Friday, August 24, 2012

Iktikaf (Kononnya)

Ramadan 1999 (Darjah 5)


"Assalamualaikum~ Zainaaal~"

Laung satu suara remaja dari luar.

"Assalamualaikum~ Zainaaal~"

Laung lagi suara tersebut.

Mak keluar untuk melihat siapa yang memanggil.

"Waalaikumsalam. Nak cari Zainal yang mana?" tanya Mak kepada remaja yang menunggu di luar rumah sambil menunggang sebuah motorsikal. Soalan biasa yang ditanya andai si pemanggil memanggil 'Zainal' kerana rumah kami ada 4 Zainal.

"Zainal Faiz," jawab si pemanggil.

"Oh, Nazir ke? Kejap ye. Makcik panggilkan," balas Mak.

Faiz, abang saya, bergegas bersiap. Saya dan adik lelaki juga turut kelam-kabut bersiap.

Malam itu, kami akan ke Masjid Jamek Pekan Kajang. Malam itu, antara malam-malam terakhir Ramadan untuk tahun itu. Maka, kami ingin mengambil kesempatan untuk ber'iktikaf' di masjid. Kerana kami terdengar dari pakcik-pakcik di surau bahawa malam-malam terakhir Ramadan digalakkan untuk beiktikaf di masjid.

Memandangkan keesokkan harinya kami tidak bersekolah, maka malam itu kami diizinkan untuk tidur di luar.

5 minit kemudian, kami selesai bersiap. Abang mengambil kunci motor dan terus melungsurkan motor keluar dari halaman rumah. Apabila Abang sudah menghidupkan enjin motor, saya dan adik memanjat ke kerusi belakang, membonceng bertiga di atas satu motor.  "Vroooom!" langsung kami bergerak menuju ke masjid bersama Nazir, Kahfi, Hasni dan beberapa lagi rakan Abang.

Abang sebenarnya ingin pergi sendiri bersama rakan-rakannya. Tapi disebabkan saya dan adik mendesak untuk ikut sama, dan Abah pula menyokong kami untuk dibawa bersama, maka dia tiada pilihan dan dengan berat hati terpaksa membenarkan kami untuk turut serta.

Saya ingin mengikut Abang kerana saya tahu, Abang dan kawan-kawannya bukan sekadar ingin ber'iktikaf'. Mereka mempunyai agenda-agenda lain pada malam itu. Dan saya tahu, aktiviti-aktiviti mereka selalunya menyeronokkan.

Malam itu, kami berkeputusan untuk menggunakan motor memandangkan kawan-kawan abang semuanya ingin menaiki motor. Untuk hari-hari yang lain, ada kalanya kami menggunakan basikal kerana kami bertiga mempunyai basikal masing-masing. Bagaimanapun, jika naik motor, kami tidak penat dan boleh pulang ke rumah dengan cepat untuk bersahur di rumah. Jika guna basikal, lepas subuh baru sampai ke rumah dan 'terpaksa' bersahur di masjid.

Lebih kurang pukul 12 tengah malam (dalam 10-15 minit perjalanan), kami di perkarangan Masjid Kajang. Malam itu, tidak berapa ramai orang yang beriktikaf. Boleh dilihat dengan kosongnya perkarangan parkir masjid.

Apabila kami masuk ke ruang solat masjid, kami dirikan solat tahiyyatul masjid 2 rakaat terlebih dahulu. Kemudian kami menyambung membuat aktiviti masing-masing. Ada kawan Abang yang menyambung solat sunat. Ada yang duduk membaca Al-Quran. Ada yang berkumpul dan berbual-bual.

Apabila semua sudah berkumpul semula, kami berbincang untuk aktiviti seterusnya. Jam baru menunjukkan pukul 12:30 tengah malam. Qiyamullail berjemaah pula hanya akan dimulakan pada pukul 4:30 pagi.

Malam itu, kami membuat keputusan untuk ke CyberCafe di pekan Kajang dahulu untuk menunggu waktu Qiyam. Boleh bermain internet. Boleh bermain game.

Tidur? Dalam jadual kami ber'iktikaf', tidur memang tiada dalam senarai aktiviti.

Kami hanya berjalan kaki dari masjid menuju ke pekan Kajang yang jauhnya lebih kurang 5 minit. Malam itu, kami tidak menggunakan laluan biasa yang perlu melalui jalan besar berhadapan stadium Kajang. Malam itu, kami menyelusur di jalan belakang balai polis. Jalan itu baru dibuka dan lebih selamat untuk berjalan kaki berbanding menggunakan jalan besar yang biasanya penuh dengan kenderaan yang dipandu laju.

Di jalan belakang balai polis itu, tiba-tiba Abang dan kawan-kawannya berhenti. Salah seorang dari mereka mengeluarkan sesuatu dari beg.

