Sunday, August 18, 2013

Petai 3 Batang

18 Ogos 2014



Perlahan-lahan saya memarkir kereta Myvi hitam di halaman rumah sahabat saya yang terletak di Banting pada tengahari tersebut.

Sahabat saya ketika itu masih berada di rumah kawannya, maka neneknya yang mempelawa saya masuk, untuk bertandang seketika sementara menunggu tiba sahabat saya.

Hari itu, sahabat saya akan pulang semula ke Johor Bharu untuk menghabiskan pengajian Master beliau di UTM. Bas yang beliau akan naiki menunggu di Shah Alam. Disebabkan saya sudah lama tidak bertemu dengan beliau, maka saya menawar diri untuk menghantar beliau ke Stesen Bas Shah Alam, mengambil peluang untuk berbual dengan beliau di sepanjang perjalanan. Walaupun penat pulang dari Kedah pagi tadi masih belum surut.

Sambil menunggu, nenek beliau meneman saya di ruang tamu, bercerita mengenai apa yang berlaku di sekitar beliau. Seketika, beliau ke dapur, membawa keluar sebotol air dan beberapa gelas cawan. Disambung dengan pelawaan untuk mencuba apa sahaja jenis kuih raya yang terhidang di meja kopi yang terletak ruang tamu tersebut.

Saya sambut pelawaan beliau sambil terus memasang telinga mendengar cerita yang beliau kongsikan.

Selang beberapa minit kemudian, sahabat saya akhirnya tiba dengan kawan beliau di pintu rumah.

Kawan beliau menghulur sebungkus beg plastik bewarna yang berisi petai 3 batang.

Nenek sahabat saya menyambut bungkusan tersebut sambil mendepa luas kedua tangan beliau. Bersungguh beliau menerima pemberian tersebut. Sambil mengucapkan terima kasih, nenek sahabat saya membelek petai tersebut dengan muka yang bersinar seperti seorang budak menerima hadiah di hari lahir. Sekeping demi sekeping petai tersebut diamati. "Gemuk gemuk petai ni ha" luah beliau sambil sekeping petai diangkat keluar dari plastik dan ditontonkan kepada anak beliau yang muncul di pintu ruang tamu. Anak beliau cuba mengambil sekeping petai tersebut tetapi dimarah oleh beliau kerana beliau masih belum puas membelek petai-petai tersebut. Setelah puas diteliti satu persatu, beliau tekupkan plastik ke muka beliau dan petai tersebut dihidu sedalam-dalamnya seperti beliau sedang menghidu sesuatu yang sangat mengasyikkan. Akhirnya, petai tersebut beliau letak di atas riba dan beliau kembali berbual bersama saya, sahabat saya, dan kawan sahabat saya yang sedia duduk di ruang tamu tersebut.

Segala tindak-tanduk beliau ke atas petai tersebut saya perhati dari awal sehingga hujung. Kagum, sebak, rasa bersalah mula mngisi rongga tengkuk saya.

Saya kagum kerana beliau, walaupun umur sudah menjangkau 79 tahun dan bakal mencecah 80, masih mampu bersyukur dengan pemberian tersebut. Bukan sahaja beliau bersyukur dengan pemberian tersebut, bahkan diselangi dengan pujian terhadap hadiah tersebut.  Sedangkan pemberian tersebut, mungkin tidak seberapa untuk kebanyakkan kita.

Hanyalah petai 3 batang.

Tetapi dari reaksi beliau, bagaikan beliau sedang mendapat rezeki agung dari langit dengan cara yang sangat tidak disangka.

Aksi beliau juga menyebabkan saya teringat akan kawan-kawan saya yang pulang dari luar negara yang tidak puas hati dengan kerja masing-masing kerana gaji yang ditawar tidak cukup menawan sedangkan saya menelan air liur mendengar angka yang mereka butirkan. Sedangkan mereka mempunyai segala apa yang manusia zaman ini mahukan. Tetapi seorang manusia tua di hujung kampung yang dikelilingi pokok kelapa sawit ini boleh berasa gembira hanya pada petai 3 batang.

Betapa syukur itu bukanlah terletak pada angka dan megah, tapi pada hati yang mampu menghargai.

Nenek sahabat saya pula bukanlah seorang yang hidup dalam selesa, hidup sekadar berteduh di bawah rumah tanpa siling, berkongsi pula dengan menantu dan dua anak beliau. Dalam keadaan beliau mempunyai seribu satu hak yang jauh lebih luas andai beliau mahu merungut terhadap apa yang pernah dan sedang beliau lalui, tetapi beliau memilih untuk bersyukur dan gembira pada petai 3 batang, yang dibungkus oleh plastik kecil berwarna merah.

Di umur 80an, seorang seperti beliau sepatutnya sudah biasa dengan petai, mungkin sudah bosan. Tetapi, dek keluarbiasaan beliau yang mungkin beliau tak pernah sedari, petai 3 batang itu masih mampu membuatkan beliau tersenyum ceria.

Kagum saya bertambah terhadap beliau apabila beliau mengajak kami ke dapur untuk menikmati juadah tengahari. Mungkin kerana beliau sudah dimaklum akan kehadiran saya, maka juadah disediakan. Tatkala rumah beliau tidaklah apa, dengan umur yang lanjut dan ditambah dengan demam, beliau masih berusaha menyambut tetamu yang bertandang. Siap dengan hidangan di dapur belakang.

