Sunday, December 23, 2012

Ketika Kuasa Ada di Tangan

Ramadan 1997



"LARI!!" jerit salah seorang rakan kami. "Diorang baling mercun ketupat!!" laung suara yang sama.

Tanpa berfikir panjang, kami terus berlari menyelamatkan diri jauh dari 'medan perang'.

"POM!!". Sah! Memang ada yang baling mercun ketupat ke arah kami. Bunyinya yang luar biasa mampu menggegar pintu besi kedai yang ada berdekatan. Jika kami tidak lari, kemungkinan berdesing telinga jika mercun itu meletup berdekatan badan.

Kumpulan kami berkumpul semula di jalan berhadapan surau yang kami telah tukar menjadi 'medan perang mercun' sejurus serangan mercun ketupat tamat. Kami menyusun kembali barisan untuk membalas serangan ke kumpulan yang berada di seberang jalan sana.

"Shuuu!" satu mercun roket dilepaskan dari kumpulan kami.

" Shuu! Shuu! Shuuu!" diikuti oleh beberapa lagi mercun yang sama diikuti oleh beberapa bunyi letupan menandakan mercun tersebut selamat tiba ke kumpulan seberang. Saya juga berbuat demikian.

Sebatang mercun roket disisip ke dalam tapak tangan kanan dan tangan kiri dihulur mencucuh sumbu dengan sebiji lighter. Sebaik sumbu habis ke pangkalnya, SUP... berdesup mercun tersebut meloloskan diri dari tangan saya, menuju untuk menyerang.

Kali ni, giliran kumpulan sana pula bertempiaran lari menyelamatkan diri, berpecah dari formasi masing-masing. Puas hati kami melihatnya.

Tidak cukup dengan mercun roket, sebiji 'Thunderclap' turut 'dihantar' menyerang. Bersinar seketika jalan di hadapan surau yang sedari tadi suram yang hanya diterangi oleh lampu jalan berwarna oren.

Bertambah hiruk-pikuk ahli kumpulan bertebaran lari memandangkan mercun Thunderclap yang kami hantar tadi berpantul-pantul 'mengejar' mereka sebelum mati dengan satu bunyi 'pom'.

"Hoi!! Mana boleh guna Thunderclap!" teriak salah seorang ahli kumpulan seberang sambil mereka berlari ke arah kami dalam kumpulan. "Nak bunuh kitorang ke?!" jerit mereka lagi.

Ahli kumpulan kami memberhentikan serangan dan bersedia untuk bersemuka dengan mereka.

"Kan dah cakap awal tadi, tak boleh guna Thunderclap! Bahaya!" tempelak seorang yang lain.

Benar kata mereka. Peraturan 'perang' malam itu adalah tidak dibenarkan menggunakan Thunderclap. Kerana pernah terjadi kes di mana mercun itu sesat lalu masuk ke surau dan menyebabkan pakcik-pakcik marah. Maka mercun itu dilarang sama sekali untuk digunakan ketika 'berperang'. Kumpulan kami telah melakukan satu kesalahan.

"Siapa yang guna Thunderclap tadi? Keluar sekarang!" jerit Irshad, seorang pelajar tahun 4.

Tiada yang mengaku.

"Siapa?! Baik mengaku cepat?!"

Tak semena-mena, saya ditolak ke hadapan untuk mengadap Irshad. Saya tidak tahu siapa yang menolak saya.

Irshad membuat muka bengis.

Tidak semena-mena juga, tangan Irshad dihayun menuju ke muka saya. Tersungkur saya di atas jalan dalam. Terpana saya seketika, tidak pasti apa yang sedang berlaku.

Irshad tanpa membuang masa, terus menerkam saya seperti seekor singa gila yang sudah lama kelaparan, duduk di atas perut saya dan mematikan peluang untuk saya bangun. Tangan kanannya diangkat ke udara dan bersedia untuk dihentam ke muka saya. Namun, sebelum sempat tangan kanannya melepaskan pukulan, saya tangkap lengan Irshad. Irshad cuba melepaskan tumbukan dengan tangan kirinya, juga berjaya saya tahan sebelum  pukulannya tiba ke muka saya.

Kami berada dalam keadaan tersebut untuk beberapa ketika. Saya perasan, walaupun badan Irshad lebih kecil dari saya, (sedangkan dia di darjah 4, saya darjah 3), saya masih bertungkus-lumus untuk menahan kedua-dua tangannya.

Kawan-kawan lain mengerumuni kami, membentuk bulatan, sambil bersorak "Gaduh! Gaduh! Gaduh!". Seolah-olah sedang menyaksikan perlawanan gusti yang biasa mereka lihat di TV.

Beberapa ketika kemudian, entah bagaimana, salah satu tangan Irshad terlepas dari cengkaman saya. Dia mencapai rambut saya dan cuba untuk menghentak kepala saya ke atas jalan tar.

Sekali lagi, sebelum dia berjaya membuat pukulannya, saya gulingkan badan dan menolak Irshad ke tepi. Kedudukan kami bertukar. Kini, saya yang menyekat cubaan dia untuk bangun. Lutut kanan saya, ditekan ke pergelangan tangan kiri Irshad untuk menyekat pergerakan tangan kirinya. Lutut kiri saya pula berada di dadanya, menghenyak tulang rusuk dan pangkal leher Irshad. Manakala tangan kiri saya menekan tangan kiri Irshad ke atas jalan, mematikan peluangnya untuk membuat apa-apa pukulan.

Tangan kanan saya pula, melepaskan beberapa tumbukan ke muka Irshad. Untuk seketika, otak saya menjadi kosong. Saya tidak pasti apa yang sedang saya buat ketika itu. Ketika saya sedar, tangan kanan saya sudah berada di kepala Irshad, mencengkam rambutnya. Irshad mencuba sedaya upaya untuk meloloskan diri. Tapi sia-sia kerana semua pergerakannya sudah saya sekat rapi. Lutut Irshad menendang-nendang belakang saya dalam cubaannya menyelamatkan diri tapi tidak memberi kesan kepada saya.

Saya berbisik ke muka Irshad "Sekarang siapa yang pukul siapa?"

Kawan-kawan yang masih mengerumuni menjerit "Hentak je! Hentak kepala dia atas jalan!" "Hentak! Hentak! Hentak!"

Ketika mendengar 'cadangan' mereka, saya sudah pun dalam posisi untuk berbuat demikian.

Namun, ketika melihat muka Irshad yang seperti kehabisan nafas untuk melawan, perlahan-lahan, saya lepaskan cengkaman tangan kanan saya kepada rambutnya. Tidak sanggup untuk meneruskan niat saya menghentak kepala seorang budak yang juga boleh merasa sakit seperti saya. Walaupun ketika itu, tangan saya sudah sangat mampu untuk berbuat demikian.

Saya bangkit, memecahkan bulatan kawan-kawan dan terus berlari pulang ke rumah.

Di rumah, saya berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku ketika lalu di hadapan Emak yang sedang menjahit di mesin jahitnya. Emak yang melihat saya pulang lebih awal dari biasa memerhati saya dengan rasa hairan namun tidak bertanya apa-apa. Saya terus melulu ke bilik kakak yang terletak di belakang rumah dan menyorok di situ. Kakak terkejut dengan kehadiran saya dan terus bertanya "Apa hal kau ni?". Saya tidak menjawab tetapi terus duduk bersandar ke dinding dan cuba menenangkan diri. Masih tidak percaya saya baru sahaja ditumbuk, menumbuk  dan hampir-hampir sahaja memecahkan kepala seseorang.

Saya pasti, sekejap lagi ibu bapa Irshad akan datang ke rumah untuk bertanya apa yang telah saya lakukan kepada Irshad sambil.

Tekaan saya betul. Ibu bapa Irshad datang. Namun saya tidak keluar dari bilik kakak. Saya hanya curi-curi dengar perbualan Emak, Abah dan ibu bapa Irshad walaupun butirannya tidak berapa jelas di telinga saya.

Selepas beberapa ketika, ibu bapa Irshad pulang. Mujur Abah tidak berkata apa-apa. Dia hanya menganggap, pergaduhan kami hanyalah pergaduhan budak-budak dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

Malam itu, setelah penat membatu di bilik kakak, saya beranikan diri keluar dan terus masuk ke bilik sendiri. Mujur Emak sudah tiada di meja jahitnya untuk bertanya itu dan ini kepada saya. Ketika saya menghempas badan ke katil, saya sedar, ada kuku kaki saya tertanggal dan darah kering bertempek-tempek di tapak kaki. Saya tidak pasti bila kala kuku tersebut tertanggal.

Saya tidak kisah. Saya terus tertidur dalam keadaan baju melayu saya masih basah dek berpeluh oleh pergaduhan tadi. Walaupun masih terkejut, namun saya tahu, tindakan saya lari dari pergaduhan tadi adalah tindakan yang betul. Saya berjaya menahan tangan saya dari merosakkan orang lain. Walaupun mungkin saya akan dipanggil 'pengecut' oleh kawan-kawan saya esok.

"Lantaklah..." pujuk hati.

Monday, October 15, 2012

Sepetang Ber-'eksperimen'

1994


Mungkin sudah berlalu beberapa bulan semenjak kami sekeluarga berpindah ke Taman Kantan Permai. Rumah-rumah di sekitar kami semakin dihuni jiran tetangga yang baru yang menyebabkan taman itu lebih meriah dari waktu kami mula-mula berpindah dahulu.

Walaupun taman itu semakin dipenuhi, namun waktu petang sekitar pukul 2-3 sentiasa sunyi. Jalan-jalan, walaupun dicerahi dengan sinar kuning matahari, kebiasaannya lengang tanpa apa-apa aktiviti. Di rumah kami, waktu-waktu petang begini, saya dan adik-adik biasanya diarahkan untuk tidur supaya Mak boleh membuat kerjanya tanpa diganggu. Tetapi, saya agak liat untuk tidur petang kerana waktu-waktu diam begini, saya rasa rugi jika dibazirkan.

Waktu petang yang diam, adalah waktu yang sesuai untuk saya membuat aktiviti personal saya : ber-eksperimen.

Eksperimen kanak-kanak berumur 6 tahun.

Dari sanubari yang sentiasa ingin mengetahui.

Ada harinya, saya akan ber-eksperimen dengan serangga. Hari lain, saya gunakan tumbuhan sebagai bahan kajian. Jika tiada kedua-duanya, alat jahit Mak juga boleh menjadi subjek pemerhatian.

Petang itu, saya duduk di depan pintu kaca rumah. Terlihat beberapa ekor lalat yang sedang cuba memboloskan diri menerjah ke cermin pintu untuk keluar. Mungkin lalat-lalat tersebut tidak perasan akan kaca tersebut, maka mereka menghentamnya berulang-kali dengan harapan akhirnya mereka dapat keluar dan 'bermain' di laman rumah yang dipenuhi dengan pokok bunga tanaman Mak dan rumput-rumput yang menghijaukan laman.

