Monday, October 15, 2012

Sepetang Ber-'eksperimen'

1994


Mungkin sudah berlalu beberapa bulan semenjak kami sekeluarga berpindah ke Taman Kantan Permai. Rumah-rumah di sekitar kami semakin dihuni jiran tetangga yang baru yang menyebabkan taman itu lebih meriah dari waktu kami mula-mula berpindah dahulu.

Walaupun taman itu semakin dipenuhi, namun waktu petang sekitar pukul 2-3 sentiasa sunyi. Jalan-jalan, walaupun dicerahi dengan sinar kuning matahari, kebiasaannya lengang tanpa apa-apa aktiviti. Di rumah kami, waktu-waktu petang begini, saya dan adik-adik biasanya diarahkan untuk tidur supaya Mak boleh membuat kerjanya tanpa diganggu. Tetapi, saya agak liat untuk tidur petang kerana waktu-waktu diam begini, saya rasa rugi jika dibazirkan.

Waktu petang yang diam, adalah waktu yang sesuai untuk saya membuat aktiviti personal saya : ber-eksperimen.

Eksperimen kanak-kanak berumur 6 tahun.

Dari sanubari yang sentiasa ingin mengetahui.

Ada harinya, saya akan ber-eksperimen dengan serangga. Hari lain, saya gunakan tumbuhan sebagai bahan kajian. Jika tiada kedua-duanya, alat jahit Mak juga boleh menjadi subjek pemerhatian.

Petang itu, saya duduk di depan pintu kaca rumah. Terlihat beberapa ekor lalat yang sedang cuba memboloskan diri menerjah ke cermin pintu untuk keluar. Mungkin lalat-lalat tersebut tidak perasan akan kaca tersebut, maka mereka menghentamnya berulang-kali dengan harapan akhirnya mereka dapat keluar dan 'bermain' di laman rumah yang dipenuhi dengan pokok bunga tanaman Mak dan rumput-rumput yang menghijaukan laman.

'Bodohnya lalat ni' kutuk saya di dalam hati sambil terus memerhati tindakan lalat-lalat tersebut.

Ketika mereka masih leka untuk meloloskan diri, "Tup!", tekup tangan saya ke cermin pintu untuk memerangkap salah seekor dari lalat tersebut.

Meronta lalat yang berada di dalam tangan saya cuba untuk membebaskan diri.

Perlahan-lahan, saya menggenggam tangan untuk memastikan lalat tersebut selamat dikurung di dalam tangan. Selesai proses tangkapan, saya terus berlari ke dapur, membuka pintu peti sejuk dan mencampak lalat tersebut ke dalam ruang membeku lalu menutup pintunya dengan cepat supaya lalat tersebut tidak sempat keluar.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk eksperimen hari ini:

Kita akan melihat berapa lama diperlukan untuk 'membekukan' lalat di dalam peti sejuk.

Lebih kurang seminit kemudian, pintu peti sejuk dibuka.

"Ngeeeng~" terbang lalat keluar dari peti sejuk.

Lalat masih hidup dan belum beku. Seminit tidak cukup untuk membekukan lalat.

Saya ke pintu semula menangkap mangsa kajian yang seterusnya, berlari ke dapur, campak lalat ke dalam peti sejuk dan tutup dengan cepat.

2 minit dikira dengan melihat jam di ruang tamu rumah.

Pintu peti sejuk dibuka.

"Ngeeeeeng~~". 2 minit juga masih tidak cukup untuk membekukan lalat.

Langkah-langkah tersebut diulang untuk beberapa kali. Sehingga akhirnya, kesimpulan dapat dibuat.

Lalat hanya akan beku apabila dimasukkan ke dalam peti sejuk beku sekurang-kurangnya 5 minit.

Apabila masa tersebut telah dapat ditentukan, Mak datang ke dapur untuk menjerang air memandangkan Abah akan pulang sebentar lagi.

Sambil melihat cerek air yang berada di atas dapur menunggu untuk mendidih, timbul idea eksperimen yang kedua untuk hari itu.

'Berapa agaknya masa pemanasan di atas cerek air panas yang diperlukan untuk menghidupkan kembali lalat yang telah dibekukan?'

Bagaimanapun sebelum eksperimen sempat dimulakan, Mak perasan aktiviti saya 'bermain' dengan lalat untuk disimpan di tempat simpanan makanan, yakni peti sejuk.

Saya dimarah dan disuruh bermain di depan.

Tamat sesi eksperimen saya pada hari itu.

Namun harapan untuk meneruskan 'eksperimen' menghidupkan lalat beku masih belum mati. Esok masih ada untuk eksperimen seterusnya.

Esok, lalat yang 'mati' akan 'dihidupkan' semula. Eksperimen saya masih belum tamat.