Hati saya menjadi sebak ketika menemani beliau menyantap selera tengahari tersebut. Saya menjadi sebak untuk beliau kerana saya tahu, beliau tidak akan berasa sebak untuk diri sendiri. Sebak kerana di sebalik kedhaifan diri beliau, tiada muka sesal dari raut wajah beliau. Sebaliknya, raut ketengan yang menghiasi wajah tua tersebut. Tambah sebak apabila menikmati lauk beliau kerana dalam kekurangan hidup beliau, beliau masih kuat untuk memberi, menghidang kepada tetamu yang hadir.

Maka, biarlah saya yang mewakili beliau untuk menyelami sayu hidup beliau.

Di sepanjang perjalanan pulang dari Shah Alam ke Bangi, bayangan nenek sahabat saya menyambut bungkusan petai tersebut berputar bagaikan terpaku ketat di ruang kotak fikiran.

Dan setiap kali imbasan tersebut bermain, sebak hati saya semakin menyesak.

Allahu.. Allahu...

Semoga Allah membalas syurga andai tiba waktu beliau bertemu dengan-Nya.

Untuk saya, semoga saya diberi kekuatan dan kelapangan untuk melazimkan diri menziarahi beliau. Sekadar mengisi ruang kosong yang sahabat saya tinggalkan di hati beliau, tatkala dia menghabiskan pengajian beliau.

Manusia hebat seperti nenek sahabat saya, tidak wajar untuk saya sia-siakan bagi mempelajari makna syukur; dari peristiwa petai 3 batang.

Saturday, August 10, 2013

Harga Seorang Sahabat Yang Memahami

Jun 2003

"Zainal, boleh jumpa cikgu sekejap?" arah Cikgu Imah kepada saya yang sedang berbual dengan beberapa rakan lain di perpustakaan pada waktu itu.

Tanpa berlengah, saya mengangkat punggung, menuju ke salah satu sebuah meja yang terletak di balik rak-rak buku di dalam perpustakaan tersebut.

Cikgu Imah sudah sedia menunggu dengan pen dan buku log di hadapan beliau. Tanpa dijemput, saya melabuh badan dan terus duduk di kerusi yang menghadap Cikgu.

"Zainal, dah nak masuk pertengahan tahun. Tapi Zainal masih belum bayar yuran sekolah lagi. Tahun ni kamu ada PMR. Maka ada tambahan yuran peperiksaan PMR. Tapi yuran PMR kamu boleh abaikan. Saya akan ikhtiar supaya kamu dikecualikan dari membayar yuran PMR. Kamu masih ada masalah kewangan untuk jelaskan yuran yang ke? Jumlahnya dalam RM58." terang Cikgu Imah memberitahu situasi yuran persekolahan saya ketika itu.

Saya, tidak mampu menjawab secara terus dan sebaliknya melarikan mata, memerhati ke bawah, melihat permukaan meja yang tiada apa-apa yang menarik untuk diberi perhatian.

Tidak semena-mena, air mata saya bergenang. Saya tidak pasti mengapa ketika itu hati berasa sangat goyah. Sangat mudah air mata keluar, seperti saya hilang kawalan terhadap emosi diri.

Saya sedar, situasi saya ketika itu adalah antara tenggelam atau timbul. Jika saya tidak dapat melunaskan yuran sekolah, bermakna tamat di situ sahaja zaman belajar saya. Saya akan diberhentikan, tidak dapat mengambil PMR dan akan ketinggalan berbanding rakan-rakan sebaya yang lain. Tetapi, RM58, masih terlampau banyak untuk saya ikhtiarkan biarpun yuran PMR sudah dikecualikan ke atas saya.

Sambil mengambil masa untuk mendongak mengadap kembali Cikgu Imah, cuba untuk menjelaskan keadaan diri.

"Mak saya suruh bayar guna biasiswa kecil persekutuan (BKP), tapi saya tak pasti kenapa sampai hari ni duit biasiswa saya tak masuk-masuk lagi. Duit tahun lepas saya sudah guna untuk beli basikal dan belanja beberapa benda lain. Saya tak berani nak bagitahu emak saya bahawa biasiswa saya mempunyai masalah." dengan nada sedikit berat, sedaya-upaya saya menjelaskan kepada Cikgu Imah.

"Tapi, saya akan cuba bayar juga, Cikgu. Saya akan cari jalan." janji saya. Janji yang saya buat untuk menyelamatkan diri walaupun saya tahu janji itu tidak berasas.

"Baiklah. Nanti kalau kamu sudah boleh bayar, tolong bagitahu saya. Kamu boleh pergi." balas Cikgu Imah menamatkan sesi. Mungkin beliau tidak tahan melihat saya yang bermata merah ketika diasak soalan tersebut,. Cikgu Imah adalah salah seorang pelanggan Emak untuk menjahit baju, maka beliau sangat arif situasi saya dan adik-beradik. Tambahan pula, kami empat beradik bersekolah di sekolah yang sama. Maka ramai cikgu-cikgu yang mengetahui kisah kami.

Saya menyeret badan saya untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan lain. Sambil berikhtiar menyembunyikan apa yang berlaku sebentar tadi dan berpura-pura semuanya baik.

Badrul, seorang rakan saya yang sering menjadi teman lepak lepas sekolah memerhati riak wajah saya. Dia sedar, ada yang tidak kena. Mungkin juga masih jelas mata saya yang belum kebali ke putih asal. Ketika kawan-kawan lain beransur ke kelas, memandangkan sesi kelas di perpustakaan sudah habis, Badrul mengambil ruang untuk bertanya mengenai perkara yang berlaku antara saya dan Cikgu Imah.

Saya, setelah menoleh ke kiri dan kanan, memastikan tiada orang lain yang memasang telinga, menceritakan semuanya kepada Badrul. Saya tahu, jika ada manusia yang boleh saya kongsikan masalah saya ketika itu, hanyalah Badrul. Satu-satunya rakan rapat yang berani saya luahkan segala.