'Bodohnya lalat ni' kutuk saya di dalam hati sambil terus memerhati tindakan lalat-lalat tersebut.

Ketika mereka masih leka untuk meloloskan diri, "Tup!", tekup tangan saya ke cermin pintu untuk memerangkap salah seekor dari lalat tersebut.

Meronta lalat yang berada di dalam tangan saya cuba untuk membebaskan diri.

Perlahan-lahan, saya menggenggam tangan untuk memastikan lalat tersebut selamat dikurung di dalam tangan. Selesai proses tangkapan, saya terus berlari ke dapur, membuka pintu peti sejuk dan mencampak lalat tersebut ke dalam ruang membeku lalu menutup pintunya dengan cepat supaya lalat tersebut tidak sempat keluar.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk eksperimen hari ini:

Kita akan melihat berapa lama diperlukan untuk 'membekukan' lalat di dalam peti sejuk.

Lebih kurang seminit kemudian, pintu peti sejuk dibuka.

"Ngeeeng~" terbang lalat keluar dari peti sejuk.

Lalat masih hidup dan belum beku. Seminit tidak cukup untuk membekukan lalat.

Saya ke pintu semula menangkap mangsa kajian yang seterusnya, berlari ke dapur, campak lalat ke dalam peti sejuk dan tutup dengan cepat.

2 minit dikira dengan melihat jam di ruang tamu rumah.

Pintu peti sejuk dibuka.

"Ngeeeeeng~~". 2 minit juga masih tidak cukup untuk membekukan lalat.

Langkah-langkah tersebut diulang untuk beberapa kali. Sehingga akhirnya, kesimpulan dapat dibuat.

Lalat hanya akan beku apabila dimasukkan ke dalam peti sejuk beku sekurang-kurangnya 5 minit.

Apabila masa tersebut telah dapat ditentukan, Mak datang ke dapur untuk menjerang air memandangkan Abah akan pulang sebentar lagi.

Sambil melihat cerek air yang berada di atas dapur menunggu untuk mendidih, timbul idea eksperimen yang kedua untuk hari itu.

'Berapa agaknya masa pemanasan di atas cerek air panas yang diperlukan untuk menghidupkan kembali lalat yang telah dibekukan?'

Bagaimanapun sebelum eksperimen sempat dimulakan, Mak perasan aktiviti saya 'bermain' dengan lalat untuk disimpan di tempat simpanan makanan, yakni peti sejuk.

Saya dimarah dan disuruh bermain di depan.

Tamat sesi eksperimen saya pada hari itu.

Namun harapan untuk meneruskan 'eksperimen' menghidupkan lalat beku masih belum mati. Esok masih ada untuk eksperimen seterusnya.

Esok, lalat yang 'mati' akan 'dihidupkan' semula. Eksperimen saya masih belum tamat.

Monday, September 3, 2012

Diari Penunggang Motosikal

Jun 2012

Gambar Siti Nurhaliza sedang menunggang motorsikal sebagai hiasan

Cuaca terik membakar sekitar kawasan Sungai Merab, Bangi ketika saya dan beberapa orang pelatih lain dipanggil ke sebuah pondok untuk ditunjuk ajar oleh jurulatih mengenai motor dan cara-cara menunggang yang betul.

Selesai taklimat, kami diarahkan untuk mengambil motorsikal dari kawasan parking dan membawanya ke kawasan latihan untuk berlatih.

Ketika dalam latihan, seorang pelatih perempuan yang sangat baru memegang throttle terjatuh dan menyebabkan tangannya tercalar dan luka. Dari insiden tersebut, dia berasa trauma untuk kembali menunggang dan perlahan-lahan dia menolak motornya ke kawasan pondok untuk berehat menugmpul semangat. Kawannya, seorang perempuan yang juga masih baru dengan motorsikal, terkesan dengan jatuhnya pelatih perempuan tadi. Maka ketika jurulatih menyuruhnya mengambil motor yang telah di-parkir oleh temannya, dia menolak dan mengatakan dia akan menunggu sehingga ruang latihan lengang.

Jurulatih, seperti sudah biasa dengan situasi ini, memanggil kesemua pelatih yang sedang berlatih di kawasan latihan - termasuk saya- untuk berkumpul ke pondok yang diduduki oleh 2 pelatih perempuan tersebut.

"Siapa kat sini yang dah biasa bawa motor?" tanya beliau kepada kami. 

Lebih kurang 12 tangan dijulang ke atas (termasuk tangan saya).

"Antara yang dah biasa bawa motor ni, siapa yang tak pernah jatuh atau accident?" tanya jurulatih lagi.

Tiada respon dari kami.

"Tengok. Biasa la jatuh kalau naik motor. Tak ada orang yang naik motor tak pernah jatuh. Say sendiri pun dah banyak kali accident. Tak payah takut. Lama-lama nanti awak pandai. Nak jatuh kat sini banyak kali pun tak apa. Lebih selamat dari jatuh di luar," terang jurulatih kepada kami yang secara rawak walaupun kami tahu nasihatnya ingin ditujukan kepada 2 pelatih perempuan tadi.

Selesai ucapan beliau, kami kembali ke atas motor masing-masing dan meneruskan latihan. Palajar perempuan yang terjatuh tadi juga kembali ke atas motornya dan mula menunggang.

2 minggu kemudian, peperiksaan dijalankan, dan syukur, pelajar perempuan yang jatuh tadi lulus untuk mendapat lesen lebih awal dari saya. Sedangkan saya perlu mengulang kerana gagal dalam salah satu ujian.

Selepas 3 bulan peristiwa tersebut berlaku, ketika saya menunggang motorsikal untuk bergegas pulang ke Kajang untuk menyambut ketibaan sahabat yang ingin datang berziarah, saya seolah-olah bersyukur kerana diberikan peluang untuk jatuh ketika menunggang sebanyak beberapa kali di sepanjang hidup saya.

Ketika menunggang pulang, saya seolah-olah berasa 'hidup' dan yakin dengan tunggangan saya ketika melintasi kenderaan-kenderaan yang bersimpang siur di atas jalanraya dek kerana tahu apa rasanya jika jatuh.

Ketika jatuh dari motor, pengalamannya perit dan menakutkan. Dengan luka-luka yang menyukarkan pergerakan untuk membuat aktiviti harian, dengan motor yang perlu diperbaiki dan menyebabkan wang keluar, dengan marah-marah dari Mak dan Kakak kerana menunggang dengan tidak berhati-hati, saya belajar apa erti 'jatuh'.

Selepas 'jatuh-jatuh', tunggangan saya menjadi lebih baik dari sebelumnya. Saya belajar untuklebih berhati-hati ketika melalui jalan berpasir. Saya belajar untuk lebih peka dengan keadaan kenderaan sekeliling yang mungkin bertindak secara luar biasa (seperti masuk simpang tanpa signal). Saya lebih arif mengenai tindakan yang perlu dilakukan andai berlaku perkara di luar jangkaan.

Syukur, Tuhan masih memanjangkan nyawa saya walaupun beberapa kali saya diletakkan betul-betul di persimpangan maut.

**************************************************************************

Hidup, jika boleh dikaitkan dengan pengalaman bermotosikal lebih kurang serupa. Awalnya, ketika berlaku kesilapan, kita akan berasa takut untuk melangkah ke depan, berdepan dengan dunia. Namun hidup tidak seperti menunggang. Jika takut menunggang, kita boleh letak motor di tepi. 

Hidup, hanya mati yang akan menyebabkan kita terlepas dari kawalan. Selagi bernafas, kita akan memandunya. 

Sesekali kita akan terbabas, sesekali kita akan membuat kesilapan. Namun jika kita berhenti untuk kembali belajar 'menunggang' kita akan terus terbabas dan tidak akan tiba ke destinasi yang kita mahukan.

Jika kita mahu ke tempat yang kita suka, kita perlu memaksa diri untuk mengatasi ketakutan dari 'kejatuhan', kembali bangun untuk 'memegang throttle', dan memandu sehingga mahir untuk mengawalnya.

Dengan izin Tuhan, dengan pemanduan yang betul, dan dengan pengajaran-pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman ketika 'jatuh', kita akan sampai ke destinasi yang kita bayangkan.

Bangun! Belajar! Berkejarlah!

Friday, August 24, 2012

Iktikaf (Kononnya)

Ramadan 1999 (Darjah 5)


"Assalamualaikum~ Zainaaal~"

Laung satu suara remaja dari luar.

"Assalamualaikum~ Zainaaal~"

Laung lagi suara tersebut.

Mak keluar untuk melihat siapa yang memanggil.

"Waalaikumsalam. Nak cari Zainal yang mana?" tanya Mak kepada remaja yang menunggu di luar rumah sambil menunggang sebuah motorsikal. Soalan biasa yang ditanya andai si pemanggil memanggil 'Zainal' kerana rumah kami ada 4 Zainal.

"Zainal Faiz," jawab si pemanggil.

"Oh, Nazir ke? Kejap ye. Makcik panggilkan," balas Mak.

Faiz, abang saya, bergegas bersiap. Saya dan adik lelaki juga turut kelam-kabut bersiap.

Malam itu, kami akan ke Masjid Jamek Pekan Kajang. Malam itu, antara malam-malam terakhir Ramadan untuk tahun itu. Maka, kami ingin mengambil kesempatan untuk ber'iktikaf' di masjid. Kerana kami terdengar dari pakcik-pakcik di surau bahawa malam-malam terakhir Ramadan digalakkan untuk beiktikaf di masjid.

Memandangkan keesokkan harinya kami tidak bersekolah, maka malam itu kami diizinkan untuk tidur di luar.

5 minit kemudian, kami selesai bersiap. Abang mengambil kunci motor dan terus melungsurkan motor keluar dari halaman rumah. Apabila Abang sudah menghidupkan enjin motor, saya dan adik memanjat ke kerusi belakang, membonceng bertiga di atas satu motor.  "Vroooom!" langsung kami bergerak menuju ke masjid bersama Nazir, Kahfi, Hasni dan beberapa lagi rakan Abang.

Abang sebenarnya ingin pergi sendiri bersama rakan-rakannya. Tapi disebabkan saya dan adik mendesak untuk ikut sama, dan Abah pula menyokong kami untuk dibawa bersama, maka dia tiada pilihan dan dengan berat hati terpaksa membenarkan kami untuk turut serta.

Saya ingin mengikut Abang kerana saya tahu, Abang dan kawan-kawannya bukan sekadar ingin ber'iktikaf'. Mereka mempunyai agenda-agenda lain pada malam itu. Dan saya tahu, aktiviti-aktiviti mereka selalunya menyeronokkan.

