Sunday, February 5, 2012

Kampung kami adalah sebuah "Taman"

Azan bergema di seluruh taman perumahan Taman Kantan Permai pada waktu maghrib hari itu. Berdengung-dengung berbunyi dari speaker surau yang letaknya hanya selang empat rumah teres dari rumah kami. Nyaring. Pada masa yang sama syahdu. Kerana itu adalah azan maghrib 1 Syawal. Bulan raya.

Musim lapar dan haus di sekolah akhirnya tamat untuk tahun itu. Saya yang ketika itu berada di tahun 3 berasa lega. Lega kerana tidak perlu lagi berbasikal ke sekolah dengan tekak yang kering. Lega kerana akhirnya kembali boleh makan dan minum pada bila-bila masa. Tidak perlu terseksa dengan bau gerai-gerai makanan yang menjual hidangan berbuka.

Saya dan adik lelaki saya bergegas ke surau selepas habis berbuka di rumah. Sudah menjadi rutin kami untuk bersolat jemaah di surau setiap kali mempunyai peluang. Seronok solat di masjid. Ada pakcik-pakcik yang sporting. Ada kawan-kawan sebaya yang ramai.

Namun maghrib hari itu sedikit aneh. Sunyi. Sepi. Tanpa kelibat manusia-manusia yang rancak seperti biasa. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka akan beraya bersama sepupu, datuk dan nenek masing-masing. Abid, Syakir, Mohsin, Syafiq, Pak Andak, Hafiz, Along Kecik, semua tiada hari itu. Semua sudah pulang ke kampung. Tinggal saya dan adik saya sahaja yang berdiri di barisan kanak-kanak pada hari itu. Berdua di dalam saf yang biasanya paling meriah.

Wirid hari itu lain sikit. Biasanya ada subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Tapi hari itu, imam menggunakan takbir raya sebagai wirid. Wirid habis cepat dari biasa, bermakna lebih banyak masa untuk saya dan adik bermain sementara menunggu azan isyak.

Selepas wirid, saya dan adik cabut keluar dari surau untuk meneruskan rutin biasa kami yang seterusnya. Berlegar-legar di kaki lima kedai tanpa arah tujuan sehingga azan isyak berkumandang. Kaki lima kedai hari itu juga suram. Tidak meriah seperti biasa. Gelap dan sangat hening.

Sekali-sekala, kami bakar dan baling mercun mancis ke tengah jalan raya.

POM!!

Meletup. Bercahaya sesaat.

Namun, tiada siapa yang perasan kerana kebanyakan kedai sudah pun tutup. Jalan lengang tanpa kenderaan.

Kami terus berlegar-legar di sekitar deretan kedai. Sekali-kala, kami masuk ke jalan belakang kedai. Gelap gelita tanpa lampu jalan. Cuma diterangi oleh lampu belakang rumah-rumah teres yang membelakangi deretan kedai. Kami sambung bermain mercun yang masih bersisa di tangan. Mercun roket, mercun padi, mercun naga dan macam-macam lagi mercun yang mampu kami sumbat di dalam poket-poket baju melayu dan seluar kami. Kami tidak berapa pasti, dari mana datangnya duit untuk membeli mercun-mercun tersebut.

Bergema sahaja azan isyak, kami terus berjalan ke surau. Selesai solat isyak dan wirid takbir raya, kami melepak-lepak bersama pakcik-pakcik surau. Hari ini, jemaah surau mempunyai aktiviti istimewa. Selepas solat rawatib, jemaah surau akan berarak ke rumah-rumah yang masih berpenghuni untuk bertakbir.

Saya dan adik mengikut sekali jemaah surau. Kami membonceng motor Pakcik Zainuddin, seorang veteran askar yang berumur dalam lingkungan 40-an. Bertiga di atas satu motor. Bersama lebih kurang 13 lagi motor jemaah surau, kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah, dari satu jalan ke satu jalan. Dari Jalan TKP 1 hingga ke Jalan Persiaran TKP (jalan 8).

Lebih kurang pukul 4 pagi, takbir rumah ke rumah akhirnya selesai. Labih kurang 20 rumah mampu kami singgah.