Badrul mendengar sambil mengerut dahi. Seperti sedang berfikir penyelesain yang boleh dia berikan.

Hari itu, saya cuba untuk menjalani sesi kelas seperti pelajar lain.

Keesokkan harinya, saya memberanikan diri untuk ke sekolah. Di dalam hati, masih berasa cuak untuk memasuki pagar sekolah, risau terserempak dengan Cikgu Imah dan disua dengan soalan seperti semalam. Syukur, pagi itu, saya masih dapat mengelak dari bertembung dengan beliau.

Ketika saya sedang duduk-duduk bersama beberapa rakan lain di sekitar dataran perhimpunan, menunggu loceng pagi berbunyi, Badrul datang kepada saya dan mengajak saya untuk melepak di pondok basikal.

Saya berasa sedikit hairan dengan kelakuan Badrul kerana tjarang kami menjadikan pondok basikal sebagai tempat melepak pagi. Biasanya di pentas dataran ataupun di belakang kooperasi.

Saya mengikut.

Sekeping nota wang berwarna biru hijau dihulur kepada saya tatkala saya tiba di pondok tersebut.

"Ambillah. Mak aku kata, aku boleh guna duit simpanan aku untuk tolong kawan. Walaupun aku simpan untuk benda lain" ujar Badrul sambil tangannya tersisip duit RM50 tersebut yang dihunus ke arah saya.

Terketar-ketar tangan saya menyambut nota wang tersebut. Sangat berat hati saya untuk menerimanya kerana itu adalah wang Badrul. Dan Badrul sudah sangat banyak membantu saya dari sudut kewangan. Sangat banyak sehingga tidak mampu saya menghitungnya. Dan untuk menerima bantuan tambahan sebanyak itu, adalah sesuatu yang sukar untuk saya telan.

Tapi saya tetap menggapai duit tersebut tatkala memikirkan itu adalah jalan keluar untuk saya terus menyambung persekolahan saya.

Tiada ucapan syukur yang mampu untuk mebayangkan terima kasih saya kepada Badrul. Yang ada hanyalah ucapan "Terima kasih, Bad" yang saya ulang beberapa kali dalam keadaan saya berdiri tegak bagai askar yang baru mendapat mandat. Mata saya dikatup serapat-rapat ketika saya menyambut wang tersebut walaupun air mata saya sekali lagi mahu menderu keluar.

Saya tidak mahu menangis lagi seperti semalam. Semalam adalah hari bersedih, tetapi hari ini adalah hari harapan. Tidak patut saya sambut harapan yang baru Badrul bagi dengan linangan air mata.

Bad menyambut bahu saya yang masih kaku dan memimpin saya ke arah dataran perhimpunan memandangkan loceng akan dibunyikan sebentar lagi.

Hari ini akan dimulakan dengan saya secara rasmi adalah pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian.


Merai Sisa Ramadan di Bandaraya Kuala Lumpur (Bahagian 1)

Januari 1998 (Ramadan 1418)

Taman Kantan Permai berwarna kuning keemasan ketika saya, Ari dan Atiqah menunggu bas untuk ke Pekan Kajang hari itu. Hari itu, kami akan bermusafir ke rumah Makcik Midah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kami ke sana kerana Makcik Midah berjanji untuk membelikan kami baju raya tahun ini. Malangnya, beliau tidak dapat ke Kajang untuk melunaskan janjinya kepada kami kerana kerja, maka beliau meminta kami untuk ke rumah beliau bagi menuntut baju raya kami.

Setelah lebih kurang setengah jam melangu di hadapan kedai runcit Cik Pah, kelibat hijau kuning bas Foh Hup akhirnya muncul dari balik ladang getah di hujung taman, berderau-derau bunyi enjin ketika bas Foh Hup berhenti di tempat kami menunggu.

Kami mengembara bersama bas Foh Hup sejauh 7 kilometer sebelum tiba di pekan Kajang untuk mengambil bas Sri Indah yang akan membawa kami ke Bandaraya Kuala Lumpur. Ketika kami tiba, sudah ada tiga buah bas Sri Indah yang berwarna hijau putih beratur di hadapan Maybank Kajang, menunggu penumpang memenuhkan ruang-ruang duduk.



Pekan Kajang pada hari tersebut sibuk melebihi kebiasaan memandangkan ramai yang mula membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri yang akan tiba seminggu lagi. Kereta yang lalu-lalang di hadapan Billion juga mempunyai bilangan yang jauh lebih banyak jika dibanding dengan hari lain. Disebabkan kesibukkan tersebut, agak sukar untuk kami bertiga mencari ruang untuk meloloskan diri ke jalan seberang.

Tiba di tempat parkir bas Sri Indah, kami langsung memanjat tangga bas yang paling hadapan kerana kebiasaannya, bas yang paling hadapan yang akan bergerak dahulu. Masuk ke perut bas, hampir kesemua ruang duduk telah dipenuhi.

Saya, jika boleh, tidak mahu adik-adik duduk jauh dari pemerhatian saya. Tapi keadaan bas waktu itu memaksa kami berpisah seketika. Atiqah, kerana badannya masih kecil dan ringan, ditawar untuk dipangku oleh salah seorang penumpang. Manakala saya saya dan Ari duduk di belakang, tetapi tidak di dalam barisan kerusi yang sama.