Malam itu, kami berkeputusan untuk menggunakan motor memandangkan kawan-kawan abang semuanya ingin menaiki motor. Untuk hari-hari yang lain, ada kalanya kami menggunakan basikal kerana kami bertiga mempunyai basikal masing-masing. Bagaimanapun, jika naik motor, kami tidak penat dan boleh pulang ke rumah dengan cepat untuk bersahur di rumah. Jika guna basikal, lepas subuh baru sampai ke rumah dan 'terpaksa' bersahur di masjid.

Lebih kurang pukul 12 tengah malam (dalam 10-15 minit perjalanan), kami di perkarangan Masjid Kajang. Malam itu, tidak berapa ramai orang yang beriktikaf. Boleh dilihat dengan kosongnya perkarangan parkir masjid.

Apabila kami masuk ke ruang solat masjid, kami dirikan solat tahiyyatul masjid 2 rakaat terlebih dahulu. Kemudian kami menyambung membuat aktiviti masing-masing. Ada kawan Abang yang menyambung solat sunat. Ada yang duduk membaca Al-Quran. Ada yang berkumpul dan berbual-bual.

Apabila semua sudah berkumpul semula, kami berbincang untuk aktiviti seterusnya. Jam baru menunjukkan pukul 12:30 tengah malam. Qiyamullail berjemaah pula hanya akan dimulakan pada pukul 4:30 pagi.

Malam itu, kami membuat keputusan untuk ke CyberCafe di pekan Kajang dahulu untuk menunggu waktu Qiyam. Boleh bermain internet. Boleh bermain game.

Tidur? Dalam jadual kami ber'iktikaf', tidur memang tiada dalam senarai aktiviti.

Kami hanya berjalan kaki dari masjid menuju ke pekan Kajang yang jauhnya lebih kurang 5 minit. Malam itu, kami tidak menggunakan laluan biasa yang perlu melalui jalan besar berhadapan stadium Kajang. Malam itu, kami menyelusur di jalan belakang balai polis. Jalan itu baru dibuka dan lebih selamat untuk berjalan kaki berbanding menggunakan jalan besar yang biasanya penuh dengan kenderaan yang dipandu laju.

Di jalan belakang balai polis itu, tiba-tiba Abang dan kawan-kawannya berhenti. Salah seorang dari mereka mengeluarkan sesuatu dari beg.

Sebuah mercun berbentuk kiub yang mempunyai 25 lubang (5 x 5) di atasnya. Dan di setiap lubang tersebut, terisi sesuatu yang berbentuk seperti misil kecil. Ada 25 batang misil kecil di dalam mercun tersebut.

Di lorong gelap itu, mereka berkeputusan untuk menyalakannya. Selepas sumbunya di bakar, kami  berlari menyelamatkan diri masing-masing dan menyorok di balik pokok dan kereta. Risau andai-andai ada misil tersebut yang tersasar dan mengejar kami.

Shuuu~ POM! Shuu~ POM! Shuu~ POM!

Satu demi satu misil-misil itu terbang keluar dari kiub tersebut lalu meletup di atas langit dan memancarkan cahaya yang berwarna-warni. Kami perhati dengan penuh ketakjuban dari tempat persembunyian masing-masing.

Tamat pertunjukkan mercun, kami teruskan perjalanan dengan perlahan-lahan ke pekan Kajang. Sambil-sambil berjalan, kami lempar sebatang dua mercun mancis, mercun naga, 'Thunderclap', mercun roket dan beberapa lagi mercun yang kami ada di sepanjang perjalanan. Malam itu, pekan Kajang lebih sunyi dari biasa. Mungkin kerana warganya sudah ramai yang pulang ke kampung, maka jalan-jalan menjadi lengang. Sunyinya, menyebabkan kami rasa ingin berbaring di tengah-tengah jalan besar. Bunyi-bunyi mercun tersebut menghilangkan sedikit kesunyian pekan Kajang malam itu yang seolah-olah seperti pekan mati.

Ketika kami tiba di CyberCafe, kebanyakkan komputer sudah pun mempunyai 'penghuni'. Hanya beberapa unit yang masih kosong. Maka ada di antara kami yang berkongsi komputer bermain MiRC. Saya yang masih tidak 'pandai' menggunakan internet ketika itu, hanya duduk-duduk di kerusi kosong memerhatikan orang lain yang leka di hadapan skrin.

Lebih kurang sejam berlegar di dalam CyberCafe, kami keluar dan berpatah balik ke masjid untuk menyambung iktikaf. Di bawah CyberCafe yang terletak di tingkat 2 itu, berkumpul beberapa orang lelaki dan 'perempuan'. 'Perempuan-perempuan' tersebut cuba menegur kami namun kami buat tidak endah dan kami berlalu dengan pantas. Risau diperlakukan 'sesuatu'.

Sebelum kami jauh dari mereka, salah seorang kawan Abang membaling sesuatu kepada mereka.

Disebabkan tindakan kawan Abang tersebuttersebut, 'perempuan-perempuan' itu berasa marah. Ada yang membuka kasut dan cuba mengejar kami.

"Lari!! Pondan kejar!!" pekik salah seorang kawan Abang. Kami pun, tanpa berfikir 2-3 kali, terus mengangkat langkah seribu berlari bagai tidak cukup tanah untuk dipijak.

Sambil kami berlari, terdengar garau suara dari belakang yang cukup menyeramkan. "Tak guna punya budak! Siap kau orang kalau aku dapat tangkap!"

Saya menoleh melihat salah seorang dari mereka mengejar kami sambil tangannya memegang sepatu bertumit tinggi. Disebabkan ketakutan, saya cuba berlari lebih laju dan terus melintas jalan besar menuju ke masjid.

Syukur, selepas kami menyeberang jalan besar, 'perempuan-perempuan' tadi berhenti mengejar kami. Sambil termengah-mengah, kami berjalan pulang menuju ke masjid.

Sebelum tiba di masjid, kami singgah dahulu ke gerai di hadapan masjid, minum-minum menghilangkan 'penat' dan dahaga.

Kami tiba kembali ke ruang solat Masjid Kajang ketika jemaah lain sudah pun memulakan qiyamullail dan sedang bersolat sunat tasbih. Sebelum kami masuk ke saff, kami solat tahajjud 2 rakaat terlebih dahulu, diikuti dengan solat sunat hajat dan taubat.

Ketika di dalam saff bersolat tasbih, pelbagai gelagat boleh saya perhati dari kawan-kawan abang. Ada yang sujud tidak bangun-bangun, ada yang terjatuh ke belakang ketika rukuk, ada juga yang mufaaraqah kerana tidak tahan dengan lamanya solat tasbih tersebut. Tambahan pula, malam-malam terakhir ini, imam yang mengetuai solat 'suka' membaca tasbih dengan perlahan dan mendayu-dayu. Saya juga tidak tahan dengan lamanya solat tersebut dan menyambung bersolat sendiri.

Selesai qiyamullail, kami menuju ke tempat motor di-parkir dan memulakan perjalanan pulang ke rumah di Taman Kantan Permai untuk bersahur bersama keluarga masing-masing.

Selesai 'iktikaf' kami pada malam tersebut.

Thursday, August 2, 2012

Mempelajari Kejayaan Ikhwanul Muslimin di Mesir (dan pergerakan politik Turki) untuk Gerakan Islam di Malaysia

29 Julai 2012




Pada Ahad yang lalu, saya sempat meneman boss memberikan perkongsian di PAS cawangan Desa Aman dan kawasan Gopeng. Ceramah yang disampaikan lebih kurang bertajuk "Mempelajari Kejayaan Ikhwanul Muslimin di Mesir untuk Gerakan Islam di Malaysia"

Secara jujur, saya tidak berapa fokus mendengar ceramah oleh boss sendiri memandangkan sudah terlampau banyak ceramah beliau yang saya dengar semenjak bekerja dengan beliau. Jika saya dengar pun, agenda tidur mungkin akan diselitkan atau saya sibuk dengan urusan lain; jawab telefon, reply emel, baca buku, etc. Tapi hari tu, ceramah beliau membuatkan saya sedikit 'terpukau' dan saya mendengarnya sehingga habis. Sempat juga mencatit beberapa isi penting dari ceramah beliau. Ceramahnya sepanjang 1 jam 30 minit. Hanya sedikit sahaja detail yang mampu ditangkap kerana terlampau banyak nama, situasi dan info yang perlu digarap.

Sebelum beliau masuk ke topik Mesir, beliau berbincang mengenai kejayaan Parti Refah (terjemahan: Parti Kebajikan), sebuah parti yang berideologi Islamik, dalam memenangi hati rakyat Turkey semasa Necmettin Erbakan menjadi Perdana Menteri Turki. Secara ringkas, apa yang saya faham, Parti Refah berjaya meraih hati ramai rakyat Turki kerana rakyat Turki yakin dengan gerak kerja mereka walaupun mereka memegang ideologi Islamik (Turki adalah negara berperlembagaan sekular dan agama tidak boleh dimasukkan dalam urusan kerja dan pejabat). Di setiap kawasan yang dipimpin oleh wakil dari Parti Refah, pasti ada penambahbaikan kepada kehidupan rakyat di kawasan tersebut. Sehinggakan, 70% daripada orang yang menyokong mereka bukanlah orang yang menyokong ideologi atau prinsip parti mereka yang berasaskan Islam, tetapi adalah mereka yang berasa puas hati dan yakin dengan perubahan yang Parti Refah lakukan; yakni mereka sangat 'reliable' (sumber dari Newsweek).

Bagaimanapun, disebabkan beberapa isu, pihak tentera menjatuhkan Erbakan atas tuduhan beliau mempunyai agenda Islamist di sebalik parti mereka dan itu bertentangan dengan perlembagaan sekular Turki. Parti Refah akhirnya diharamkan.

Apabila Erbakan diguling, hidup rakyat Turki kembali menjadi teruk dengan ranapnya sistem ekonomi Turki. Nilai matawang menyusut dengan mendadak. Disebabkan tekanan ekonomi yang teruk, ada yang sanggup membunuh diri dan seluruh isi keluarga kerana takut dengan masa hadapan mereka. Ketika keadaan menjadi teruk sebegitu, rakyat mula menyalahkan Erbakan dan Parti Refah kerana disebabkan ideologi mereka, tentera campurtangan dalam pemerintahan dan menyebabkan hidup mereka terseksa (yang menyokong Parti Refah JUGA yang tidak menyokong, semua terseksa).

