Saturday, February 18, 2012

Motor Biru Modenas

Sekitar tahun 1998

Pagi hari itu, gempar!

Mak dan abah bercakap dengan kuat di pintu depan rumah walaupun waktu subuh masih belum masuk. Jam itu, masih terlalu awal untuk kami adik-beradik bangun untuk bersiap ke sekolah.

Perbualan abah dan emak agak kuat dan berbunyi mencemaskan. Terdengar suara abah mendengus-dengus seperti risaukan sesuatu. Emak juga berkata-kata tetapi butirnya masih kurang jelas dalam lubang telinga saya pagi itu. Suara emak juga seperti dalam kerisauan.

Saya yang masih mamai di bilik hadapan cuba menyambung tidur dan membiarkan mak dan abah berbual di pintu rumah. Masih terlalu awal untuk berasa serabut dengan benda yang tidak sepatutnya. Tidur lebih penting.

Selang beberapa minit, sebelum sempat saya lena semula, emak dan abah masuk ke bilik saya dan mengejut saya, abang dan adik. Sambil membangunkan kami, emak menyampaikan satu berita yang saya tak pasti untuk memberi respon yang macam mana.

Motor abah kena curi.

Saya, abang dan adik lelaki bingkas bangun dan terus menyelak tingkap bilik yang betul-betul menghadap ke halaman rumah. Kosong! Sepatutnya di situ ada sesuatu pada waktu-waktu begini, tapi pagi itu, kosong.

Motor Modenas Kriss hijau abah memang sudah dicuri! Dan pintu pagar masih ternganga seolah memberitahu sang pencuri bergesa ketika mengambil hak milik kami itu tanpa izin.

Di waktu malam. Ketika kami tenggelam dalam rehat.

Abah terduduk di kerusi malasnya. Emak pula terus ke bilik belakang untuk mengejutkan kakak dan adik-adik perempuan dan juga untuk memberitahu berita tersebut.

Abah dan mak kelihatan sangat serabut memikirkan itu sahajalah satu-satunya sumber pengangkutan kami. Motor lain, tiada. Kereta juga tiada. Motor itulah yang menjadi tunjang pengangkutan di rumah kami. Motor Kriss hijau itulah digunakan untuk perkara serba-serbi. Membeli barang keperluan rumah, menghantar dan menjemput kami adik-beradik untuk ke sekolah, pengangkutan abah untuk ke tempat kerja, sumber rezeki dan sumber keselasaan kami yang sedikit.

Pagi itu, tunjang pergerakan kami di rampas. Abah bingung, tidak tahu bagaimana untuk ke tempat kerja. Emak pening, bagaimana kami akan ke sekolah.

Untuk pagi itu, mungkin boleh minta tolong jiran kami yang kebetulannya bekerja di tempat abah bekerja. Kebetulan juga, anak-anak mereka bersekolah di tempat yang sama dengan kami. Pagi itu dan untuk 2-3 hari kemudian mungkin ada cara, tapi bagaimana dengan hari-hari yang seterusnya? Adakah mahu terus menumpang?

Persoalan itu, menyebabkan kami sekeluarga sedih dan risau. Terasa kehilangan sesuatu yang besar. Terasa seperti dunia hilang separuh. Terperangkap di rumah tanpa 'alat berhubung' dengan dunia luar (yakni sekolah dan tempat kerja).

Pada yang sama, kami berasa marah pada sang pencuri. Berbagai jenis kata kesat dilontarkan di pagi itu oleh kami anak-beranak untuk dituju pada sang pencuri. Pelbagai jenis 'doa' dibaca untuk melaknat perampas kemudahan kami itu.

Saya pada tahun itu sesi petang, maka saya tidak risau dengan persekolahan saya kerana bas Foh Hup (bas awam) sentiasa ada. Balik sekolah juga saya tak perlu risau kerana bas yang sama masih beroperasi (walaupun kebiasaannya abah yang ambil). Abang pula menaiki bas sekolah, juga tiada masalah.

Tapi bagaimana pula dengan kakak dan adik? Mereka bersekolah sesi pagi dan bergantung kepada motor Kriss hijau untuk ke sekolah. Balik tengah hari bolehlah naik bas Foh Hup sebab kebiasaannya memang begitu. Bas Foh Hup pula, sangat tidak efisien pada waktu pagi. Selangnya sejam sekali. Bas biasanya datang pada pukul 6:30 pagi; bermakna mereka perlu menunggu di perhentian bas dalam gelap pagi. Waktu datangnya pula tidak konsisten. Kadang awal, kadang lewat melampau. Andai terlepas bas, alamatnya, sekolah hari itu berkebarangkalian untuk diponteng kerana datang lambat akan didenda walaupun salahnya bukan terletak pada mereka.

Abah pula, tak pasti adakah dia akan terus menumpang jiran kami atau cuba mencari alternatif lain. Abah masih bingung pagi itu.

Hari itu, rutin kami berubah sedikit. Kakak dan adik terpaksa menaiki bas dan syukur, bas pagi itu datang tepat pada waktunya. Abah ke rumah jiran untuk menumpang mereka.

*****************************************************

Petang itu, abah pulang dengan membawa keputusan. Abah akan membeli motor baru walaupun hutang motor lama masih ada. Tak ada cara lain, itu sahaja caranya walaupun keputusan itu membawa makna gaji abah yang sudah sedia kecil akan menjadi lebih kecil.

Kami terima sahaja keputusan abah dan berdoa agar motor Kriss hijau itu berjaya dijumpai oleh pihak Polis dan kembali menjadi milik kami.


Inilah motor baru kami (sekarang sudah berusia 14 tahun). Modenas Kriss 2 biru yang kami panggil "motor biru"