Walaupun Atiqah berada agak jauh dari kami, tapi kami masih boleh memerhatikannya andai apa-apa berlaku padanya. Al-maklum, Atiqah baru masuk darjah 2, perempuan dan masih kecil, maka kami abang-abang yang perlu bertindak jika ada benda tak diingini terjadi padanya. Atiqah juga, sesekali akan mengalih pandangan kepada kami, sekadar memastikan kami masih ada di sekitar.

Konduktor bas masuk untuk memeriksa. Setelah dia berpuas hati dengan penuhnya bas ketika itu, arahan diberikan kepada pemandu untuk bergerak. Sedikit demi sedikit, bas Sri Indah keluar dari bandar Kajang menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.

Seadanya bas di atas jalan, konduktor pun mula menjalankan tugas rasminya, mengutip tambang dari para penumpang.

Konduktor bas semakin tiba ke arah tempat saya dan Ari duduk, masih mengutip tambang dari penumpang di kiri kanan beliau. Saya segera menyediakan wang secukupnya untuk kami bertiga. Tambangnya tidaklah begitu mahal, 80sen satu kepala untuk budak-budak seperti kami.

Sebelum sempat saya menghulur wang tambang kami kepada konduktor, seorang lelaki, berumur dalam lingkungan 20-an, yang duduk dihadapan saya menunjuk jari ke arah saya, Ari dan Atiqah. Sejumlah duit dihulur kepada konduktor.

Lelaki tersebut membayar tambang bas kami dan disahkan oleh konduktor apabila beliau tidak menyambut hulur tangan saya dan memberitahu bahawa tambang saya sudah dilunas.

Saya agak terkejut dengan budi lelaki tersebut. Dengan perlahan, saya menepuk bahui lelaki tersebut untuk mengambil perhatiannya. Apabila dia menoleh ke arah saya, saya mendekatkan mulut saya ke telinga beliau dan mengucap "Terima kasih", mewakili adik-adik saya sama, dan untuk beradab setelah orang berbakti.

Saya terfikir sendirian. Kemungkinan lelaki tersebut berasa kasihan melihat kami tiga beradik menaiki bas sendirian tanpa ditemani orang dewasa. Al-maklum, saya baru sahaja memasuki darjah 4, Ari di tahun 3 dan Atiqah di tahun 2. Dan masing-masing membawa beg baju. Tak mustahil, sesiapa pun yang melihat kami bertiga merayau-rayau di bandar Kajang, kemudian akan ke Kuala Lumpur pula, akan berasa syak dengan kami.

Selang 40 minit perjalanan, bas Sri Indah akhirnya merangkak-rangkak memasuki bandaraya Kuala Lumpur dan berhenti di depan Central Market di mana semua penumpang diminta turun memandangkan itu adalah hentian terakhir.



Kami pun turun sama. Tanpa berlengah, kami mencari pondok telefon yang berdekatan, untuk memaklumkan pada Makcik Midah bahawa kami sudah berada di Kuala Lumpur. Syukur, beliau masih di pejabat beliau ketika kami hubungi, maka, beliau tahu di mana dan bagaimana keadaan kami. Dan makluman dari Makcik Midah, beliau akan tiba lebih kurang sejam kemudian untuk mengambil kami.

Tiada pilihan, kami menunggu di pondok bas di hadapan Central Market.

Bisik hati kecil saya, sangat ingin rasanya meninjau-ninjau ke dalam Central Market. Sangat ingin melihat sebuah kedai akuarium yang beroperasi di dalam bangunan tersebut. Mahu tengok ikan naga, mahu perhati ikan kelisa pelbagai warna, hendak pegang anak kura-kura. Tapi arahan Makcik Midah untuk menunggu beliau di pondok bas, maka arahan diakur untuk mengelak masalah.

bersambung....

Thursday, August 1, 2013

Perempuan Islam Tertindas, Perempuan Islam Terkongkong... Apa-apa la...

Oktober 2010



Kelas 'Introduction to Biochemistry Lab' akan bermula sekitar 10 minit lagi tapi Encik Gavin Swiatek, selaku pengajar kami untuk kelas tersebut, masih belum kelihatan batang hidungnya. Tetapi, saya, Siti, Haziq, Hamid dan beberapa pelajar lain sudah terpacak di kerusi masing-masing, bersedia untuk memulakan sesi.

Sambil menunggu kehadiran Encik Swiatek, kebanyakkan kami tekun menghadap manual makmal, cuba menghadam sebaik mungkin apa yang akah dipleajari pada hari itu.

Saya juga cuba membacanya, namun disebabkan saya tidak dapat membayangkan situasi eksperimen untuk hari itu, saya sukar untuk memahami apa susunan huruf di dalam manual tersebut cuba maksudkan.

Siti mengambil tempat di sebelah saya memandangkan kami akan berada di dalam satu kumpulan untuk eksperimen hari ini. Ketika saya sedang cuba menghadam huruf-huruf di dalam manual tersebut, Siti memecah kesunyian dengan mengemukakan satu soalan yang agak memeningkan kepada saya.

"Eyh, Zainal. Semalam, dalam makmal kami, aku borak-borak dengan budak makmal aku. Seorang ni perempuan orang putih. Seorang lagi India, tapi dia lahir kat Amerika. Diorang tanya kenapa perempuan kena pakai tudung, kenapa perempuan kalau kahwin kena ikut cakap suami, kena tanya suami dulu kalau nak keluar rumah. Kenapa lelaki diletak lagi tinggi dari perempuan.

Bab tudung tu aku boleh terangkan, aku bagitau sebab Islam anggap perempuan istimewa, maka, perempuan dijaga macam berlian yang perlu ditutup bla bla bla.