Erbakan ingin menubuhkan lagi satu parti Islamik untuk bertanding di dalam pilihanraya bagi memenangi kembali tampuk pemerintahan. Bagaimanapun, idea tersebut disangkal oleh sahabat beliau, Recep Tayyib Erdogan. Bagi Erdogan, cara tersebut hanya akan mengulang masalah yang sama iaitu parti mereka ada kemungkinan diharamkan lagi (Parti Erbakan yang pernah diharamkan adalah Milli Nizam Partisi (MNP), Millî Selâmet Partisi (MSP), dan kemudiannya diikuti Parti Refah dan semua parti Erbakan memegang ideologi Islamik dan semuanya diharamkan). Disebabkan perbezaan pendapat, maka Erdogan dan Erbakan berpisah dan berjuang dengan wadah masing-masing; Erbakan menubuhkan Saadet Partisi manakala Erdogan membuat Adalet ve Kalkınma Partisi (AKP). Parti Saadet masih berideologi Islamis, tetapi AKP berprinsip Islamis sederhana ('moderate Islamist' dari Wikipedia) yang bermanifesto sekular. Bagaimanapun sekularnya AKP adalah sekular yang berhala songsang. Selama ini, sekular di Turki hanya satu hala, iaitu rakyat kepada kerajaan: bermaksud rakyat perlu menghormati sekularnya kerajaan (contoh: rakyat tidak boleh memakai tudung di bangunan kerajaan). Tetapi, sekular yang dicadang oleh AKP adalah dua hala, yakni kerajaan juga perlu menghormati sekulariti rakyat dan kerajaan tiada hak untuk mengganggu pilihan peribadi rakyatnya (termasuk agama) dan hanya fokus kepada kerja mereka. (sefaham saya)

Disebabkan manifesto tersebut, dan juga kerana ideologi AKP yang 'moderately Islamist', maka rakyat mudah untuk menyokong mereka dan akhirnya membawa mereka kepada kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 2002.

Penceramah juga ada menekankan bahawa ideologi yang dibawa oleh AKP mudah difahami dan ditanggapi oleh rakyat Turki kerana budaya mereka yang gemarkan ilmu dan juga sangat mengikuti perkembangan semasa melalui berita. Disebabkan manifesto AKP (yang sebenarnya tidak semudah yang dijelaskan) yang dapat difahami oleh rakyat Turki, maka mereka mampu memenangi pilihanraya pada 2002.

Selesai kisah di Turki, penceramah bergerak kepada situasi yang berlaku di Mesir.

Di Mesir, penanda yang menyebabkan berlakunya Revolusi Mesir adalah apabila terbunuhnya seorang pemuda bernama Khalid Mohamed Saeed di tangan polis. Khaled Saeed dipukul sehingga mati kerana beliau dipercayai mempunyai video yang membuktikan salah laku polis di Mesir. Kisah kematian Saeed Khalid menjadi percikan api revolusi di Mesir apabila ia disebarkan di media dan menyebabkan semaraknya semangat revolusi di Mesir. Sejak kes ini, media sangat memainkan peranan dalam menambah marak semangat revolusi dengan menyebarkan isu-isu yang berlaku di sekitar Mesir. Antara cara mereka menyebarkan isu adalah dengan mengumpul berita melalui panggilan telefon atau sms dari kawasan yang tiada kemudahan internet dan kemudian berita-berita tersebut dimasukkan ke Twitter dan Facebook untuk disebarkan.

Di pihak Ikhwanul Muslimin (IM) pula, di Mesir, mereka semakin kurang bercakap tentang ideologi Islamisma. Slogan-slogan Islamik semakin kurang dipromosi. Sebaliknya, mereka fokus kepada membantu dalam penambahbaikkan kehidupan rakyat Mesir dari segi ekonomi, taraf kehidupan dan beberapa lagi aspek. Tindakan mereka sedikit sebanyak menyebabkan mereka mendapat sokongan dari rakyat Mesir yang semakin tersepit dengan tekanan kehidupan.

Walaubagaimanapun, golongan salafi di Mesir tidak berpuas hati dengan pendekatan IM kerana bagi mereka, IM semakin kehilangan roh Islam. Oleh itu, mereka membuat parti baru, Parti An-Nur, dan parti mereka mendapat sambutan sebanyak 20% di Mesir. Mereka juga tidak mahu berkerjasama dengan IM di dalam pilihanraya walaupun kedua-duanya berprinsip Islamik.

Alhamdulillah, IM masih mampu menang pada pilihanraya yang lalu dengan Mohamed Morsi akhirnya dilantik sebagai Presiden Mesir yang kelima selepas berlakunya revolusi.

Sebagai penutup, beberapa pengajaran dan peringatan dicungkil oleh penceramah daripada kedua-dua kisah rombakan politik di dua negara tersebut untuk dikongsi dengan pendengar. 

Antara pengajaran utama yang ditekankan oleh penceramah yang dapat kita asimilasikan di Malaysia adalah dengan perlunya kita bersyukur kepada kejayaan-kejayaan kecil yang berjaya dicapai. Untuk menunggu kemenangan yang besar di Malaysia, mungkin sudah amat meletihkan kerana perjuangan di Malaysia sudah lama. Perjuangan di Mesir dan Turki juga begitu dan juga amat memeritkan. Namun, oleh kerana mereka dapat memanfaatkan kejayaan-kejayaan kecil yang wujud, mereka boleh mengekalkan stamina dalam perjuangan mereka.

Penceramah juga menekankan bahawa politik tidak boleh berjalan berasingan dengan dakwah dan tarbiyyah. Dakwah dan tarbiyyah perlu diteruskan di samping penglibatan di dalam arena politik. Ini kerana, untuk mengundi dan memilih pemimpin yang betul, ilmu dan kefahaman yang betul perlu diberikan kepada orang ramai. Tanpa wujudnya masyarakat yang mempunyai ilmu dan kefahaman yang cukup dan betul, adalah agak mustahil untuk membentuk sebuah sistem kerajaan dan masyarakat yang baik dan sejahtera.

Pengajaran ketiga yang dpetik oleh penceramah ialah, pihak atasan gerakan atau parti perlu berbincang dan perlu membuat orang bawahan faham akan segala perkara yang diputuskan. Tanpa pemahaman yang tepat, gerak kerja akan menjadi sukar dan mengelirukan. Jika orang bawahan di dalam gerakan sendiri tidak faham, akan menjadi lebih sukar untuk orang kebanyakkan untuk memahaminya. Antara contoh pentingnya membuat orang bawahan dan orang kebanyakkan faham, adalah dengan melihat manifesto 'sekularisma' oleh AKP yang dicadang oleh Erdogan. Ia adalah konsep yang agak sukar difaham kerana makna sekularisma yang rakyat Turki faham adalah berlainan daripada 'sekularisma' yang cuba disampaikan oleh Erdogan. Namun, disebabkan kebijaksanaan orang atasan AKP dalam memahamkan orang bawahan dan rakyat Turki kepada idea tersebut, maka mereka dapat memenangi pilhanraya pada tahun 2002. 

Selain itu, penceramah juga mengingatkan bahawa cabaran tidak akan berhenti apabila pilihanraya telah dimenangi. Cabaran seterusnya adalah untuk mengisi kemenangan tersebut dengan sebaiknya. Cabaran ketika sudah menang sudah pasti akan menjadi sesuatu yang lebih getir kerana ia adalah pengalaman yang sangat baru kepada gerakan Islam di Malaysia (kerana selama ini, sentiasa berada di pihak pembangkang).

Pengajaran terakhir yang beliau berikan ialah, walaupun manifesto dan slogan  gerakan Islam mungkin akan berubah, namun penggerak perlu sentiasa berpegang kepada prinsip dan nilai asal gerakan Islam tersebut. Di samping berpegang teguh kepada prinsip, penggerak juga perlu menunjukkan kredibiliti mereka sehinggalah orang yakin untuk meletakkan amanah dan harapan kepada mereka; seperti yang ditunjukkan oleh IM dan Parti Refah dalam memenangi hati rakyat Mesir dan Turki.

Selain itu, kepada orang bawahan dan orang biasa, antara perkara penting yang boleh diambil manfaat ialah, kita perlu untuk lebih 'update' dengan isu semasa dan membudayakan semangat cintakan ilmu. Seperti rakyat Mesir yang sanggup berkongsi berita hanya melalui sms dan telefon dalam keadaan capaian kepada internet yang sukar, dan juga disebabkan budaya mereka yang responsif dengan isu-isu semasa. Maka perubahan lebih mudah terjadi di sana. Di Turki pula, budaya menonton berita dalam mencari update kepada isu semasa amat memudahkan penggerak untuk menyampaikan mesej mereka.


Begitulah sedikit sebanyak perkongsian yang diberikan oleh beliau di dalam perjumpaan tersebut.

Semoga perubahan kepada sesuatu yang jauh lebih baik dapat direalisasikan di Malaysia.

(Pengakuan: Saya bukanlah orang yang layak bercakap tentang gerakkan, politik ataupun isu Mesir, Turki dan dunia. Mungkin info-info di atas ada banyak kesilapan semasa saya mendengar di atas kurangnya pengetahunan asas saya terhadap isu-isu tersebut. Namun, diharap sang pembaca dapat menutup sebelah mata di atas segala kekurangan saya. Apa yang bermanfaat, harap diambil dan apa yang kurang, harap ditola dulu ke tepi.)

Wednesday, July 25, 2012

Surau Kami, Taman Permainan Kami

Ramadhan 1997

Surau An-Nur, Taman Kantan Permai yang baru

Masih ada 30 minit sebelum masuk waktu Subuh ketika saya menyudahkan sajian sahur pagi itu. 30 minit itu, saya gunakan untuk mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Ramadhan tahun itu jatuh pada hari sekolah, maka, selepas sahur, tiada ruang untuk kami tidur-tidur seperti tahun sebelumnya.

Ketika azan Subuh berkumandang, saya berjalan menempuhi hening pagi untuk ke surau Taman Kantan Permai yang letaknya selang 4 buah rumah dari rumah kami. Hari itu, surau penuh luar biasa memandangkan ramai yang mengambil kesempatan untuk berjemaah Subuh di surau, alang-alang sudah terbangun untuk sahur.

Kebiasaannya, subuh di surau kami hanya dihadiri oleh lingkungan 20 orang. Tetapi hari itu, surau penuh sehingga saf belakang. Saf belakang yang selalunya dibentuk oleh barisan kanak-kanak seperti saya, pagi itu dipenuhi oleh pakcik-pakcik yang kurang saya kenal.

Usai solat, saya terus menuju ke perhentian bas untuk ke sekolah.

Pulangnya saya dari sekolah, rutinnya, saya langsung menuju ke surau untuk bersolat Zohor. Waktu Zohor biasanya masuk betul-betul ketika saya turun dari bas sekolah. Dengan pakaian sekolah yang masih bersarung dan beg yang masih bergalas, saya ke surau untuk bersolat jemaah bersama beberapa orang pakcik, pakcik posmen dan kawan-kawan lain, dengan Pak Yusop selaku imam.

Habis sahaja solat, saya akan berehat-rehat dahulu di serambi surau sambil memerhati gunung di hujung Taman Kantan Permai yang dihiasi oleh awan-awan yang bertompok-tompok di langit biru. Udara tengahari di taman itu mendamaikan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja terlena dipuput bayu halus.

