Thursday, October 9, 2008

Pekerja asing di bumi asing

9 Oktober 2008

Selepas sahaja pulang dari kelas Bahasa Jepun, lebih kurang pukul 4.20 petang, saya terus bergegas ke perhentian bas yang berdekatan. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup di petang musim luruh ini. Malam semalam hujan turun agak lebat. Kehadiran hujan sedikit sebanyak mengawal suhu supaya tdak terlampau sejuk. Syukur kerana Allah masih membenarkan hujan untuk turun di bandar New Brunswick ini. Tidak perlulah kami memakai baju-baju yang tebal untuk ke kelas.

Saya berdoa didalam hati agar saya sempat sampai ke kampus Livingston sebelum pukul 5.00. Mujurlah bas ekspress ke Livingston tiba tidak lama kemudian.

Apabila tiba di sana, masa baru sahaja menunjukkan pukul 4.40 petang. Masih ada 20 minit sebelum saya memulakan sesi pertama saya sebagai seorang pekerja asing di bumi yang asing ini. Setibanya saya disitu, saya mecari-cari jika ada tempat untuk saya duduk dan menulis. Saya terlupa bahawa ada pelbagai borang yang perlu diisi sebelum saya boleh memulakan kerja saya hari ini. Maklumlah, saya disini hanyalah sebagai pendatang yang masih belum mempunyai banyak hak. Maka, ramai orang masih tidak yakin dengan kewujudan diri ini. Alhamdulillah, jumpa juga saya dengan sebuah meja dan beberapa kerusi.

Habis mengisi borang-borang yang beraneka soalan, saya terus bergerak menuju ke dewan makan pelajar-pelajar Livingston. Di situlah tempat yang akan saya bekerja untuk mendapatkan seberapa banyak pengalaman dan sedikit harta dunia untuk terus hidup di tempat asing ini.

Sesampai sahaja di dewan makan tersebut, saya terus berjumpa dengan seorang pengurus pelajar di situ. Beliaulah yang menerima permintaan saya untuk bekerja di situ beberapa hari yang lepas. Walaupun beliau merupakan seorang orang kulit hitam dan bukan Islam, tetapi beliau sangat peramah dan cuba membantu saya seupaya mungkin. Beliau juga menunjukkan kepada saya ruang untuk bersolat kerana beliau kenal dengan senior saya yang pernah dan akan bekerja di situ kembali.

Subhanallah. Walaupun pengurus ini bukan seorang Muslim, tetapi beliau sangat memahami kami melebihi Muslim-Muslim yang pernah saya kenal sebelum ini. Bukan untuk menghina, tetapi kadang-kala terkilan dengan sikap saudara seagama sendiri yang memandang remeh ibadah solat. Mudah-mudahan, Allah membuka pintu hati pengurus ini untuk menerima Islam suatu hari kelak.

Semasa saya cuba menanyakan soalan-soalan tentang kerja tersebut, beliau kurang memahami percakapan saya kerana Bahasa Inggeris saya yang masih lemah. Terasa segan pula kerana sebagai seorang pelajar universiti di sini, saya masih kurang fasih berbahasa Inggeris.

Sebelum saya mula bekerja, pengurus tadi memberi saya sehelai T-shirt dan sebuah topi. Selepas itu, beliau menerangkan beberapa perkara yang perlu saya tahu sebelum saya boleh memulakan tugas termasuklah cara menggunakan mesin "punch-card", tugas-tugas biasa yang perlu dilakukan, kebersihan, kawasan-kawasan persekitaran dewan makan dan sebagainya. Kemudian, saya diserahkan kepada pengurus yang lain.

Beliau merupakan seorang orang kulit putih, bersikap santai, tetapi sangat peramah. Di dalam bimbingan beliau, saya belajar beberapa perkara lagi. Beliau menunjukkan kepada saya cara mengisi makanan yang telah habis, dimana makanan-makanan tersebut perlu diambil dan juga cara membuat piza!

Pada mulanya, saya berasa agak ralat untuk membuat piza tersebut kerana kebanyakan bahan-bahannya dibuat dari daging khinzir. Mujurlah kami dikehendaki memakai sarung tangan. Maka saya tidak perlu memegang daging tersebut secara terus. Di dalam hati, terasa sedikit tercabar iman ini kerana terpaksa memegang sesuatu yang dilarang oleh Islam. Beberapa lama kamudian, saya mula biasa membuat piza-piza tersebut tetapi saya lebih banyak membuat piza sayuran dan piza kosong. Apabila ruangan untuk meletak piza sudah penuh, saya berhenti dan mencari tugasan lain.

Tepat jam 7.00 malam, saya dibenarkan untuk berehat dan makan. Dikesempatan ini, saya tunaikan solat Maghrib dan mengisi perut yang mula berbunyi. Mulanya, saya ragu-ragu untuk makan makanan-makanan di situ (kerana banyak daging yang tidak halal), tetapi nasib baik ada sebuah kaunter yang menyediakan makanan-makanan "vegetarian". Terisi juga perut ini dengan makanan-makanan "vegetarian" walaupun tekak Melayu ini masih belum biasa dengan makanan-makanan tersebut.

Apabila terpaksa makan berseorangan, timbul perasaan sayu dalam hati. Mahu berbual, tiada teman. Jika terjumpa pun, mungkin saya akan menghadapi masalah komunikasi gara-gara masih tidak fasih bercakap dalam Inggeris.

Terdetik pelbagai persoalan tentang bekerja sebagai pekerja asing di bumi orang ini. "Inikah perasaan seorang yang terpaksa bekerja sebagai pekerja asing?", "Inikah pengalaman yang terpaksa mereka tempuh?", "Bagaimana mereka boleh bertahan hidup sebagai orang asing di tempat uang tidak mereka biasa ini?". Macam-macam lagi persoalan yang bermain di kotak fikiran yang kecil ini.

Terasa insaf pun ada. Teringat sewaktu berada di tanah air sendiri dahulu. Saya sering memandang serong kepada pekerja-pekerja asing. Di dalam pemikiran saya, mereka hanyalah penyibuk di tempat orang. Mereka juga perampas kerja-kerja yang sepatutnya diberikan kepada anak tempatan. Astaghfirullah. Jikalah saya menyedari kesusahan yang terpaksa mereka hadapi, pada masa itu, mungkin saya tidak akan berfikir seperti begitu.

Sebaliknya, mugkin saya akan lebih menghoramti merek kerana sanggup berkorban meninggalkan kampung halaman demi mencari rezeki Allah di tanah orang. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, saya menyedarinya sekarang daripada tidak menyedarinya langsung.

Selepas sahaja rehat, saya kembali menyambung tugas. Tepat jam 10.00malam, saya pun keluar dari dewan makan tersebut dengan harapan baru; iaitu menjadi manusia yang lebih tabah dan lebih memahami jiwa dan perasaan orang lain.

Walaupun kaki dan badan terasa kepenatan, tetapi saya berpuas hati dengan pengalaman pertama saya sebagai seorang pekerja asing di bumi asing ini.
Pemandangan di sekitar kampus Livingston