"Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan". (Riwayat Bukhari)
Friday, March 16, 2012
Kerana sepatu, saya pilih ponteng berbanding kelas
Hari Rabu tahun 2003
Pagi itu, saya termenung di hadapan mesin basuh semi-auto emak, menunggu air penuh mengisi mesin tersebut. Cuaca di luar cerah bersinar dan seolah memberikan semangat kepada sesiapa yang menikmatinya tetapi, ia tidak mampu untuk meredakan resah di dalam hati. Hari Rabu itu, seperti hari-hari Rabu yang lain, saya akan ponteng sekolah. Tanpa ada apa-apa sebab yang munasabah.
Air dari tali paip yang disambung ke mesin terus mencurah. Mungkin mengambil masa 5 ke 10 minit untuk mesin itu dipenuhkan. Boleh sahaja saya membuat benda lain (seperti menonton TV) sementara menunggu mesin itu penuh, tapi waktu itu, melihat air mencurah ke dalam mesin basuh itu lebih menenangkan hati yang runsing ini.
Rasa bersalah kerana ponteng sekolah tanpa alasan yang kukuh.
Terbayang wajah Cikgu Rohani yang sentiasa bergurau dengan kami sementara beliau mengajar Matematik. Teringat akan aksi Cikgu Amimah yang akan menyalin nota Sejarah di atas papan putih. Terngiang-ngiang suara Ustazah Nurhaliza bercerita di dalam matapelajaran Pendidikan Islam.
Ahh... Banyaknya matapelajaran yang akan saya ketinggalan hari ini kerana ponteng.
Bunyi air menderu masuk ke dalam mesin basuh terus melekakan minda yang sedikit kosong pagi itu.
Dalam hati, saya berbisik, "Maaf, cikgu-cikgu. Maaf kerana ponteng sekolah tanpa alasan yang betul. Saya tidak sakit, tidak juga mempunyai apa-apa keperluan yang boleh memaksa diri untuk tidak hadir ke sekolah. Cuma, hari Rabu, saya memang tidak sanggup untuk ke sekolah. Hari Rabu, adalah hari yang selalu mencabar maruah saya sebagai pengawas, juga sebagai pelajar kelas pertama."
Kerana hari Rabu, ada kelas Pendidikan Jasmani, kelas Cikgu Azhar; kelas yang saya kurang gemar.
Bukannya saya tidak suka bersukan. Saya suka. Kerana waktu itu kami tidak perlu duduk membatu di meja. Kami boleh berlari-lari, menunjukkan aksi dan kehebatan masing-masing di atas padang. Bermain permainan yang akan disediakan Cikgu Azhar.
Cuma, saya tidak mempunyai peralatan yang cukup untuk bersukan. Saya tak punya sepasang sepatu yang sesuai untuk digunakan di atas padang. Saya tiada kasut sukan.
Saya amat-amat faham, sangat penting untuk menggunakan kasut yang sesuai ketika bersukan. Untuk keselamatan, untuk keselesaan dan untuk kemudahan. Kasut kulit formal pengawas yang biasa saya digunakan di kelas, bukanlah fungsinya di atas padang.
Tapi mungkin Cikgu Azhar kurang faham kenapa sampai sekarang, saya masih tidak mempunyai kasut sukan. Saya... Saya tidak mampu untuk membeli kasut sukan tersebut. Kalau saya ceritakan kepada Cikgu Azhar pun, saya yakin Cikgu Azhar tidak akan mampu memahaminya.
Harga kasut tersebut, tidaklah semahal mana. RM30 sudah cukup untuk mendapat sepasang kasut yang berkualiti dan tahan untuk digunakan untuk aktiviti pasak. Tapi... Secara rendah diri, saya ingin sampaikan kepada Cikgu Azhar, "Ibu bapa saya tak mampu untuk sediakan wang sebanyak itu untuk sepasang kasut". Namun, ayat itu hanya tersangkut di dalam kotak akal kerana saya yakin Cikgu Azhar tak akan mampu memahaminya.