Kadang-kala di waktu cuti, saya akan mencari peluang untuk berbaring dan tidur di surau kerana surau itu redup, tenang, dan nyaman dan sangat kondusif untuk dijadikan tempat tidur ketika cuaca di luar terik dek sinaran matahari Zohor.

Selepas puas mengelamun di serambi, saya menyarung sepatu dan berjalan menuju ke pagar surau untuk pulang ke rumah. Ketika memijak simen di laman surau, saya boleh perhati ada beberapa kawasan yang berlubang-lubang 'hasil tangan' kami ketika bermain gasing di situ. Di laman simen itulah, tempat saya dan kawan-kawan berlatih bermain gasing. Pernah beberapa kali kami ditengking dan dimarah oleh pakcik-pakcik surau kerana merosakkan harta benda surau, namun kami buat degil dan tetap bermain di situ sehingga berlubang-lubang simen tersebut kami kerjakan.

Sambil berjalan menuju ke rumah, saya dapat melihat ruangan membasuh pinggan surau kami. Di situ, tempat saya akan bekerja membasuh pinggan dan cawan pada waktu malam nanti. Saya sudah berjanji dengan Pakcik Ghazali untuk membasuh pinggan dan cawan selepas moreh setiap malam di sepanjang bulan Ramadhan tahun itu. Pakcik Ghazali pula berjanji untuk memberi upah sebanyak RM300 jika saya boleh menyiapkan tugasan seperti yang saya janjikan. Setakat malam tadi, saya masih mampu membuat tugasan tersebut tanpa ada sebarang masalah.

Petang itu, saya hanya berehat di rumah menunggu buka dan hanya keluar untuk bersolat Asar di surau.

Selesai berbuka dengan ala kadar, saya terus mudik ke surau untuk bersolat Maghrib. Maghrib bulan Ramadhan biasanya lebih kosong berbanding hari biasa. Terbalik dengan waktu Subuh. Namun, untuk saya, sedaya upaya saya mencuba untuk bersolat di surau. Sesekali, jika saya sampai awal ke surau, saya akan menyertai jemaah surau berbuka. Tapi kebiasaannya, saya lebih selesa berbuka di rumah sambil menonton TV.

Selepas solat Maghrib, saya pulang dan akan makan sepuas hati di rumah.

Sambil menunggu waktu Isyak, sering saya dan adik berlegar-legar di sekeliling Taman Kantan Permai, mencari lokasi yang sesuai untuk bermain mercun. Hanya apabila azan dilaungkan, baru kami bergegas menuju ke surau untuk bersolat Isyak dan bertarawikh bersama jemaah surau.

Tarawikh pula, jarang kami tunggu sehingga tamat 20 rakaat. 8 rakaat sudah cukup banyak untuk kami. Selepas 8 rakaat, kami akan berdesup keluar, bermain mercun dengan rakan-rakan lain di sekitar surau. Pernah sekali, ketika kami asyik bermain mercun 'Thunderclap', botol yng memegang 'Thunderclap' jatuh dan menyebabkan mercun tersebut terbang mendatar menuju masuk ke surau. Ahli surau menjerit keluar dari surau sambil mengejar kami yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk berlaku waktu itu.

Habis sahaja solat witir, kami akan menuju kembali ke surau untuk menikmati moreh yang disediakan oleh wakil-wakil dari setiap jalan. Pakcik-pakcik surau pula, seperti tidak kisah dengan kehadiran kami yang hanya bersolat 8 rakaat dan hanya kembali ke surau untuk makan.

Tamat moreh, saya akan ke belakang surau, "bermain" di kawasan membasuh pinggan membersihkan pinggan dan cawan-cawan yang digunakan untuk moreh tadi.

Selesai tugasan disiapkan, saya pulang ke rumah untuk berehat bagi menyambung rutin yang hampir serupa pada keesokkan harinya; sehinggalah ke penghujung Ramadhan.

Bulan Ramadhan di Surau Taman Kantan Permai sentiasa meriah. Walaupun suraunya tidaklah semewah dan secantik surau lain, tapi itulah tempat bertumpunya penduduk Taman Kantan Permai. Di situlah tempat kami, kanak-kanak Taman Kantan Permai, bermain sambil pakcik-pakcik surau menjadi pengawas kami. Di situlah juga kami belajar erti berjemaah, erti berkawan dan erti hidup berjiran.

Walaupun kini surau itu diruntuhkan dan diganti dengan surau yang lebih besar di kawasan lain, namun suasananya tidak dapat menggantikan suasana ketika di surau lama.

Semoga memori di surau tersebut dapat disambung di Surau An-Nur Taman Kantan Permai yang baru yang dihadiri oleh ahli Taman Kantan Permai yang baru.

Monday, July 9, 2012

Arumugam

Tahun 1995



Pelajar-pelajar lain sudah pun berada di dalam barisan di luar kelas 1 Ros ketika Arumugam dengan perlahan-lahan berjalan menuju ke blok kelas kami di bawah sinar terik matahari. Arumugam tenang berjalan seperti tiada apa yang perlu dirisaukan sedangkan pelajar lain sudah bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran.

Saya, salah seorang pelajar yang berada di dalam barisan, leka memerhatikan Arumugam yang tadinya sayup-sayup kelihatan, tetapi kelibatnya menjadi semakin jelas apabila dia semakin dekat dengan bangunan kelas. Kelas kami yang berada di tingkat 3 menyebabkan saya boleh memerhati pergerakan Arumugam yang datang nun dari hujung padang sekolah.

Selesai beratur dan membaca doa, kami masuk ke kelas dan duduk di meja masing-masing.

Hanya apabila kami sudah duduk di meja baru Arumugam tiba di pintu kelas. Sebelum dia diizinkan untuk duduk, Cikgu memukul tapak tangannya dengan pembaris sebagai hukuman kerana hadir ke kelas lewat.

Arumugam seperti tidak berapa kisah dimarah dan dipikul oleh Cikgu. Selepas dihukum, dia duduk di mejanya seperti pasrah dengan apa yang dilakukan ke atasnya.

Selepas bertukar subjek dan guru beberapa kali, waktu rehat akhirnya tiba.

Pelajar-pelajar lain berlumba-lemba ke kantin untuk berada di barisan hadapan untuk membeli makanan di kaunter. Jika terlewat, alamatnya mungkin tidak sempat untuk makan memandangkan waktu rehat hanyalah 20 minit sedangkan ada beratus pelajar yang akan beratur di 2 kaunter kantin.

Arumugam, tenang seperti biasa, tidak terkejar-kejar ke kantin dan dia berjalan turun ke tingkat bawah. Saya perhatikan gelagat Arumugam dari belakang. Saya juga ingin ke kantin tetapi memandangkan Mak sudah menyediakan bekal roti benjo (makanan kegemaran), maka saya tidak perlu terkejar-kejar untuk beratur seperti pelajar lain.

Apabila sampai di bawah, Arumugam tidak ke kantin, tetapi beliau menuju ke padang sekolah. Saya mengambil keputusan untuk mengekorinya.

Ketika dia sedang berjalan di atas padang, saya menjerit dari belakang Arumugam,

"Arumugam! Kau nak pergi mana?"

Arumugam menoleh ke belakang dengan muka terkejut. Mungkin dia risau andai ada orang yang ingin menangkapnya dan mengadu kepada cikgu kerana dia ingin keluar dari perkarangan sekolah pada waktu sekolah. aApabila dia tahu yang bertanya itu adalah saya, dia menjawab, "Balik rumah!" dan terus berjalan.

Saya masih mengekori tetapi saya berlari-lari sedikit untuk mengejarnya sambil tangan saya memegang Tupperware berisi benjo dan botol air.

"Rumah kau kat mana?" tanya saya apabila saya berada betul-betul di sebelahnya.

"Kat belakang padang je. Rumah 2 tingkat." sambil jarinya menunjukkan deretan rumah 2 tingkat separuh siap yang betul-betul berada di luar pagar kecil di hujung padang. Deretan rumah tersebut agak menyeramkan. Rumahnya tidak berpagar. Semak-samun dan pokok-pokok renek merimbun di celahan rumah-rumah tersebut. Agak seram jika dilhat sekali imbas.

Apabila tiba di pagar, Arumugam keluar. Saya berhenti. Tidak berani untuk mengekorinya keluar dari kawasan sekolah pada waktu sekolah. Takut Cikgu marah. Arumugam pula, terus berjalan menuju ke salah sebuah rumah tersebut seperti tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Saya berpatah balik ke bangunan kelas dengan harapan Arumugam akan balik ke kelas selepas habis waktu rehat.

Malangnya, dia tidak muncul selepas habis waktu rehat.

Saya perasan, Arumugam kadang-kala akan hilang selepas waktu rehat. Kadang-kala, dia akan menunggu sehingga tamat sesi sekolah.

Saya juga perasan, Arumugam tidak seperti pelajar yang lain.

Saya merasakan diri saya agak sama dengan Arumugam. Arumugam juga merasa begitu. Maka, kami agak rapat di dalam kelas walaupun dia pelajar India dan saya pelajar Melayu. Ada pelajar Melayu dan India yang lain di dalam kelas, tetapi saya lebih selesa berborak dengan Arumugam. Arumugam juga begitu.

Kami boleh mesra kerana kami adalah dua pelajar yang masih tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Maka, kawan-kawan sering memperolokkan kami. Kami faham perasaan diperolokkan dan diasingkan.

Mana kan tidak, kawan-kawan lain semuanya ke tadika dan sudah boleh membaca sejak di tadika. Saya pula, hanya mengenal huruf hanya apabila saya masuk ke sekolah. Maka, saya lebih lembab dari kawan-kawan yang lain.

Arumugam, olokkannya lebih dahsyat dari saya.

Kawan-kawan sering mengatakannya cacat kerana jari-jari Arumugam ada yang bercantum dan berbentuk pelik. Dia juga agak selekeh dengan kasut yang besar dan berlumpur dengan baju seragam sekolah yang kusam dan tidak kemas. Maka kawan-kawan lain sukar untuk berasa selesa dengannya.

Saya pula, tidak kisah dengan penampilannya. Kerana saya tahu, kasutnya selalu berlumpur kerana hari-hari dia akan meredah padang sekolah untuk ke kelas dan pulang ke rumah. Dengan padang yang sentiasa berlopak, memang sukar unruk menjaga kebersihan kasut. Kasutnya juga besar kerana Arumugam berkongsi kasut dengan abangnya. Abangnya bersekolah sesi pagi, dia bersekolah sesi petang. Maka mereka akan bergilir menggunakan kasut tersebut. Hanya apabila abangnya pulang, baru dia dapat menggunakan kasut. Maka, dia selalu masuk ke kelas lewat. Dia juga berjalan perlahan kerana kasut yang bersaiz besar tersebut mengganggu pergerakkannya. Jika dia berjalan laju sedikit, kasut tersebtu akan tanggal dari kaki. Bajunya juga dikongsi dengan abangnya. Maka, bajunya lebih lusuh dari baju pelajar lain kerana baju itu sudah lama dan dipakai pula oleh 2 orang.