Tapi bab lelaki lagi tinggi darjat dari perempuan tu, aku tak tau nak cakap macam mana. Aku cakap aku akan tanya orang dulu, hari ni aku akan bagitau diorang.

Kau tau tak macam mana nak jawab kalau orang tanya macam tu?"

"Allah... Pagi-pagi buta dah kena tanya soalan pelik-pelik. Mengadap manual ni pun dah cukup pening" rungut hati saya apabila terdengar soalan Siti.

Tetapi perasaan tersebut hanya disangkut dalam pangkal hati dan tak akan diluahkan kepada Siti kerana saya faham, selaku perempuan bertudung di tanah Amerika Utara ini, mereka tak boleh lari dari disimbah dengan soalan-soalan begini.

"Aku macam pernah jawab soalan ni kat seseorang, tapi aku tak ingat siapa. Aku guna logik je, ada orang boleh terima, ada orang tak.

Masa tu, aku bagitau yang banyak konsep dalam Islam lain dengan konsep Barat. Contohnya konsep keadilan. Dalam Islam, adil tu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tak sama dengan Barat yang selalu tafsir adil sebagai kesama-rataan (equality).

Jadi, dalam Islam, keadilan untuk lelaki dan perempuan adalah meletakkan masing-masing dalam skop tugas masing-masing. Lelaki ada tanggungjawab dia, perempuan pun ada tanggungjawab. Boleh anggap kita duduk dalam padang yang sama rata, tapi lelaki duduk kat kawasan lain, perempuan kat kawasan lain. Ikut tugas yang diberi. Dan kita tak duduk dalam tingkat-tingkat pangkat.

Kebetulan dalam keluarga, lelaki dipertanggungjawabkan untuk jadi ketua. Isteri dan anak-anak kena la ikut cakap ketua kalau nak buat apa-apa keputusan. Susah la kalau kapten kapal tak diberi penghormatan dan tak dilayan. Tenggelam kapal nanti.

Dan lelaki jadi ketua bukannya kelebihan, tapi tanggungjawab. Tak jadi ketua dengan betul, sedia la terima balasan. Perempuan pun, tak buat tugas dengan betul, ambil la balasan dia." teranh saya panjang dan maha lebar.

Siti cuba memahami apa yang saya ucap tadi sambil termenung mengamati meja di depannya. Mungkin dia sedang membayangkan situasi ketika dia akan menjelaskan semua isi tersebut kepada rakan makmalnya.

Encik Swiatek akhirnya muncul di pintu makmal. Saya dan Siti menamatkan perbualan tadi untuk waktu itu bagi memberi ruang kepada kelas kami untuk bermula.

Monday, July 29, 2013

"Macam Mana Kalau Tuhan Tak Wujud?"

November 2010



Bilik komputer di bangunan Loree hanya tinggal kami bertiga ketika kami keluar dari bangunan tersebut. Jam menunjukkan malam sudah berlabuh sehingga pukul 2 pagi. Kebanyakkan komputer masih hidup memandangkan minggu tersebut adalah minggu peperiksaan, maka komputer-komputer di bilik komputer sekitar universiti boleh digunakan 24 jam.

Saya sepatutnya boleh pulang lebih awal bersama ahli kumpulan saya yang lain, tapi ditahan oleh Shawn dan Mario yang masih tersangkut dengan tugasan mereka, meminta bantuan untuk menyiapkan tugasan.

"Jom kita pergi makan dulu? Saya lapar." ajak Shawn. (Anggap kami sedang berbual dalam bahasa Inggeris)

"Makan mana? Tempat yang kau bawa mesti tak bagus." jawab Mario mengutuk pilihan-pilihan restoran yang pernah Shawn bawa dahulu.

Di sepanjang perjalanan ke kereta Mario, mereka masih berdebat tentang tempat makan yang menarik untuk dituju. Saya hanya mengikut mereka dari belakang, sekadar memenuhi pelawaan mereka. Ke mana mereka bawa pun, saya hanya akan berkata 'Ya'.

Cuaca malam di bulan November bukanlah cuaca yang seronok untuk ditempuh. Malamnya berangin dingin dengan suhu berada di bawah paras beku. Hujan pula datang tidak menentu. Kombinasi hujan, angin dan dingin adalah kombinasi yang sukar untuk saya hadapi selaku orang yang membesar di iklim khatulistiwa.

Malam itu terasa sangat sunyi tanpa kelibat manusia lain. Perjalanan kami ke tempat parkir sesekali diterangi lampu jalan yang menyimbah oren. Jalan berbecah hasil tinggalan hujan petang tadi. Di kiri kanan kami masih dilitupi daun musim luruh yang belum sempat mereput. Hadirnya daun-daun tersebut memerangkap air hujan dan menyebabkan becah lambat mengering dan tapak kaki kami basah dan berbunyi-bunyi.

Tiba di tempat parkir, kami terus masuk ke dalam kereta Mario dan langsung menuju ke Chicken Express seperti yang mereka persetujui. Saya pula mengia di belakang.

"Wow, manual! Susah nak jumpa kat sini." Terpegun saya seketika tatkala melihat kayu gear di dalam kereta Mario.

"Hehehe. Cara nak mencegah kes curi kereta kat U.S." jawab Mario dengan bangga sambil terus memandu bagaikan mat rempit yang baru memegang stereng. Saya dan Shawn cuba mengawal rasa cuak di sepanjang perjalanan memikirkan nasib kami di dalam tangan Mario.

Di Chicken Express, kelihatan beberapa orang pelanggan yang sudah duduk. Kebanyakkannya warga kulit hitam dan seorang dua warga Mexico. Usai memilih dan membayar, kami berlabuh di salah sebuah meja yang disediakan.