Saya, punya adik-beradik yang lain yang semuanya masih bersekolah. Setiap kali abah dapat gaji, kami terpaksa mengagihkan wang tersebut secermat yang mungkin kerana 6 orang pelajar sekolah di rumah itu semuanya mempunyai keperluan masing-masing. Abang dengan seluarnya yang sudah koyak. Kakak perlukan tudung baru. Beg adik juga perlu diganti kerana beg itu adalah 'khazanah' dari kakak. Dan macam-macam lagi perkara lain. Itu belum termasuk wang belanja kami dan juga tambang bas adik-adik yang menaiki bas.
Saya, hanya perlukan kasut sukan namun ia tidaklah sepenting benda-benda lain yang adik-beradik lain perlukan. Dan saya masih ada kasut yang sesuai untuk ke sekolah.
RM30, walaupun tidak banyak, tetapi sangat sukar untuk disediakan untuk sepasang sepatu sukan.
Tetapi, kerana sepasang sepatu sukan, saya akan didenda di waktu Pendidikan Jasmani. Hanya kerana ketidak-wujudan kasut tersebut di kaki saya pada waktu itu, saya didenda dengan berlari mengelilingi dataran perhimpunan sambil baju pengawas masih bersarung di badan dan dengan kaki terpasang satu-satunya kasut kulit hitam yang saya ada.
Mungkin Cikgu Azhar tak faham betapa tindakan denda tersebut sangat menjatuhkan maruah saya sebagai pengawas dan juga sebagai pelajar kelas pertama. Tapi, kerana Cikgu Azhar ada 'alasan' untuk berbuat begitu, maka saya akur.
Mungkin juga Cikgu Azhar tidak faham betapa berlari dengan kasut tersebut menyebabkan kaki saya sakit. Sakit kerana kasut itu bukanlah gunanya untuk berlari. Setiap hari Rabu, pasti saya akan pulang ke rumah dengan kaki melecet.
Mungkin juga Cikgu Azhar tidak perasan betapa denda tersebut merosakkan satu-satunya kasut yang saya ada. Kerana digunakan bukan pada tempatnya, kasut itu koyak dan tapaknya akan tertanggal. Maka, petang hari Rabu, saya akan gunakan untuk duduk di pintu depan rumah, 'bermain' dengan gam kasut untuk menampal kembali tapak kasut tersebut yang saya tak pasti sampai bila tampalan tersebut akan bertahan.
Maka, hari-hari Rabu di waktu tingkatan 3 itu, kerana sepatu, saya akan memilih untuk ponteng berbanding ke sekolah. Walaupun saya tahu tahun itu saya mempunyai peperiksaan penting, Penilaian Menengah Rendah (PMR). Mungkin cikgu-cikgu akan menganggap tindakan ponteng saya itu salah dan merugikan. Tetapi bagi saya, saya mempunyai alasan sendiri.
Maaf cikgu-cikgu, walaupun saya selalu ponteng, tapi saya sudah pun berjanji pada diri sendiri untuk mengambil serius PMR tersebut. Saya akan buktikan dengan keputusan saya nanti.
Tetapi untuk dimalukan di dalam kelas Pendidikan Jasmani lagi, saya sudah tidak sanggup.
Biarlah kawan-kawan saya menuduh saya sebagai kaki ponteng, kerana selalu pontang pada hari Rabu.
Biarlah setiap hari Rabu, saya menolong ibu saya membasuh baju di rumah. Daripada dimalukan dan kasut kulit saya dirosakkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
terharu. sungguh ada cerita sebegini. kadang2 rasa terharu dgn cikgu2 non-muslim yg lebih memahami jiwa pelajarnya berbanding cikgu2 muslim.
*pernah mengalami bnd yg lebih kurg sama. tp inilah pglmn hidup yg membuatkan kita akan pulun belajar dan ingin berjaya spt org lain...semoga ALLAH memudahkan urusan mu teman ^^,
masyaAllah....
sayu je hati bile bace, x tau mcm mn boleh terjumpa artikel ni....
serius mmg sayu....
x malu nak cakap yg saya pun pernah berada dlm keadaan yg same(tp bkn kasut sukan la kan)huhu...
apepun, pengalaman ni berguna kan,
mengajar kita untuk sentiasa menghargai ape yg kite ade^^
Post a Comment