Untuk jari-jari Arumugam pula, saya tidak mempunyai komen. Tapi jika ada peluang, saya suka memerhatikannya. Lain dari yang lain!

Malangnya, pelajar-pelajar lain tidak tahu apa yang berlaku pada dirinya. Mereka lebih selesa untuk terus memulau dan mengejeknya. Saya pula, kebetulan boleh rapat dengannya, maka saya mempunyai kesempatan untuk tahu situasinya yang sebenar. Untuk mengejeknya dan memulaukannya, adalah sesuatu yang amat zalim untuk diperlakukan ke atasnya (bagi saya). Kemungkinan besar, Cikgu juga tidak tahu. Sebab itu Cikgu menghukumnya tanpa rasa bersalah. (Arumugam juga tidak membuat penjelasan dan hanya menerima dengan redha).

Masuk ke darjah 2, saya sudah tidak melihat kelibat Arumugam di sekolah. Tetapi sekali-sekala saya akan ke hujung padang sekolah dan memerhatikan rumahnya. Saya boleh lihat adiknya bermain-main di luar rumah walaupun kelibatnya tidak kelihatan.

Saya tahu, dia tidak masuk ke darjah 2 kerana dia tidak mampu membayar yuran. Masa darjah 1, saya tahu dia beberapa kali dipanggil oleh guru kelas untuk melunaskan yuran sekolah, namun dia hanya terdiam di meja guru apabila soalan itu diaju untuk ke berapa kalinya. Mungkin yuran darjah 1 juga tidak mampu dibayarnya.

Darjah 2, naik ke darjah 3, masuk ke darjah 4, dan seterusnya, Arumugam masih tiada di sekolah dan saya semakin melupakannya.

Sejak darjah 2, saya terputus hubungan dengan Arumugam dan saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya selepas itu.

Arumugam.

Thursday, June 14, 2012

Mereka kata "Duit Bukanlah Segalanya"

Ramadan 1996


Petang itu, saya duduk-duduk di ruang tamu, sambil melihat Mak menjahit langsir yang ditempah oleh pelanggan. Selain bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, Mak juga mengambil upah menjahit di rumah. Emak lebih mahir menjahit pakaian wanita, seperti baju kurung, blouse dan kebaya, tetapi sesekali ada juga yang menempah langsir dan benda-benda lain.

Seronok melihat aksi beliau yang lincah bergerak, bermain dengan alatan-alatan menjahit. Selepas menebar kain langsir di atas lantai ruang tamu, pembaris L dicapai (pembaris yang biasa digunakan oleh tukang jahit) untuk membuat ukuran. Tangan kiri pula tersepit kapur jahit untuk menanda bahagian yang sudah diukur. Selesai membuat ukuran, gunting pula melekat di tangan dan emak menggunting dengan laju; menujukkan beliau sudah biasa dengan tugas tersebut dan setiap langkah dibuat tanpa perlu difikir dua kali.

Sambil menjahit, Mak yang perasan saya sedang duduk memerhati beliau 'bekerja', memulakan perbualan untuk menghiburkan diri saya dan juga beliau; yang seperti sudah bosan dengan rutin menjahit. Memang tabiat Mak, sambil-sambil membuat kerja, beliau akan berborak dengan sesiapa sahaja yang ada di sekitar beliau.

Saya mendengar bualan Mak, yang lebih kepada leteran, sambil mata saya tetap terpacak pada pergerakan tangan beliau. Laju dan lancar.

"Makcik Nora (bukan nama sebenar) ni kejam betul. Suruh Mak jahit langsir untuk satu rumah! Mak bukannya ada masa sangat nak jahit langsir besar-besar ni. Kain yang dia bagi sudahlah susah nak dijahit, bagi masa 2 minggu sahaja. Sekarang ni musim orang nak raya, jahitan Mak banyak lagi. Marah orang nanti bila tau baju dia orang tak siap. Tetapi sebab jahit langsir boleh dapat duit lebih, terpaksa juga mak buat. Kalau tak buat nanti, tak ada duit la kita nak raya"

Memang benar kata Mak. Jahitan untuk musim raya biasanya luar biasa banyak. Boleh dilihat dengan berlambaknya bungkusan-bungkusan kain yang belum berusik di dalam bilik jahitan Mak. Saya tidak pasti sama ada Mak sempat menyiapkan semua sekali atau tidak. Tapi saya tahu, Mak akan mencuba sehabis boleh untuk menyiapkannya dan setiap masa terluang beliau akan ditemani oleh helaian-helaian kain.

Untuk langsir Makcik Nora, Mak beritahu yang beliau tetapkan RM1,000 untuk harga upah jahitan memandangkan kerjanya banyak dan leceh.

Dalam hati saya saya berbisik "Wow! RM1,000! Boleh beli 3 basikal. Boleh makan KFC hari-hari. Boleh beli itu. Boleh beli ini." Perkiraan seorang budak darjah 2.

Mak pula ada perkiraan lain. Mak cakap, bila beliau dapat upah itu, beliau nak beli kain untuk buat baju raya kami. Mak juga nak buat langsir baru memandangkan langsir rumah yang berwarna hijau sudah sangat uzur dan berkulat. Ada lebihan, Mak nak beli kain untuk buat sarung kerusi yang baru. Barang-barang untuk membuat kuih dan hidangan raya jga akan menggunakan duit itu. Kalau masih ada baki, Mak nak simpan untuk kegunaan persekolahan kami tahun hadapan.

Saya yang mendengar hanya mampu mendengar.

"Tak dapat la nak minta belikan basikal baru".

2 minggu seterusnya adalah dua minggu yang sangat sibuk untuk Mak. Rutin jahitan beliau akan bermula seawal waktu sahur. Selesai sahaja bersahur, Mak akan terus duduk di lantai, menanda dan memotong kain. Mak akan berhenti apabila azan subuh berkumandang untuk bersolat. Selesai solat, tugasan sebagai suri rumah beliau pula perlu dipenuhi; seperti membasuh baju, mengemas rumah, menyapu dan lain-lain tugas. Selesai tugas suri rumah, tugas tukang jahit akan disambung. Jika tidak di mesin jahit mencantum lembaran-lembaran kain, Mak akan berada di atas lantai memotong kain. Malam pula, jika tidak di tikar sejadah bersolat tarawikh, tangan Mak pasti akan memegang kain. Jika larat, Mak akan menyambung menjahit di mesin sehingga pukul 3 pagi sebelum ke dapur untuk menyediakan sahur. Ketika saya tidur, bunyi kayuhan mesin jahit Mak masih boleh didengari.


Setelah dua minggu berlalu, Makcik Nora datang ke rumah kami seperti yang kami jangkakan. Mak sudah bersedia di pintu rumah dengan beg-beg plastik besar yang berisi langsir. Mak kelihatan tidak sabar untuk menerima habuan beliau.

Selesai beg-beg plastik diangkat ke dalam kereta Makcik Nora, dia pun mengeluarkan wang untuk membayar upah jahitan Mak.

RM40 sampai ke tangan Mak.

Mak tercengang seketika seperti tidak percaya.

"RM40? Harga upah langsir tu RM1,000 macam aku cakap hari tu. Mana bayaran lebih?" kata Mak.

"RM40 cukup la. Bukan susah pun nak buat langsir. Kawan-kawan punya harga, bagi la murah sikit. Aku nak kena cepat ni. Apa-apa hal nanti aku jumpa kau lagi" jawab Makcik Nora.

Makcik Nora terus masuk ke dalam kereta dan meluncur ke jalanraya lalu lesap dari pandangan.

Mak masih tercengang di hadapan pintu seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Usaha dua minggu beliau, harapan beliau untuk menukar langsir, harapan beliau untuk membeli kain untuk menjahit baju raya kami, harapan beliau untuk sarung kerusi baru, dan juga persediaan sekolah kami. Semuanya ranap secara tiba-tiba.

Bukannya mudah untuk mendapatkan RM1,000. RM1,000, bukannya harga yang Mak buat-buat. Itu harga yang telah dijanjikan. Harga itu jauh lebih murah jika dibandungkan dengan kedai-kedai lain yang menjahit langsir. RM1,000 itu adalah harga dua minggu emak bertungkus lumus dalam penat beliau menjaga 6 orang anak.

RM1,000 kini hanya tinggal RM40.

Saya yang berada di belakang Mak tidak faham apa-apa dan hanya memerhati.

Dan raya hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Mak mampu untuk mengumpul duit lain hasil dari jahitan yang lain.

Tahun itu, raya kami menjadi lebih sederhana dari biasa. Tanpa baju baru, tanpa makanan istimewa, dan sudah tentu, tanpa dapat berjumpa dengan saudara mara di kampung.


**************************************************************************

Setelah lebih 10 tahun berlalu, Mak menceritakan semula kisah itu kepada saya. Dai cerita Mak, jelas menunjukkan yangMak masih berdendam dengan Makcik Nora atas apa yang berlaku.

Seperti tidak percaya diperlakukan sezalim itu.



(Artikel ini ditulis pada 15 Jun 2012 apabila saya membaca kisah PM Najib menghabiskan RM3 juta hanya untuk lawatan ke 3 tempat. Pembaziran yang sangat melampau. Saya sebagai seorang rakyat yang sangat-sangat menghargai nilai duit rasa sangat tercabar apabila seorang 'pemimpin' menggunakan wang sewenang-wenangnya. Kalaulah dia tahu peritnya seorang rakyat mencari sesuap nasi.)

Wednesday, June 13, 2012

Baju Terbuang Untuk Jiran Dari Seberang



22 April 2012

Hari sudah mulai gelap dengan cahaya kemerah-merahan memancar di ufuk barat ketika saya memasuki kereta petang itu. Peluh di badan masih belum kering hasil dari memunggah barang-barang pejabat naik ke tingkat dua.

Penat, badan berbau hamis dan azan Maghrib pula akan dilaungkan sekitar 10 minit lagi.

Terasa ingin pulang ke rumah sewa telebih dahulu, membersih dan menyegarkan diri, dan bersolat maghrib di surau berhampiran sebelum pulang ke Kajang. Tetapi saya sudah berjanji dengan Mak untuk berada Kajang sebelum pukul 8 malam. Kalau saya mandi dulu, saya mungkin akan sampai ke rumah sekitar pukul 9 malam. Dan Mak akan bising.

