Wednesday, October 8, 2008

Hari ini dalam sejarah 2



Sambungan....

Beliau menambah, keputusan yang beliau dapat itu kemungkinan disebabkan niat beliau sewaktu ingin mengambil pepriksaan tersebut. Beliau membayangkan, apabila beliau mendapat keputusan SPM, beliau akan ke surau untuk menunaikan solat sunat di samping melakukan ibadah-ibadah yang lain sebagai tanda kesyukuran. Subhanallah.

Berbeza sekali dengan saya. Saya cuma dapat membayangkan saya akan menghabiskan hari tersebut dengan kawan-kawan sekolah di pusat-pusat membeli-belah. Maklumlah, mungkin hari tersebut akan menjadi hari terakhir untuk kami bersama. Betapa kurangnya kesedaran saya pada masa tersebut. Alhamdulillah. Sekarang, saya sudah mempelajari sesuatu dari beliau. Akan saya aplikasikan dalam kehidupan saya dimasa kelak.Yakni bersyukur terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah.

Setelah diam seketika, sahabat saya ini kembali menyambung perbualan. Beliau bercerita pula ketika beliau mendapat tawaran-tawaran biasiswa dan universiti-universiti dahulu. Sewaktu surat-surat yang amat berharga bagi kebanyakan orang itu sampai kepada beliau, beliau sedang bekerja di sebuah kilang. Bapa beliaulah yang menerima surat-surat tersebut dan menghantarnya kepada beliau di kilang terbut.

Apabila surat-surat tersebut sampai ke tangan beliau, surat-surat tersebut hanya diletakkan di celah-celah mesin yang berderum-deram. Untuk membukanya pun, beliau hanya boleh curi-curi baca kerana sibuk dengan kerja beliau di kilang tersebut.

Bagi orang-orang lain, mungkin mereka akan menyimpan surat-surat tersebut sebaik mungkin (termasuklah saya). Tetapi bagi beliau yang sedang bekerja untuk menampung hidup yang serba sederhana, surat-surat itu hanya dapat "dilayan" sekadar boleh.

Lagi sekali, perasaan kagum tadi muncul. Teringat kembali sewaktu saya menerima surat-surat temuduga dari pelbagai jabatan dan syarikat yang menawarkan biasiswa. Gembira di hati bukan kepalang. Walaupun hanyalah temuduga, tetapi saya sudah kecoh dan menunjuk-nunjuk surat-surat tersebut kepada semua ahli keluarga saya sehinggakan kakak saya menempelak "Berlagaklah kau!".

Begitu berlainan sekali kisah kami berdua. Ketika mendapat surat tersebut, hati saya penuh dengan perasaan takabbur manakala beliau hanya bersikap tawadduk. Keinsafan tiba-tiba muncul di dalam diri. Terasa hina diri ini kerana menjadi begitu bongkak terhadap kurniaan Ilahi yang boleh dirampasNya bila-bila masa.
Beliau menyambung lagi, sewaktu ingin menghadiri temuduga biasiswa Petronas, beliau hanya menaiki bas di tengah-tengah malam. Apabila beliau tiba di stesen bas yang berdekatan dengan Universiti Petronas, beliau hanya berseorangan di tengah-tengah keheningan malam. Beberapa lama kemudian, barulah terlihat kelibat orang-orang lain yang turun dari bas memenuhi ruang tersebut. Cukuplah untuk menjadi peneman beliau daripada berseorangan di situ.

Bapa beliau tidak dapat menghantar beliau kerana masalah kewangan yang teruk. Mujur beliau masih diberi peluang untuk tetap hadir ke temuduga itu. Sesungguhnya benarlah kata-kata bahawa rezeki di tangan Allah. Alhamdulillah. Beliau berjaya memperoleh biasiswa tersebut tetapi beliau tolak kerana mempunyai pilihan yang lebih baik.

Di dalam akal fikiran, dapat saya bayangkan suasana sewaktu bersendirian di stesen bas di tengah malam. Betapa sunyinya suasana tanpa teman berbicara. Sekali lagi saya berdoa agar saya dikurniakan semangat untuk terus berjuang di bumi perantauan ini walaupun jika saya terpaksa bersendirian . InsyaAllah.

Habis sahaja beliau berbicara, keretapi kami pun selamat tiba di stesen Secaucus, stesen transit kami untuk ke Hoboken. Kami pun bergerak meredah sejuk di luar keretapi dan menuju ke ruang menunggu untuk menanti keretapi seterusnya.

Tamat