentangan tersebut, kami solat dan makan bersama-sama. Saya cuba untuk berkenalan dengan seramai ahli yang hadir di majlis tersebut. Di samping itu, saya perhatikan AJK-AJK lama yang telah melepaskan jawatan masing-masing.

Dari jauh, saya lihat, mereka gembira berborak sesama mereka. Mungkin kerana berasa lega kerana beban yang dipikul selama ini telah diserahkan ke bahu yang lain. Mungkin juga mereka gembira kerana dapat bertemu rakan-rakan yang tinggal di universiti berjauhan.

Sebelum ini (sebelum majlis perlantikan AJK baru), saya lihat, mereka sering di kelilingi oleh orang-orang yang ingin berkenalan dengan mereka. Seolah-olah, orang-orang tersebut berharap, mereka akan memperoleh sesuatu dari mereka. Namun, setelah mereka tidak mempunyai apa-apa jawatan, orang di sekitar mereka seolah-olah tidak perasan dengan kehadiran mereka.

Adakah selama ini orang-orang tersebut hanya ingin berkenalan dengan mereka kerana mereka mempunyai jawatan? Wallahualam. Saya tiada hak untuk berkata apa-apa mengenai perkara tersebut.

Suasana tersebut, mungkin sudah biasa terjadi di mana-mana persatuan-persatuan. Sememangnya, manusia sering dikenali dan disanjungi kerana pangkat. Ramai orang ingin menjadi rakan kita jika kita berjawatan. Tetapi setelah kita tiada apa-apa nama, orang akan melihat kita seperti biasa. Tiada apa-apa keistimewaan. Dahulu, sewaktu berdarjat, ramai ingin makan dengan kita, berbual dan bersenda, bertanya pelbagai perkara mengenai kita, dan sebagainya. Tetapi setelah jawatan dilepaskan, orang-orang tadi lesap entah ke mana. Duduk makan di meja pun hanyalah rakan-rakan yang memang rapat dengan kita. Gurauan penuh kesopanan tiada lagi kedengaran.

Itulah lumrah alam yang diciptakan Tuhan. Manusia sering disanjungi kerana jawatannya. Walaupun pada hakikat, dia hanyalah orang biasa yang kerana kehendak Allah, dikurnikan kekuasaan. Pada hakikatnya, orang itu tidaklah sehebat yang difikirkan.

Fikir-fikirlah kepada yang ingin berfikir.