"Mario, jom sambung perbualan kita petang tadi. Apa soalan kau? Macam mana nak tau agama mana yang betul?" pelawa Shawn kepada Mario untuk memecah diam. Mario mengangguk setuju sambil menyua makanan ke mulut.

Shawn, adalah seorang pelajar Muslim Pakistan yang membesar di Los Angeles. Gayanya biasa-biasa, tapi beliau sangat suka andai ada diskusi berkenaan agama. Seperti juga kebanyakkan orang Muslim Amerika yang biasa saya perhati di sini, mereka gemar berdiskusi secara terbuka dan berkongsi berkenaan Islam dengan orang lain. Situasi yang sangat baru untuk orang Muslim Malaysia seperti saya yang lebih selesa menyimpan apa yang saya tahu.

Mario pula adalah pelajar berketurunan dari Mexico yang saya tidak pasti apa pegangan agamanya. Mungkin atheist, mungkin juga Kristian.

Shawn terus bercerita dengan besemangat kepada Mario yang hanya mendengar tanpa respon. Saya juga memasang telinga mendengar 'syarahan' Shawn sambil menikmati cheesesteak di tangan. Banyak pendapat Shawn yang saya tidak berapa setuju, tapi saya diamkan sahaja. Tak berapa berani nak berdebat dengan mereka, lagi-lagi dengan bahasa Inggeris saya yang masih tidak cukup hebat. Dan juga untuk menghabiskan cheesesteak yang sangat memenuhi selera.

Mario bersuara, "Macam mana kalau kita pegang dengan satu agama, tapi bila kita mati, apa yang kita pegang tu tak ada pun. Bukan sia-sia ke macam tu? Macam mana kita nak tahu betul atau tak ada hidup selepas mati, sedangkan kita belum mati. Macam mana kita nak tahu Tuhan itu wujud sedangkan kita tak pernah jumpa pun Dia."

Shawn, cuba menjawab persoalan Mario dengan penuh semangat. Saya cuba untuk menangkap butir perkataan Shawn, tetapi gagal memahami keseluruhan poin beliau. Tapi saya pasti penerangan Shawn tidak mampu membuat Mario berasa puas melihatkan dahinya yang berkerut seribu.

Saya akhirnya memberanikan diri untuk mencelah apabila Shawn mula untuk mendominasi perbualan dengan suara yang agak keras dan tidak mahu memberi ruang untuk Mario memberikan kata balas.

"Shawn, diam sekejap. Mario, cuba fikir macam ni. Anggap kita hidup kat dunia paling lama pun sekitar 80 tahun. Dan cuba bayang hidup selepas mati adalah selama-lamanya, seperti kami, orang Islam, diajar. Cuba kata, alam lepas mati, Tuhan semua tak ada. Maknanya kami orang Islam telah membazir dan rugi 80 tahun kerana percaya benda sia-sia.

Tapi macam mana kalau alam lepas mati tu ada, Tuhan tu ada dan kita hanya jumpa dengan Dia lepas kita mati? Bukankah kita akan rugi selama-lamanya untuk mempertahankan hidup yang hanya 80 tahun?

Benda ni lebih kurang macam Game Theory cuma jauh lebih mudah dari itu." (Sila google apa itu Game Theory).

Mario mengangguk. Riak wajahnya menunjukkan dia masih tidak puas dengan perbahasan saya tapi dia tidak tahu untuk menolak dari sudut mana.

Saya menyambung 'syarahan' saya selepas melihat raut Mario yang masih dipenuhi persoalan "Kita memang susah nak buktikan dengan sains semua benda yang berkaitan Tuhan, mati, alam selepas mati dan kebanyakkan perkara berkaitan agama. Tapi, saya cuma boleh cadangkan untuk kau terus membaca. Mungkin satu hari nanti, kau akan jumpa juga benda yang kau boleh pegang dengan kukuh. Saya akan terus berdoa supaya kau jumpa benda yang betul-betul benar."

Mario membalas dengan mengangguk.

Selesai makan, Mario dan Shawn menghantar saya pulang ke rumah dahulu memandangkan rumah saya yang paling dekat.

Malam itu, saya membuka pintu rumah dengan seribu satu perasaan. Perasaan untuk memikir semula apa yang percaya selama ini, harapan supaya Mario bertemu jawapannya, apa makna Islam, apa makna menjadi Muslim, dan lain-lain.

Malam itu, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bermusafir di tanah Muslim sebagai minoriti.

Di tanah pegangan Islam dicabar.

Sunday, June 2, 2013

Cita-cita budak-budak




Keletang-keletung, ting ting, tung tang.

Berdenting-denting bunyi sudu, garfu dan pisau besi yang terhentak ke atas pinggan kaca di Restoran Pizza Hut, Alamanda malam itu.

Bunyi itu menandakan malam itu restoran Pizza Hut Alamanda mendapat kunjungan yang meriah berbanding hari lain. Al-maklum, musim gaji. Ramai mengambil kesempatan untuk membawa keluarga bersiar dan makan di luar.

Saya dan Fahim juga sebahagian dari mereka. Mengambil kesempatan mengambil angin; meraikan Fahim yang pulang bercuti setelah beberapa bulan ditugaskan sebagai guru di Sarawak.

"And then, I was sitting there, looking like a WEIRDO!" terdengar perbualan gadis India dalam Bahasa Inggeris dengan kawannya yang duduk di belakang Fahim.

"Hahahahaha!" gelak mereka serentak.

Kami memasang telinga memandangkan perbualan mereka agak kuat dan jelas untuk kami tangkap.