Tambahan pula, malam itu saya berjanji untuk membawa Mak ke rumah Makcik saudara di Keramat. Kalau pukul 9 sampai rumah, kemudian perlu ke Keramat dan perlu berpatah balik ke Kajang, tak tahu pukul berapa saya akan balik ke Bangi, ke rumah sewa saya.

Fikir punya fikir, saya mengambil keputusan untuk terus sahaja memandu pulang ke Kajang. Walaupun badan berasa sangat tidak selesa dengan peluh yang masih basah dan menyebabkan baju melekat-lekat di atas kerusi kereta, saya tegapkan juga tangan untuk mengawal stereng. Harapnya, sempat untuk saya mandi di rumah Kajang nanti sebelum bergerak ke rumah Makcik.

Alhamdulillah, saya sempat tiba ketika azan Maghrib berkumandang di surau berhampiran rumah. Sempat juga untuk berhenti solat di surau sebelum tiba di rumah.

Selesai sahaja Mak bersolat Maghrib dan bersiap, dan saya juga lengkap dengan persalinan baru, kami masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan ke Keramat. Adik-adik lain tidak mahu ikut sama, Abah juga nak tinggal di rumah untuk menonton TV. Maka hanya saya dan Mak di dalam kereta pada malam itu.

Kami tiba di rumah Makcik sekitar pukul 9 malam. Makcik sudah sedia menunggu di rumah dengan bancuhan kopi susu dan sepinggan biskut di atas meja. Saya menjamah biskut tersebut bagaikan budak yang mendapat coklat, tanpa berasa segan silu, memandangkan perut sudah beberapa jam kosong tidak berisi dek kesuntukan masa dan terkejar-kejar ke sana ke mari.

Sambil Mak berborak-borak dengan Makcik, Makcik keluar masuk dari bilik beliau sambil membawa beberapa guni berisi pakaian-pakaian terbuang yang beliau terima dari kawan-kawan beliau.

Mak, selaku tukang jahit berpengalaman, membelek-belek baju-baju di dalam guni tersebut sambil mengasingkan baju yang masih boleh diguna dan baju yang hanya layak berada di bawah kaki atau di dalam tong sampah.

Saya pula, hanya memerhati tanpa minat memandangkan kebanyakkannya adalah baju-baju terpakai dan baju perempuan.

Mak tekun mengasingkan baju-baju tersebut.

Mak mengumpul baju-baju terbuang bukannya untuk kegunaan beliau atau ahli keluarga kami, tetapi untuk 'saudara'nya yang datang dari seberang.

Di rumah, saya tahu Mak berkawan dengan ramai orang Indonesia. Dari pembantu-pembantu rumah hinggalah kepada pembantu restoran di deretan kedai belakang rumah. Satu perkara yang menyebabkan saya berasa kagum dengan Mak, kerana beliau boleh membuat kawan tanpa mengenal bangsa, asal usul atau latar belakang. India, Cina, Indonesia, Datin, orang dari Jabatan Kebajikan... Semua Mak jadikan kawan. Semua mak jemput datang ke rumah kami yang tidak seberapa.

Mak juga selalu berusaha untuk membantu orang yang lebih susah dari beliau. Mak bukanlah orang senang. Walaupun makanan di rumah pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada, tapi Mak sentiasa mencari jalan untuk membantu orang lain.

Mengumpul baju-baju terpakai adalah salah satu usaha Mak untuk membantu rakan-rakannya. Mak tahu, orang-orang Indonesia yang bekerja di sini adalah orang-orang susah.

Sambil Mak memilih baju, Mak bercerita tentang kesusahan pekerja restoran Indonesia di kedai belakang rumah. Saya dan Makcik hanya mendengar.

"Kau tau tak Midah (nama Makcik), diorang tu, orang Madura. Nak masak air pun, sampai kena kutip daun kering dari pokok jiran. Buat unggun api. Kadang-kadang sampai jiran marah sebab diorang pun nak guna daun kering tu. Kalau bela ayam, tak sempat anak ayam nak besar, telurnya semua kena curi. Lepas tu, dah lah kena merantau sampai Malaysia nak cari duit. Tapi bila diorang hantar balik Madura sana, orang kampung fitnah diorang jual badan kat sini. Orang kampung diorang tak tau diorang mula kerja pukul 4 pagi, tutup kedai pukul 12 malam. Separuh mati kerja tapi gaji RM25 sehari. Sebulan dapat dalam RM800 je. Yang kelakar, ada yang beli tong gas kat sana, tapi jadi perhiasan sebab sayang nak guna" bebel Mak.

Kami tekun mendengar.

Bila mendengar penjelasan Mak, saya semakin faham kenapa Mak beriya nak menolong mereka.

Mak juga memberitahu, yang mereka sangat gembira bila Mak memberi mereka baju-baju terpakai kami adik-beradik. Sebab tengok mereka gembira dengan pemberian Mak, Mak berusaha mencari baju-baju terpakai yang lain. Namun, urusan Mak banyak dipermudahkan kerana beliau adalah seorang tukang jahit yang punya ramai kenalan.

Selepas Mak puas berbual dengan Makcik, kami minta izin untuk beransur. Saya menolong Mak dengan membawa guni-guni baju tersebut; memandangkan Mak sudah semakin lemah dek mamahan usia.

Kami  pulang dengan kereta dipenuhi guni baju.

Malam itu, saya belajar sesuatu daripada Mak.

Kalau nak bersedekah, tak semestinya perlukan duit. Beliau boleh bersedekah dalam keadaan beliau sendiri hidup dalam kepayahan.

Saya berdoa agar setiap usaha beliau diberi ganjaran berlipat kali ganda oleh Sang Maha Pembalas Kebaikan.

Saturday, May 26, 2012

Kelas Tuisyen Cikgu Rosmini

Mei 2000

Vrooom... Vrooom....

Enjin motor terus mengaum ketika saya melintas untuk ke sekian kalinya di depan rumah Cikgu Rosmini.

Rumahnya terletak di hujung deretan di salah sebuah jalan di Taman Jenaris. Bentuknya biasa sahaja tetapi lamannya luas. Sekitar perkarangan rumah Cikgu kelihatan sunyi namun saya tahu dalamnya tak begitu. Dari cahaya yang terlepas dari langsir tingkap, boleh dilihat adanya manusia-manusia di dalam rumah Cikgu waktu itu.

Saya terus memerhati rumah Cikgu sambil memandu di atas jalan yang berwarna oren yang disimbahi lampu-lampu jalan.

Kalau dicantum pusingan-pusingan yang sudah saya buat mengelilingi rumah Cikgu Rosmini pada malam itu, dan dibuat garis lurus dari rumah Cikgu Rosmini ke selatan Semenanjung, mungkin sudah boleh sampai ke Seremban.

Secara jujur, agak membosankan berputar-putar di lokasi yang sama, tapi tangan seperti tidak mahu melepaskan 'throttle'. Hati berasa tidak tenteram. Sangat teringin rasanya melihat suasana di dalam rumah Cikgu Rosmini. Tapi apakan daya. Saya bukan sebahagian dari mereka. Dapat tengok dari luar pun cukuplah.

Pada masa yang sama, hati saya berasa kecut. Kecut untuk pulang ke rumah. Kerana saya sudah beritahu Mak yang saya akan pulang selepas solat Maghrib, tapi hampir waktu Isyak, saya masih berlegar-legar di atas jalan. Jika saya pulang sekarang, silap-silap akan dibebel atau diketuk dengan pembaris jahit. Lebih selamat jika saya pulang selepas Isyak. Ada juga alasan yang boleh dibuat; saya boleh kata saya menunggu waktu Isyak.

Beberapa minit kemudian, azan Isyak berkumandang. Saya bergerak ke surau yang berdekatan, solat, dan terus pulang ke rumah.

Syukur, Mak tidak bising ketika saya masuk dan tidak juga bertanya apa-apa. Terlepas dari pembaris dan juga bebelan. Abah, seperti biasa, sedang duduk-duduk di hadapan TV. Adik-beradik yang lain juga ada di ruang tamu meneman Abah.

Saya yang tidak berapa berminat menonton TV terus ke bilik depan dan mengehmpaskan diri ke atas katil Terbayang-bayang situasi di dalam kelas tuisyen Cikgu Rosmini. Teringat wajah beliau ketika mengajar kami di kelas. Mungkin gaya wajah yang sama digunakan ketika beliau mengajar kelas tuisyen beliau. Terbayang kelibat Fazly, Helmi, Azwan, Fazrin, Ayu, Ain, Khai dan rakan sekelas yang lain yang hadir ke dalam tuisyen tersebut.

Terbayang juga betapa banyaknya ilmu yang akan mereka dapat dari tuisyen tersebut sedangkan saya hanya mampu terbaring di atas katil, berangan-angan dapat menyertai mereka. Tapi agak mustahil. Hendak menyertai tuisyen perlu membayar yuran. Kalau minta kepada Mak dan Abah yang saya mahu ber-tuisyen, kemungkinan besar jawapan mereka sudah boleh diagak:

"Mana nak cari duit?"

Lebih baik tidak bertanya.

Saya capai buku teks di bawah katil dan menyelak beberapa helaian dengan harapan dapat menghilangkan rasa tidak puas hati kerana tidak dapat ber-tuisyen. Malangnya, tiada apa-apa yang betu-betul melekat di dalam kepala.

Tanpa sedar, saya tertidur dan hanya terbangun apabila Abah mengejut saya untuk ke sekolah.

**************************************************************

Ketika waktu rehat di sekolah, saya melepak-lepak di depan kelas bersama Fazly, Shakir dan rakan sekelas yang lain.

Ketika kami berbual, Fazly bertanya kepada saya "Malam semalam, kau ada lepak depan rumah Cikgu Ros ke?"

"Mana kau tahu?" jawab saya. "Alamak, rupanya ada juga yang perasan saya menghendap."

"Cikgu Ros nampak. Cikgu tanya kami, malam-malam memang kau selalu merayau naik motor ke. Aku jawab je 'ya' sebab aku tau kau bukan buat apa pun malam-malam. Cikgu Ros ajak kau join tuisyen dia. Dia kata, untuk kau, dia bagi free. Daripada kau merayau-rayau waktu malam, baik kau duduk kat rumah dia, belajar." kata Fazly

Saya tidak tahu apa yang saya rasa waktu itu. Malu, gembira (kerana ada peluang dapat ber-tuisyen), terhina, tercabar, sedih. Bagaimanapun, yang saya pasti, rasa gembira lebih kuat kerana akhirnya saya ada pelang untuk ber-tuisyen walaupun saya pergi atas ihsan orang.

Malam itu, saya beranikan untuk ke rumah Cikgu Rosmini. Tetapi, pada petang itu, saya menawarkan diri kepada Fazly untuk mengambil dia di rumah dan bergerak bersama ke rumah Cikgu Rosmini. Agar saya berteman dan hilang sedikit rasa kekok untuk ber-tuisyen secara percuma.

