Tuesday, October 14, 2008

Kekalutan di dalam masjid

7 Oktober 2008

Hari ini saya bercuti. Setiap minggu, hari selasa sememangnya hari yang saya tunggu kerana saya tidak perlu ke kelas. Maka, bolehlah saya membuat apa-apa aktiviti yang saya tidak boleh lakukan di hari yang lain.

Hari ini, saya bercadang hendak ke masjid untuk bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah. Sudah agak lama juga semenjak kali terakhir saya bersolat maghrib dan isyak di masjid. Yang kali terakhir itu pun saya datang kerana mengejarkan hidangan buka puasa percuma yang disediakan di situ di sepanjang bulan Ramadhan. Kemudian, saya bersolat tarawikh bersama jemaah-jemaah yang lain.

Lebih kurang pukul 6.00 petang, saya pun bergerak ke stesen bas yang berdekatan. Waktu maghrib akan tiba tidak lama lagi; lebih kurang pukul 6.30 petang. Saya pula terpaksa bertukar 2 bas untuk sampai ke masjid tersebut. Bergerak 30 minit sebelum masuk waktu sebenarnya sudah agak lewat. InsyaAllah, saya akan sempat tiba sebelum solat jemaah dimulakan.

Angin sejuk musim luruh bertiup pada petang itu membuatkan saya terpaksa berjalan dengan laju. Entah mengapa, saya terlupa membawa baju sejuk hari ini. Mungkin kerana teringatkan waktu tengah hari tadi yang agak panas, maka saya memikirkan malam itu juga akan menjadi panas. Sangkaan saya meleset. Akibatnya, saya menggigil sendirian.

Alhamdulillah, setibanya di masjid, solat maghrib berjemaah masih belum dimulakan. Saya pun meletakkan beg saya di belakng dewan solat dan terus menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid terlebih dahulu sementara menunggu iqamah dilaungkan.

Habis sahaja solat maghrib, selepas menuanaikan solat sunat rawattib, saya duduk-duduk di sekitar dewan solat. Masih ada 1 jam sebelum solat isyak dimulakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk membelek-belek Al-Quran yang sudah agak lama saya tinggalkan.

Terasa bersalah pula kerana akibat terlampau sibuk dengan urusan dunia, banyak urusan akhirat saya tinggalkan. Saya beristighfar didalam hati disamping menanam azam untuk terus melakukan tugasan saya sebagai hamba Allah tidak kira sesibuk mana pun kehidupan saya.

Akhirnya, iqamah isyak berkumandang. Saya pun berpusu-pusu bersama jemaah lain memenuhkan saf-saf dihadapan. Habis sahaja solat, kami berwirid bersendirian kerana memang menjadi amalan disini untuk berwirid secara individu.

Selepas menunaikan solat rawattib selepas isyak, saya kembali membelek-belek Al-Quran. Tiba-tiba, seorang imam datang dan duduk tidak jauh dari saya diikuti dengan beberapa jemaah lain. Kemudian, imam tadi membaca beberapa hadis disamping menerangkan maksud hadis-hadis tersebut kepada jemaah-jemaah tadi.

Saya pun turut mendengar penjelasan imam tersebut terhadap hadis-hadis yang dibacanya. Pada mulanya, mereka berbincang didalam bahasa Inggeris, maka bolehlah saya memahaminya. Tidak lama selepas itu, salah seorang dari mereka menanyakan soalan kepada imam tersebut di dalam bahasa Urdu (bahasa rakyat Pakistan). Imam itu pun menjawab kembali pertanyaan tersebut di dalam bahasa Urdu juga.

Apabila saya menyedari saya sudah tidak boleh memahami perbincangan mereka, saya pun pergi meninggalkan jemaah tersebut. Selepas mengambil beg saya yang berada di belakang ruang solat, saya pun terus menuruni tangga dan menuju ke pintu keluar.

Apabila saya sampai di pintu keluar, saya terdengar bunyi tapak kaki yang agak deras seolah-olah sedang berlari. Kemudian saya memandang ke belakang. Terlihat salah seorang daripada jemaah tadi berlari dengan lajunya ke arah saya dengan muka yang mencemaskan.

Saya pun terfikir-fikir jika saya ada melakukan apa-apa kesalahan sehinggakan hamba Allah ini mengejar saya sepenuh hati. Saya periksa beg saya kerana saya mungkin tersalah mengambil beg beliau. Tidak pula. Ini memang beg saya. Apabila melihat hamba Allah ini semakin hampir, saya dengan kelam-kabutnya cuba membuka pintu untuk melarikan diri dari beliau. Tidak tahu mengapa saya tiba-tiba menjadi sangat takut.

Tiba-tiba, pintu masjid terasa berat pula untuk dibuka. Hati saya bertambah takut. Didalam hati, saya berdoa agar saya dilepaskan dari masalah ini. Bunyi tapak kaki hamba Allah tadi semakin kuat kedengaran menambahkan lagi perasaan cemas.

Akhirnya, saya berjaya membuka pintu tersebut, tetapi sudah terlambat. Hamba Allah tadi berjaya "menangkap" saya. Dengan hati yang berdebar-debar, saya cuba memberanikan diri memandang muka beliau. Kemudian, beliau menanyakan nama saya di samping memperkenalkan diri beliau sebagai Shadiq. Kami pun bersalaman.

Kamudian beliau bertanyakan dari mana asal saya, sudah berapa lama di tanah Amerika ini, kerapkah saya ke masjid dan macam-macam lagi. Rupa-rupanya, beliau hanya ingin berkenalan dengan saya. Kata beliau, beliau sering ternampak saya di masjid tersebut sewaktu bulan Ramadhan tetapi tidak sempat bertegur sapa. Maklumlah, muka orang Melayu memang sukar dilihat disini dan boleh dikatakan agak unik. Maka kami mudah untuk dicam.

Selepas bertukar-tukar nombor telefon, saya pun meminta izin untuk beransur. Selepas kejadian tadi, saya sedikit berasa kagum dengan jemaah disini. Mereka sanggup mengejar saya sepenuh hati hanya untuk bertanyakan khabar mengenai saudaranya yang lain (walaupun saya pada mulanya berasa takut akibat dikejar).

Mungkin beliau berbuat demikian kerana terlihat saya meninggalkan masjid selepas tidak dapat memahami bahasa mereka. Mungkin juga beliau berasa bersalah kerana bercakap di dalam bahasa mereka sedangkan ketika itu ada jemaah yang tidak boleh memahaminya.

Alhamdulillah, walaupun adegan tadi berjaya membuatkan saya berasa sangat cemas, sekurang-kurangnya saya dapat berkenalan dengan seorang hamba Allah disini.

Sepanjang perjalanan pulang, saya hanya tersenyum sendirian memikirkan kekalutan yang saya lakukan di masjid tadi. Tiba-tiba saya terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh Shadiq apabila melihat saya cuba melarikan diri dari beliau tadi dengan keadaan tergopoh-gapah?

Saya kembali tersenyum sendirian.

p/s : maaf, tiada sebarang gambar yang boleh saya letak untuk post ini.