"'Weirdo' tu apa?" tanya Fahim kepada saya. "W.E.I.R.D.O." Fahim mengeja untuk menjelaskan soalannya.

"Hmmm... Maksudnya macam orang pelik. Macam Jakun, kalau ikut istilah yang biasa kita guna." jawab saya. Tak pasti sama ada cukup menjawab pertanyaan Fahim atau tidak.

"Oooo..." kata Fahim, mungkin berpuasa hati dengan jawapan saya.

"Seronok kerja jadi cikgu? Kau memang nak jadi cikgu ke?" saya pula bertanya kepada Fahim, sekadar  mahu menyambung perbualan walaupun tiada kaitan dengan soalannya tadi. "Cita-cita kau masa kecil apa?"soal saya lagi.

"Entahlah. Aku pun dah tak pasti aku nak jadi apa sebenarnya. Masa kecil, cita-cita aku nak jadi pilot. Tapi sebab aku rabun, tinggal harapan je la. Selain tu, cita-cita yang lain macam budak-budak lain juga. Nak jadi jurutera, doktor, polis. Tapi, sebab SPM aku tak cukup elok, ayah aku daftarkan jadi cikgu. Aku pun ikut je cakap dia."

"I see." respon saya untuk menunjukkan yang saya memberi perhatian kepada jawapan Fahim.

"Masa kecil, kau ada hobi? Kalau ada masa lapang, apa yang biasa kau buat?" tubi soalan saya kepada Fahim lagi.

"Entah. Aku pun tak tahu apa yang aku suka. Aku pun, kadang-kadang dengki dengan orang yang ada hobi dan ada 'passion'. Entah, aku pun tak pasti apa hobi aku. 'Passion' pun tak ada." Fahim menjawab sambil tangannya memegang potongan pizza yang entah ke berapa. Nampak benar seperti dia masih kelaparan.

Restoran itu masih meriah dengan pengunjung. Gadis-gadis India di belakang kami juga masih ada, cuma perbualan mereka semakin bernada rendah. Mungkin terperasan kami memasang telinga.

Saya menyambung perbualan. "Kadang-kadang, aku rasa, dalam kalangan kawan-kawan aku, macam aku seorang je yang terperangkap dengan zaman budak-budak. Orang lain semua dah jadi macam-macam, dah ada gaji berkepuk-kepuk, dah pergi merata alam. Aku seorang yang masih pasang niat nak jadi saintis. Walaupun cita-cita aku tak buat duit macam orang lain. Sangkut dengan cita-cita aku masa zaman budak-budak." jelas saya sebelum Fahim bertanya kenapa saya tiba-tiba membangkitkan soalan sebegitu.

Pizza masih ada sepotong berbaki. Saya minta Fahim habiskan memandangkan saya sudah kenyang dan dia pula kelihatan masih berselera. Selesai makan, kami beransur dari restoran tersebut. Malam itu, Fahim menambah pahala dengan menawar diri untuk belanja. Saya mengikut tawarannya.

******************************************************************

Soalan mengenai cita-cita adalah soalan yang sering saya ajukan kepada kawan-kawan saya andai saya ada kesempatan untuk berbual panjang dengan mereka. Saya tidak pasti mengapa, tapi saya sekadar ingin tahu berapa ramai yang betul-betul mempunyai cita-cita dan kemudian mengejarnya.

Untuk takat ini, hanya seorang dua sahaja yang saya jumpa yang betul-betul mengejar apa yang mereka mahu.

Kerana zaman ini, adalah zaman ramai orang mengikut arus perdana, menjadi apa yang biasa mereka dengar dan mengikut apa yang sudah dihidang di hadapan mereka.

Saya pula, sukar berpuas hati dengan cara hidup begitu. Walaupun cara hidup begitu menjanjikan hidup yang lebih stabil, duit yang lebih banyak dan masa hadapan yang lebih terjamin. Namun, untuk saya, saya tidak dapat mencari makna hidup dengan hanya mengikut arus.

Kerana, perkataan 'cita-cita' adalah perkataan yang mempunyai impak yang besar buat saya. Ia kembali kepada zaman saya berdarjah satu, ketika kami satu kelas diminta untuk memberikan cita-cita masing-masing kepada cikgu. Saya terpinga-pinga ketika mendengar perkataan 'cita-cita'. Pertama kali saya dengar perkataan tersebut dalam seumur hidup saya.

Apa maknanya? Saya nak jawab apa bila dipanggil cikgu nanti? Mana saya boleh cari 'cita-cita'? Risau saya seorang diri dalam benak hati.

Saya pun bertanya kepada Zahir, rakan meja sebelah, mengenai makna cita-cita. Zahir jawab ia adalah pekerjaan yang kita nak jadi bila besar nanti. Dan untuk Zahir, dia bercita-cita untuk menjadi pilot kapal terbang.

Saya berfikir sejenak, namun tak pasti apa yang saya mahu. Nak jadi macam Abah, saya tak pasti apa pekerjaan Abah. Nak jadi 'pilot', saya pun tak tahu 'pilot' tu apa. Sambil berfikir, saya membelek buku latihan yang ada di hadapan saya. Ternampak gambar askar, bomba dan polis. Maka, apabila sampai giliran saya untuk menjawab di hadapan cikgu, saya pun memberi jawapan apa yang saya jumpa dalam buku latihan.

Askar, bomba dan polis.

Walaupun dalam hati, saya sangat tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.

Sejak hari itu, saya sentiasa mencari apa yang ingin saya buat, apa yang saya mahu, apa yang boleh saya buat. Dan persoalan itu, semakin saya cuba untuk menjawab dengan lengkap tatkala umur merangkak menjadi digit-digit besar.