Sebuah mercun berbentuk kiub yang mempunyai 25 lubang (5 x 5) di atasnya. Dan di setiap lubang tersebut, terisi sesuatu yang berbentuk seperti misil kecil. Ada 25 batang misil kecil di dalam mercun tersebut.

Di lorong gelap itu, mereka berkeputusan untuk menyalakannya. Selepas sumbunya di bakar, kami  berlari menyelamatkan diri masing-masing dan menyorok di balik pokok dan kereta. Risau andai-andai ada misil tersebut yang tersasar dan mengejar kami.

Shuuu~ POM! Shuu~ POM! Shuu~ POM!

Satu demi satu misil-misil itu terbang keluar dari kiub tersebut lalu meletup di atas langit dan memancarkan cahaya yang berwarna-warni. Kami perhati dengan penuh ketakjuban dari tempat persembunyian masing-masing.

Tamat pertunjukkan mercun, kami teruskan perjalanan dengan perlahan-lahan ke pekan Kajang. Sambil-sambil berjalan, kami lempar sebatang dua mercun mancis, mercun naga, 'Thunderclap', mercun roket dan beberapa lagi mercun yang kami ada di sepanjang perjalanan. Malam itu, pekan Kajang lebih sunyi dari biasa. Mungkin kerana warganya sudah ramai yang pulang ke kampung, maka jalan-jalan menjadi lengang. Sunyinya, menyebabkan kami rasa ingin berbaring di tengah-tengah jalan besar. Bunyi-bunyi mercun tersebut menghilangkan sedikit kesunyian pekan Kajang malam itu yang seolah-olah seperti pekan mati.

Ketika kami tiba di CyberCafe, kebanyakkan komputer sudah pun mempunyai 'penghuni'. Hanya beberapa unit yang masih kosong. Maka ada di antara kami yang berkongsi komputer bermain MiRC. Saya yang masih tidak 'pandai' menggunakan internet ketika itu, hanya duduk-duduk di kerusi kosong memerhatikan orang lain yang leka di hadapan skrin.

Lebih kurang sejam berlegar di dalam CyberCafe, kami keluar dan berpatah balik ke masjid untuk menyambung iktikaf. Di bawah CyberCafe yang terletak di tingkat 2 itu, berkumpul beberapa orang lelaki dan 'perempuan'. 'Perempuan-perempuan' tersebut cuba menegur kami namun kami buat tidak endah dan kami berlalu dengan pantas. Risau diperlakukan 'sesuatu'.

Sebelum kami jauh dari mereka, salah seorang kawan Abang membaling sesuatu kepada mereka.

Disebabkan tindakan kawan Abang tersebuttersebut, 'perempuan-perempuan' itu berasa marah. Ada yang membuka kasut dan cuba mengejar kami.

"Lari!! Pondan kejar!!" pekik salah seorang kawan Abang. Kami pun, tanpa berfikir 2-3 kali, terus mengangkat langkah seribu berlari bagai tidak cukup tanah untuk dipijak.

Sambil kami berlari, terdengar garau suara dari belakang yang cukup menyeramkan. "Tak guna punya budak! Siap kau orang kalau aku dapat tangkap!"

Saya menoleh melihat salah seorang dari mereka mengejar kami sambil tangannya memegang sepatu bertumit tinggi. Disebabkan ketakutan, saya cuba berlari lebih laju dan terus melintas jalan besar menuju ke masjid.

Syukur, selepas kami menyeberang jalan besar, 'perempuan-perempuan' tadi berhenti mengejar kami. Sambil termengah-mengah, kami berjalan pulang menuju ke masjid.

Sebelum tiba di masjid, kami singgah dahulu ke gerai di hadapan masjid, minum-minum menghilangkan 'penat' dan dahaga.

Kami tiba kembali ke ruang solat Masjid Kajang ketika jemaah lain sudah pun memulakan qiyamullail dan sedang bersolat sunat tasbih. Sebelum kami masuk ke saff, kami solat tahajjud 2 rakaat terlebih dahulu, diikuti dengan solat sunat hajat dan taubat.

Ketika di dalam saff bersolat tasbih, pelbagai gelagat boleh saya perhati dari kawan-kawan abang. Ada yang sujud tidak bangun-bangun, ada yang terjatuh ke belakang ketika rukuk, ada juga yang mufaaraqah kerana tidak tahan dengan lamanya solat tasbih tersebut. Tambahan pula, malam-malam terakhir ini, imam yang mengetuai solat 'suka' membaca tasbih dengan perlahan dan mendayu-dayu. Saya juga tidak tahan dengan lamanya solat tersebut dan menyambung bersolat sendiri.

Selesai qiyamullail, kami menuju ke tempat motor di-parkir dan memulakan perjalanan pulang ke rumah di Taman Kantan Permai untuk bersahur bersama keluarga masing-masing.

Selesai 'iktikaf' kami pada malam tersebut.