Biru subuh hari itu masih belum hilang tatkala saya melabuhkan diri di kerusi ruang tamu. Dingin pagi itu menyapa kulit. Sejuknya mampu memaksa diri membalut tubuh dengan selimut andai saya mahu menyambung mimpi. Sejuk, luar masih gelap, tapi rumah sudah pun riuh.
Abah akan ke tempat kerja. Abang dan kakak akan ke sekolah. Mak pula membuat apa yang patut sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Saya, masih belum bersekolah, tidak berbuat apa-apa dan hanya melihat gelagat mereka.
Hampir setiap pagi saya akan bangun awal pagi. Ingin melihat abah, abang dan kakak terkejar-kejar bersiap untuk memulakan hari masing-masing. Seronok kerana akan ada air milo panas dan sedikit sarapan yang boleh dimakan bersama dengan abah, emak, abang dan kakak.
Setiap hari, abang akan menyarung kemeja putih. Berseluar gelap. Bertali pinggang dan menyandang beg. Sesekali, songkok akan menghias kepala abang. Sangat kemas. Sangat menarik.
Saya tertarik.
Kakak pula akan berbaju kurung putih. Berkain gelap. Sesekali akan menyarung pinafor hitam. Dengan kemeja putih di dalam. Juga kemas. Juga menarik.
Terasa tidak sabar pula untuk saya memulakan zaman persekolahan. Mahu berpakaian kemas seperti abang dan kakak. Mahu naik motor untuk dihantar ke sekolah dan mahu mempunyai kawan yang ramai di sekolah. (Sebab kakak kata, di sekolah, dia ada sangat ramai kawan).
Usai sahaja bersiap, abah akan menghantar abang dan kakak ke sekolah dengan motornya. Bertiga di atas motor. Ke sekolah yang saya tahu jauh dari rumah kerana saya tidak mampu untuk ke sana dengan berjalan kaki. Abah akan terus ke tempat kerja selepas menghantar abang dan kakak.
Pergi sahaja mereka, rumah menjadi sunyi. Mak akan menyambung rutin beliau. Membasuh, mengemas, menjahit, menganyam bunga dari tali rafia, menyediakan makanan untuk adik-adik dan pelbagai lagi aktiviti biasa suri rumah. Adik-adik pula masih belum bangun. Tidur di bilik depan yang berdekatan dengan pintu utama rumah.
Saya masih duduk di kerusi ruang tamu. Memandang ke luar. Melihat motor dan kereta lalu-lalang. Ibu bapa sibuk mengahantar anak masing-masing ke sekolah dan ke tadika.
Saya masih termenung tidak berbuat apa-apa. Cuaca semakin cerah. Semakin jelas rupa dan warna keadaan di luar rumah.
Bila langit sudah terang, sesekali akan kelihatan kawan-kawan sebaya ke tadika. Ada yang berbaju merah kotak-kotak dan berseluar gelap. Ada yang berbaju melayu dengan samping hijau. Ada yang berbaju kurung berkain hijau. Nampak menarik.
Azian (bukan nama sebenar), budak yang duduk berdepan dengan rumah kami, juga ke tadika. Bila saya nampak dia berjalan kaki ke tadika, saya melaung dari pintu rumah, "Azian! Nak pergi mana tu?" Bukannya saya tidak tahu dia akan ke tadika. Cuma sekadar ingin menyapa.
Biasanya Azian hanya akan menjawab (sambil melaung juga), "Tadika!". Ringkas sahaja jawapannya. Kerana dia tidak suka bercakap dengan saya. Saya juga tidak suka dengan dia. Bagi saya, Azian seorang yang sombong, perasan kaya, perasan bagus. Macam-macam lagi perasaan tidak suka saya kepada dia, tapi kami masih bermain bersama bila tiba waktu petang.
Selepas seketika, jalan di depan rumah kembali lengang. Kadang-kala sunyi dipecahkan dengan bunyi hon motor roti dan lori ikan. Matahari makin terik.
Mak biasanya akan tekun dengan rutin harian beliau.
Untuk menghilangkan bosan, saya akan berborak dengan mak. Soalan lazim saya ialah, "Mak, nak pergi tadika boleh? Kenapa orang seorang tak pergi tadika? Orang lain semua pergi. Orang je yang duduk rumah." ('orang' adalah cara kami adik-beradik membahasakan diri di rumah. Sama penggunaan seperti 'saya' dan aku')
Mak akan memberikan pelbagai alasan kenapa saya tidak ke tadika. Mak kata, yuran tadika mahal, RM40 sebulan. Kena belikan baju, kena sewakan van, kena beli buku, kena beli itu, kena beli ini. Namun ketika itu, saya masih kurang faham dengan penjelasan emak. Saya tak tahu RM40 tu berapa nilainya kepada kami. Saya tak tahu apa makna mahal, tidak faham apa makna tidak berduit.
Terasa seolah-olah emak menghukum saya dengan 'memenjarakan' saya seorang di rumah. Tidak mahu saya menjadi seperti budak-budak lain.
Rasa kecewa kerana tidak ke tadika. Saya cemburu dengan kawan sebaya.
Bila tiba waktu petang, selepas Abah pulang, kami adik-beradik akan dilepaskan untuk bermain di luar. Biasanya, Azian akan ada sekali bermain bersama kami, dengan abang dan kakak dia. Sambil bermain, Azian akan membawa buku tadika dia. Dia akan buka buku tersebut, tunjuk nombor 1 hingga 10. Dia kenal huruf A sampai Z dalam buku itu. Dia juga boleh mengeja dan membaca sedikit-sedikit perkataan dalam buku itu.
Dia sengaja berbuat begitu kerana dia tahu saya tidak ke tadika. Saya tidak tahu membaca. Saya tidak tahu mengira.
Terasa sakit hati ketika Azian menunjuk-nunjuk yang dia dapat ke tadika dan dapat belajar semua benda tu. Saya, hanya tahu ada nombor, tahu ada benda bernama 'huruf'. Tapi saya tidak hafal atau tahu menggunakannya.
Geram kerana nak pergi tadika tak dapat.
Saya berazam akan memaksa emak untuk menghantar saya ke tadika.
Esok pagi, dalam hening biru subuh, rutin saya yang sama akan saya ulang. Saya tidak akan berputus-asa untuk ke tadika.
Soalan yang sama akan diulang.
"Mak, nak pergi tadika boleh?"
Soalan itu, soalan harian itu, akan dijawab dengan penjelasan harian emak yang saya akan terus menganggap sebagai 'alasan.
No comments:
Post a Comment