Di rumah Cikgu Ros, beliau menyuruh saya ke meja besar yang terletak di ruang tamu. Di aatasnya ada bakul berisi buku-buku latihan yang sudah pun dijawab oleh pelajar lain. Belau mengizinkan saya mengguna buku-buku latihan tersebut untuk membuat latihan walaupun jawapannya sudah ada di setiap soalan.

Saya ambil satu buku, buku Matematik dan saya duduk bersila di hadapan beliau bersama rakan-rakan lain. Dan kami memulakna sesi tuisyen pada malam itu.

Tepat pukul 10 malam, kami diizinkan pulang.

Di atas motor ketika mahu pulang ke rumah, walaupun sesi tuisyen sudah tamat, perasaan gembira saya maih belum surut. Masih gembira kerana akhirnya saya ada peluang untuk merasai sesi bertuisyen macam pelajar lain.

Motor saya terus menderum memasuk jalan ke Taman Kantan Permai yang sunyi dikelilingi pokok-pokok getah di kiri kanan jalan.

Anak Awak Tak Boleh ke Mana.

13 mei 2001

Tahun itu, saya berada di Tingkatan 1. Sudah lebih sebulan saya tidak ke sekolah apabila saya membuat keputusan untuk tidak mahu kembali ke sebuah sekolah saya di Seremban. Sudah sebulan sebulan saya hanya duduk di rumah, memerhati gelagat pelajar lain ke sekolah setiap pagi, membantu Mak membasuh baju, dan tidak berbuat apa-apa.

Hampir setiap hari Mak mendesak untuk saya kembali bersekolah, namun saya buat tidak mengerti. Saya bulat hati untuk tidak mahu kembali ke sekolah asrama di Seremban tersebut. Saya mahu Mak dan Abah menukar saya ke sekolah harian biasa. Dugaan di sekolah asrama tersebut di luar tanggungan saya.

Akhirnya Mak dan Abah akur dengan permintaan tersebut.

Petang itu, saya mengikut Mak, membonceng motorsikal, menuju ke sekolah menengah harian yang berdekatan dengan rumah untuk mendaftar. Pada waktu itu, sekolah tersebut masih baru dan masih belum mempunyai bangunan sendiri. Sekolah menengah tersebut terpaksa berkongsi bangunan dengan sebuah sekolah rendah. Paginya digunakan oleh sekolah rendah dan petangnya diguna oleh sekolah menengah.

Kami masuk ke perkarangan sekolah dan terus menuju ke bilik guru. Mak bertanya kepada seorang guru di dalam bilik tersebut cara untuk mendaftarkan saya ke sekolah tersebut dan di mana urusan boleh dibuat.  Cikgu tersebut meminta kami ke pejabat dan berjumpa dengan Pengetua.

Saya hanya mengekori Mak di belakang, diam dan membatu seperti seorang budak yang tidak berminat dengan apa-apa yang sedang berlaku.

Kami bernasib baik kerana Pengetua masih berada di dalam biliknya ketika kami tiba kerana kerani mengatakan beliau akan keluar sebentar lagi atas sesuatu urusan.

Di bilik Pengetua, Mak menceritakan kepada beliau mengenai situasi saya dari awal sehingga habis. Bagaimana saya lari dari asrama, tidak berminat untuk belajar dan akhirnya langsung tidak ke sekolah sehingga sekarang. Pengetua tersebut setia mendengar.

Saya pula, masih diam, duduk membisu di sebelah Mak.

Habis sahaja Mak dan Guru Besar berbincang, beliau bersetuju untuk menerima saya sebagai salah seorang pelajar beliau.

Beliau membawa kami ke kelas yang akan saya duduki. Ketika kami tiba, pelajar-pelajar lain sedang menduduki peperiksaan pertengahan tahun mereka.

Pengetua tersebut meminta saya menyertai pelaajr kelas tersebut, menduduki peperiksaan dan mengambil tempat duduk di sebuah kerusi kosong di hadapan kelas.

Saya menolak permintaan tersebut kerana ketika itu saya hanya berbaju biasa tanpa uniform sekolah dan dalam keadaan tidak bersedia untuk apa-apa ujian. Bagaimanapun, beliau masih mendesak untuk saya turut serta mengambil peperiksaan tersebut. Mak juga mendesak.

Saya berasa serba salah.

Namun saya kuatkan hati untuk menolaknya kerana saya merasakan sangat tidak sesuai untuk tiba-tiba masuk kelas yang pelajarnya sedang tekun dengan peperiksaan. Risau mengganggu pelajar lain dan risau tidak mampu menjawab peperiksaan tersebut.

Pengetua yang semakin tidak tahan dengan sikap saya yang masih berdegil dan berkeras tiba-tiba bersuara, "Anak awak ni, saya tak yakin dia tak akan ke mana-mana."

Saya tersentak seketika mendengar konklusi beliau. Mak juga terdiam sama.

Sekali fikir, terasa menggelegak darah muda saya ketika itu merasakan diri direndahkan sedemikian rupa. Dua kali fikir, saya merasakan ayat Pengetua tersebut adalah cabaran kepada saya melihatkan sikap saya yang tidak mahu mendengar kata beliau dan ibu sendiri.

Namun, saya masih nekad untuk mahu masuk ke kelas. Saya terus berlalu dan Mak mengekori saya dari belakang selepas meminta izin untuk pulang dari Pengetua.

Kami pulang ke rumah dan Mak membebel di atas motor di atas sikap biadap saya.

Namun, dalam hati, saya bersyukur kerana saya tidak perlu lagi kembali ke sekolah asrama di Seremban; walaupun saya mungkin kurang digemari oleh Pengetua saya di sekolah baru.

Tuesday, May 1, 2012

Kisah Binatang 1: Kembara Menyelamatkan Kura-kura

Hari Raya Ketiga tahun 1997


Hari itu, seperti hari-hari raya yang lain, saya dan adik (yang saya panggil Ari) merayau-rayau di sekitar taman perumahan kami mencari satu dua rumah yang berpenghuni untuk kami beraya. Jika bernasib baik, mungkin kami dapat mengumpul seringgit dua lagi pada hari ini.

Tidak banyak rumah yang mempunyai manusia kerana semua orang sudah pulang ke kampung masing-masing dan hari ini hanya hari raya yang ketiga. Jika mahu beraya, seeloknya pada Syawal ketujuh dan ke atas. Tapi, saya dan Ari tidak mahu terperangkap menonton rancangan nyanyian yang tidak henti-henti di television. Maka, kami mengambil keputusan untuk keluar dan beraya.

Kami mulakan perjalanan kami dari Jalan TKP 1. Di situ, ada rumah Pak Andak, Abid, Hafiz Amin, Syazwan Subhi, Mohsin, Faris dan Kecik. Tapi kesemua rumah mereka kosong tanpa penghuni. Kami juga tidak lupa melihat rumah Pak Cik Jalil, Pak Cik Musa, Pak Yusof dan beberapa lagi warga surau yang kami kenal. Namun, hampa.

Terasa bagaikan kami di sebuah kawasan yang ditinggalkan. 

Sunyi. 

Sekali-sekala, ada rasa tidak puas hati dengan Mak dan Abah kerana tidak membawa kami pulang ke kampung dan beraya seperti orang lain. Beraya di taman perumahan ini tidak seronok dan membosankan. Bagaimanapun, rasa marah itu hanya mampu saya pendam.

Sambil berlegar-legar di tengah-tengah kesunyian jalan TKP 1 itu, saya ternampak sesuatu yang menarik pandangan.

Di perkarangan rumah Mohsin, terlihat sebuah akuarium dan di dalam akuarium itu, ada seekor kura-kura yang berumur dalam lingkungan setahun berenang-renang di permukaan air; cuba untuk menghirup udara di atas air. Warnnya hijau gelap dengan belang hijau cerah dan ada bulatan oren di kiri kanan lehernya. Besarnya lebih kurang sebesar cawan teh dan ia berenang bersama-sama beberapa ekor ikan yang ada di dalam akuarium tersebut.

Saya tahu, kura-kura tersebut sudah berusia setahun kerana saya sendiri yang menjualnya kepada Mohsin tahun lepas. Saya beli dengan harga RM8 tapi saya jual kepada Mohsin pada harga RM3 kerana Mak tidak membenarkan saya membelanya. Mak kata, kura-kura boleh bawa jin masuk ke rumah. Saya tidak percaya kata-kata Mak, tapi saya akur untuk menjualnya sahaja daripada dileter setiap hari. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya.

Tapi, pada hari ini, saya mendapat peluang untuk bertemunya kembali. Rasa gembira kerana kura-kura itu masih hidup dan sudah pun berkali ganda lebih besar dari ketika saya menjualnya. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya berasa sedih dengan keadaannya.

Terpaksa berenang-renang setiap saat dan perlu mengayuh untuk menghirup udara tanpa ada tempat untuknya berpijak dan berjemur. Andai selama ini keadaannya begitu, maknanya, sudah setahun kura-kura itu tidak berhenti dari berenang dan mengayuh kakinya. Mesti sangat letih dan terseksa!

Pemikiran seorang pelajar Tahun 3.

Tanpa berfikir panjang, saya terus memanjat pagar rumah Mohsin dan terus membuka akuarium tersebut untuk mencapai kura-kura itu. Ari pula, berdiri di luar pagar; berjaga dan memerhati andai ada manusia lain di situ dan mungkin akan menangkap kami yang berkelakuan seperti pencuri pada waktu itu.

Selesai saya 'menyelamatkan' kura-kura itu, kami terus memecut pulang ke rumah dengan baju raya yang lenjun dibasahi air akuarium.

Di rumah, saya letakkan kura-kura itu di dalam sebuah besen, saya isikan sedikit air supaya ia tidak kering dan saya berikan beberapa helaian sayur yang saya jumpa di dalam peti sejuk. Mak terkejut kerana di hadapan rumah ada binatang yang tidak disukainya. Seperti boleh diagak, Mak membebel dan menyuruh kami membuangnya.

Dengan berat hati, saya membawa kura-kura itu ke sungai di hujung jalan kami. Saya turun, dan dengan hati yang hiba, saya lepaskannya ke sungai. 

Saya lepaskan di kawasan yang ada banyak kangkung liar yang boleh ia makan dan ada tebing-tebing pasir yang boleh  ia gunakan untuk ia berjemur. Saya berharap, agar kura-kura itu lebih aman dan tidak terseksa di situ. Andai ada peluang, mungkin kita akan bertemu kembali; walaupun harapannya amat tipis.

Sejak hari itu, saya tidak pernah ternampak kelibat kura-kura di sekitar kawasan itu. Mungkin ia sudah berenang jauh ke hujung sungai. 

Tapi, sekali-sekala, saya akan berhentikan basikal di tebing sungai itu dengan harapan yang tidak pernah putus untuk bertemu dengannya kembali.