Penat. Pada masa yang sama seronok. Sebab dapat kumpul duit raya lebih awal. Tidak perlu menunggu siang 1 Syawal. Kami kira, dalam RM14 juga kami berjaya kumpul. Cukup untuk kami pergi KFC di bandar Kajang sebanyak 2 kali.

Selepas takbir rumah ke rumah, perut rasa bagai mahu meletup. Dek menjamah hidangan raya di setiap rumah.

Tiba di rumah, kami tidur seketika sementara menunggu hari besar sebentar lagi.

Waktu subuh, kami ke surau untuk bersolat. Sekali lagi, tidak seperti subuh di bulan puasa, solat subuh hari itu sungguh sunyi. Hanya ada 4-5 jemaah dengan saya dan adik di saf belakang. Usai solat, kami pulang untuk bersiap dan makan-makan.

Pagi itu, sesuatu yang amat aneh berlaku. Ketika solat sunat Aidil Fitri, surau penuh tak terkata! Lebih penuh dari solat tarawikh malam Ramadan pertama! Penuhnya sehingga ada yang membentang sejadah di perkarangan masjid. Bersolat di bawah sinar Dhuha. Selepas solat sunai Aidil Fitri, abang dan abah menunggu khutbah, tapi saya dan adik pulang dahulu, tidak sanggup menunggu imam berkhutbah. Bosan, panjang, dan isinya sama macam tahun lepas. Cuma mungkin ada sedikit pengubahsuaian.

Pulang ke rumah, kami sambung makan-makan dan menonton TV. Di TV, ada banyak rancangan raya. Ada orang menyanyi, ada drama raya, Malaysia Hari Ini (MHI) versi raya, dan beberapa rancangan lagi. Dalam TV, saya perasan ada sesuatu yang sedikit pelik. Dalam siaran TV, selalu terlihat orang bersalam-salaman di pagi raya; meminta maaf dan memaafkan di kalangan ahli keluarga. Dalam keluarga kami, suasana itu tiada. Nampak janggal.

Bila sudah bosan menonton tv, saya dan adik berkeputusan untuk beraya di rumah jiran-jiran. Mungkin akan dapat duit raya lagi. Bila cukup duit, bolehlah kami pergi ke KFC atau membeli Digimon di Kompleks Metro Kajang. Cemburu betul tengok kawan yang ada Digimon di sekolah.

Kami berdua mulakan perjalanan kami di jalan TKP 1 dan kami akan sambung ke jalan TKP 2 - jalan rumah kami, kemudian TKP 4; jalan TKP 3 tiada rumah kerana hanyalah jalan yang memisahkan taman perumahan kami dan ladang getah - dan ke jalan-jalan yang seterusnya.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, kami terus berlari keluar, dengan baju melayu yang masih bersarung dan terus mengikat kasut raya yang makcik belikan.

Perjalanan ziarah raya , kami mulakan dari rumah nombor 2 di Jalan TKP 1 kerana rumah nombor 1 adalah rumah Pak Andak. Kami tahu rumah tersebut kosong kerana Pak Andak sudah pulang ke kampung.

Di rumah nombor 2, salam dilaungkan.

Tiada sambutan.

Salam dilaungkan kembali.

Masih tiada jawapan.

Salam ketiga dilaungkan.

Sepi.

Kami membuat keputusan untuk ke rumah seterusnya. Ustazah di sekolah menasihati andai sudah diberi 3 salam dan tiada sambutan, bermakna tidak perlu untuk terus menunggu. Pergi sahaja dari rumah tersebut.

Rumah kedua dan seterusnya juga menghampakan. Tiada salam yang berjawab. Ramai yang sudah pulang ke kampung halaman. Jalan-jalan di taman perumahan kami sangat sunyi. Seolah-olah bandar mati.

Setelah penat merayau dengan harapan untuk beraya, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Mengumpul kembali tenaga untuk menyambung beraya petang nanti. Andai ada rezeki, mungkin dapat seringgit dua duit raya hari itu.

