Tuesday, May 1, 2012

Kisah Binatang 1: Kembara Menyelamatkan Kura-kura

Hari Raya Ketiga tahun 1997


Hari itu, seperti hari-hari raya yang lain, saya dan adik (yang saya panggil Ari) merayau-rayau di sekitar taman perumahan kami mencari satu dua rumah yang berpenghuni untuk kami beraya. Jika bernasib baik, mungkin kami dapat mengumpul seringgit dua lagi pada hari ini.

Tidak banyak rumah yang mempunyai manusia kerana semua orang sudah pulang ke kampung masing-masing dan hari ini hanya hari raya yang ketiga. Jika mahu beraya, seeloknya pada Syawal ketujuh dan ke atas. Tapi, saya dan Ari tidak mahu terperangkap menonton rancangan nyanyian yang tidak henti-henti di television. Maka, kami mengambil keputusan untuk keluar dan beraya.

Kami mulakan perjalanan kami dari Jalan TKP 1. Di situ, ada rumah Pak Andak, Abid, Hafiz Amin, Syazwan Subhi, Mohsin, Faris dan Kecik. Tapi kesemua rumah mereka kosong tanpa penghuni. Kami juga tidak lupa melihat rumah Pak Cik Jalil, Pak Cik Musa, Pak Yusof dan beberapa lagi warga surau yang kami kenal. Namun, hampa.

Terasa bagaikan kami di sebuah kawasan yang ditinggalkan. 

Sunyi. 

Sekali-sekala, ada rasa tidak puas hati dengan Mak dan Abah kerana tidak membawa kami pulang ke kampung dan beraya seperti orang lain. Beraya di taman perumahan ini tidak seronok dan membosankan. Bagaimanapun, rasa marah itu hanya mampu saya pendam.

Sambil berlegar-legar di tengah-tengah kesunyian jalan TKP 1 itu, saya ternampak sesuatu yang menarik pandangan.

Di perkarangan rumah Mohsin, terlihat sebuah akuarium dan di dalam akuarium itu, ada seekor kura-kura yang berumur dalam lingkungan setahun berenang-renang di permukaan air; cuba untuk menghirup udara di atas air. Warnnya hijau gelap dengan belang hijau cerah dan ada bulatan oren di kiri kanan lehernya. Besarnya lebih kurang sebesar cawan teh dan ia berenang bersama-sama beberapa ekor ikan yang ada di dalam akuarium tersebut.

Saya tahu, kura-kura tersebut sudah berusia setahun kerana saya sendiri yang menjualnya kepada Mohsin tahun lepas. Saya beli dengan harga RM8 tapi saya jual kepada Mohsin pada harga RM3 kerana Mak tidak membenarkan saya membelanya. Mak kata, kura-kura boleh bawa jin masuk ke rumah. Saya tidak percaya kata-kata Mak, tapi saya akur untuk menjualnya sahaja daripada dileter setiap hari. Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya.

Tapi, pada hari ini, saya mendapat peluang untuk bertemunya kembali. Rasa gembira kerana kura-kura itu masih hidup dan sudah pun berkali ganda lebih besar dari ketika saya menjualnya. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya berasa sedih dengan keadaannya.

Terpaksa berenang-renang setiap saat dan perlu mengayuh untuk menghirup udara tanpa ada tempat untuknya berpijak dan berjemur. Andai selama ini keadaannya begitu, maknanya, sudah setahun kura-kura itu tidak berhenti dari berenang dan mengayuh kakinya. Mesti sangat letih dan terseksa!

Pemikiran seorang pelajar Tahun 3.

Tanpa berfikir panjang, saya terus memanjat pagar rumah Mohsin dan terus membuka akuarium tersebut untuk mencapai kura-kura itu. Ari pula, berdiri di luar pagar; berjaga dan memerhati andai ada manusia lain di situ dan mungkin akan menangkap kami yang berkelakuan seperti pencuri pada waktu itu.

Selesai saya 'menyelamatkan' kura-kura itu, kami terus memecut pulang ke rumah dengan baju raya yang lenjun dibasahi air akuarium.

Di rumah, saya letakkan kura-kura itu di dalam sebuah besen, saya isikan sedikit air supaya ia tidak kering dan saya berikan beberapa helaian sayur yang saya jumpa di dalam peti sejuk. Mak terkejut kerana di hadapan rumah ada binatang yang tidak disukainya. Seperti boleh diagak, Mak membebel dan menyuruh kami membuangnya.

Dengan berat hati, saya membawa kura-kura itu ke sungai di hujung jalan kami. Saya turun, dan dengan hati yang hiba, saya lepaskannya ke sungai. 

Saya lepaskan di kawasan yang ada banyak kangkung liar yang boleh ia makan dan ada tebing-tebing pasir yang boleh  ia gunakan untuk ia berjemur. Saya berharap, agar kura-kura itu lebih aman dan tidak terseksa di situ. Andai ada peluang, mungkin kita akan bertemu kembali; walaupun harapannya amat tipis.

Sejak hari itu, saya tidak pernah ternampak kelibat kura-kura di sekitar kawasan itu. Mungkin ia sudah berenang jauh ke hujung sungai. 

Tapi, sekali-sekala, saya akan berhentikan basikal di tebing sungai itu dengan harapan yang tidak pernah putus untuk bertemu dengannya kembali.