Di tika dan saat ini, saya masih berperang dengan diri sendiri mengenai jalan hidup ini dengan hujungnya masih belum pasti dan nilainya yang masih tidak mampu diberi.

Semoga jalan ini memberi makna dan kepuasan yang besar sebelum nafas ini ditarik dari dunia ini.


Sunday, March 10, 2013

Soalan Subjektif yang Berjawapan Objektif




54%

Besar nombor tersebut ditulis di hujung kertas peperiksaan Matematik Tambahan yang baru sahaja saya terima dari Cikgu.

Nombor itu ditulis dengan pen merah. Merah bagaikan api yang menyala yang memberitahu saya sudah melakukan suatu dosa.

Saya belek lampiran demi lampiran kertas peperiksaan tersebut dengan harapan bahawa mungkin Cikgu tersilap menanda. Mungkin juga Cikgu tersilap menambah markah keseluruhan untuk semua soalan di dalam kertas tersebut yang menyebabkan markahnya begitu sikit.

Malang sekali, harapan saya hampa. Tiada apa yang mampu saya buat untuk memperbaiki markah kertas peperiksaan tersebut.

Setelah puas membelek, saya letak kertas tersebut di atas meja dengan muka depan kertas tersebut dibalikkan menekap permukaan meja. Tidak mampu untuk saya menenungnya lebih lama. Melihat markah tersebut lama-lama bagaikan membiarkan hati saya dipanggang dan dikelar. Pedih.

'Masakan seorang pelajar kelas atas boleh dapat markah sebegini. Memalukan!' bisik hati saya yang masih pilu.

Cikgu masih menunggu di hadapan dewan ketika saya termenung, dikerumuni oleh pelajar-pelajar lain yang masing-masing mempunyai isu dengan markah dan jawapan mereka. Saya hanya memerhati mereka dari meja di belakang dewan.

Minggu itu, semua pelajar Tingkatan dikumpulkan untuk mengulangkaji di dewan besar sekolah. Bersama-sama menghabiskan sisa masa terakhir sebelum tibanya SPM.

Habis kelas, saya berjalan perlahan-lahan ke arah Cikgu. Waktu itu, masih ada dua orang pelajar sedang berbincang dengan Cikgu; meminta agar Cikgu memberi 'markah kasihan' kerana mereka hanya memerlukan dalam satu dua markah sahaja lagi untuk menaikkan gred mereka.

Saya hanya melihat gelagat mereka sambil memasang telinga.

Cikgu beralah dan gred mereka 'berjaya' dinaikkan.

"Zainal nak minta tambah markah juga ke?" sentap Cikgu yang akhirnya menyedari kehadiran saya di situ.

"Tak, Cikgu. Saya tak nak minta tambah markah. Kalau saya boleh tambah markah sekarang pun, SPM yang betul nanti bukannya boleh minta tambah-tambah markah." jawab saya selamba.

Pelajar-pelajar yang masih ada dengan kami membuat muka terkejut. Saya perasan, Cikgu juga terkejut tapi Cikgu sorok dengan terus melebar senyuman beliau yang biasa kami lihat.

Ketika melihat reaksi mereka, saya mula berasa bersalah. Cepat-cepat saya meminta izin dari Cikgu untuk ke dewan makan. Rasa bersalah kerana respon saya itu mungkin bukan jawapan yang tepat untuk soalan Cikgu. Cikgu mungkin berniat ikhlas untuk membantu saya menaikkan markah saya. Saya pula, seperti tidak sedar akan keadaan markah saya, mengambil ruang tersebut untuk memerli Cikgu dan kawan-kawan saya. Walaupun 'perlian' tersebut tidak saya niatkan untuk memerli.

Kaki saya, cepat-cepat saya hayun meninggalkan dewan. Tidak sanggup untuk terus berada dekat dengan mereka. Dalam perjalanan, saya memikir semula apa yang telah saya lakukan. Mungkin esok lusa, saya akan cuba untuk berjumpa dengan Cikgu untuk meminta maaf.

Walaupun masih berasa bersalah, jauh di sudut hati saya, terasa seperti saya telah membuat sesuatu yang betul. Satu, kerana saya akhirnya meluahkan apa yang saya rasa selama ini ketika melihat kawan-kawan yang sering mengecek kepada cikgu-cikgu untuk meminta markah lebih yang tidak sepatutnya mereka terima. Kedua, kerana saya memang tidak berminat dengan Matematik Tambahan. Matapelajaran yang mana soalannya subjektif, tetapi jawapannya sentiasa objektif.

Jika saya mampu menaikkan markah sehingga mendapat A pun, saya tidak pasti sejauh mana ia akan membantu saya di masa hadapan nanti. Terasa seperti subjek itu hanya membuatkan saya terperangkap. Terperangkap dalam khayalan soalan yang mempunyai banyak jawapan sedangkan jawapannya sentiasa satu. Subjektif yang menipu.

Lain sekali dengan subjek Biologi. Bila jawapannya subjektif, maka jawapannya juga subjektif. Selagi ada kaitan dengan soalan, mudah sahaja untuk mendapat markah. Itu baru dikatakan soalan subjektif.

Di perjalanan ke dewan makan, ketika mengenangkan markah subjek Biologi, hati saya berasa terubat sedikit setelah dirobek oleh markah Matematik Tambahan.

Apa-apa pun, esok  atau lusa, saya masih perlu mengadap Cikgu. Jika tidak untuk meminta maaf, mungkin kerana Cikgu akan memanggil saya untuk menerangkan mengapa markah saya teruk begitu.

Layankan saja.