Di rumah, mak, abah dan adik-beradik lain sedang berehat-rehat sambil menonton tv. Aktiviti biasa di hari raya pertama. Saya dan adik turut serta melepak-lepak bersama mereka.

Sambil duduk-duduk, saya bertanya kepada mak, "Mak, kenapa kita tak balik kampung? Semua orang balik. Kita je yang ada dalam taman ni. Tak seronok la raya di sini. Tak ada orang. Nak kumpul duit raya pun susah."

Rungut saya pada mak. Pada ketika itu, saya sudah mampu faham kenapa kami tidak pulang ke kampung. Namun, saya masih bersuara sekadar meluahkan isi hati kepada mak. Sedih terpaksa beraya di hutan batu tidak mampu lagi disorok.

Mak menjawab dengan nada rendah. Rendahnya mampu membuat saya rasa bersalah kerana bertanyakan soalan tersebut.

Kata mak, "Bukannya tak nak balik, tapi nak balik macam mana. Kita tak ada kereta. Nak naik bas boleh, tapi mahal nak beli tiket. Tiket mak, tiket abah, tiket Faiz, Ana, kau, Ari, Tiqah, Hani. Pergi balik nanti akan habis dua tiga ratus. Mana mak nak dapat duit banyak tu. Bonus raya abah, dah habis beli baju melayu kau orang. Kalau nak pinjam kereta Iswara makcik pun boleh, tapi nak bayar minyak, kena juga keluar duit. Minyak kereta untuk pergi akan habis RM80. Balik lagi RM80. Tol semua, pergi balik hampir seratus. Jumlahnya nanti, akan habis dua ke tiga ratus ringgit."

Itu jawapan mak. Kesedihan mula terlukis di wajah mak. Sedih kerana tidak mampu untuk membawa kami pulang ke kampung. Sedih terpaksa membiarkan anak-anaknya beraya di taman perumahan yang sunyi. Mak sendiri pun bukannya mahu untuk beraya di taman perumahan. Mak juga sangat sangat ingin untuk bertemu kembali dengan sahabat handai beliau di kampung. Untuk bertanya berita. Untuk berkongsi cerita. Namun, apakan daya.

Kalau nak dikira, apalah sangat dengan RM300 tersebut. Robot permainan Afiq yang tinggal selang beberapa rumah kami sahaja sudah RM250. Tapi untuk keluarga yang mempunyai 8 anggota dengan gaji abah yang hanya RM1500 sebulan, itu nilai yang cukup besar. Dengan duit itu, kami mampu membeli makanan untuk dua ke tiga minggu. Siap dengan duit belanja sekolah seringgit sehari. Bagi kami, untuk menghabiskan 25% duit gaji abah hanya untuk perjalanan pulang ke kampung, adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.

Sudah sangat lama kami tidak pulang ke kampung. Seingat saya, kali terakhir kami pulang pun mungkin tiga atau empat tahun lepas. Sangat lama. Untuk seorang pelajar tahun 3, tiga ke empat tahun itu sama panjang dengan setengah hayatnya. Hinggakan saya sudah lupa bagaimana rupa rumah kampung kami. Bagaimana situasi beraya di kampung. Yang saya ingat, lamannya berwarna merah. Merah dengan tanah laterit.

Saya kembali menonton television. Tidak mahu memanjangkan soalan mengapa kami terpaksa beraya di taman perumahan yang sunyi. Tidak sanggup melihat wajah mak yang sedih dan penuh dengan rasa bersalah.

Petang itu, saya dan adik kembali menyarung kasut untuk beraya. Dengan harapan mungkin ada satu dua rumah yang sudi menjawab salam kami. Dan menjemput kami untuk masuk ke rumah untuk menjamah kuih-kuih raya. Andai ada rezeki, dapat dua tiga ringgit untuk hari itu.

Kami berjalan di jalan-jalan yang sunyi. Mungkin selang dua tiga tahun nanti, kami akan mula menerima hakikat bahawa taman inilah kampung halaman kami. Di sinilah kami akan kembali.

Kembali ke Taman Kantan Permai yang sunyi di Hari Raya Aidil Fitri.

No comments: