Thursday, June 14, 2012

Mereka kata "Duit Bukanlah Segalanya"

Ramadan 1996


Petang itu, saya duduk-duduk di ruang tamu, sambil melihat Mak menjahit langsir yang ditempah oleh pelanggan. Selain bertugas sebagai suri rumahtangga sepenuh masa, Mak juga mengambil upah menjahit di rumah. Emak lebih mahir menjahit pakaian wanita, seperti baju kurung, blouse dan kebaya, tetapi sesekali ada juga yang menempah langsir dan benda-benda lain.

Seronok melihat aksi beliau yang lincah bergerak, bermain dengan alatan-alatan menjahit. Selepas menebar kain langsir di atas lantai ruang tamu, pembaris L dicapai (pembaris yang biasa digunakan oleh tukang jahit) untuk membuat ukuran. Tangan kiri pula tersepit kapur jahit untuk menanda bahagian yang sudah diukur. Selesai membuat ukuran, gunting pula melekat di tangan dan emak menggunting dengan laju; menujukkan beliau sudah biasa dengan tugas tersebut dan setiap langkah dibuat tanpa perlu difikir dua kali.

Sambil menjahit, Mak yang perasan saya sedang duduk memerhati beliau 'bekerja', memulakan perbualan untuk menghiburkan diri saya dan juga beliau; yang seperti sudah bosan dengan rutin menjahit. Memang tabiat Mak, sambil-sambil membuat kerja, beliau akan berborak dengan sesiapa sahaja yang ada di sekitar beliau.

Saya mendengar bualan Mak, yang lebih kepada leteran, sambil mata saya tetap terpacak pada pergerakan tangan beliau. Laju dan lancar.

"Makcik Nora (bukan nama sebenar) ni kejam betul. Suruh Mak jahit langsir untuk satu rumah! Mak bukannya ada masa sangat nak jahit langsir besar-besar ni. Kain yang dia bagi sudahlah susah nak dijahit, bagi masa 2 minggu sahaja. Sekarang ni musim orang nak raya, jahitan Mak banyak lagi. Marah orang nanti bila tau baju dia orang tak siap. Tetapi sebab jahit langsir boleh dapat duit lebih, terpaksa juga mak buat. Kalau tak buat nanti, tak ada duit la kita nak raya"

Memang benar kata Mak. Jahitan untuk musim raya biasanya luar biasa banyak. Boleh dilihat dengan berlambaknya bungkusan-bungkusan kain yang belum berusik di dalam bilik jahitan Mak. Saya tidak pasti sama ada Mak sempat menyiapkan semua sekali atau tidak. Tapi saya tahu, Mak akan mencuba sehabis boleh untuk menyiapkannya dan setiap masa terluang beliau akan ditemani oleh helaian-helaian kain.

Untuk langsir Makcik Nora, Mak beritahu yang beliau tetapkan RM1,000 untuk harga upah jahitan memandangkan kerjanya banyak dan leceh.

Dalam hati saya saya berbisik "Wow! RM1,000! Boleh beli 3 basikal. Boleh makan KFC hari-hari. Boleh beli itu. Boleh beli ini." Perkiraan seorang budak darjah 2.

Mak pula ada perkiraan lain. Mak cakap, bila beliau dapat upah itu, beliau nak beli kain untuk buat baju raya kami. Mak juga nak buat langsir baru memandangkan langsir rumah yang berwarna hijau sudah sangat uzur dan berkulat. Ada lebihan, Mak nak beli kain untuk buat sarung kerusi yang baru. Barang-barang untuk membuat kuih dan hidangan raya jga akan menggunakan duit itu. Kalau masih ada baki, Mak nak simpan untuk kegunaan persekolahan kami tahun hadapan.

Saya yang mendengar hanya mampu mendengar.

"Tak dapat la nak minta belikan basikal baru".

2 minggu seterusnya adalah dua minggu yang sangat sibuk untuk Mak. Rutin jahitan beliau akan bermula seawal waktu sahur. Selesai sahaja bersahur, Mak akan terus duduk di lantai, menanda dan memotong kain. Mak akan berhenti apabila azan subuh berkumandang untuk bersolat. Selesai solat, tugasan sebagai suri rumah beliau pula perlu dipenuhi; seperti membasuh baju, mengemas rumah, menyapu dan lain-lain tugas. Selesai tugas suri rumah, tugas tukang jahit akan disambung. Jika tidak di mesin jahit mencantum lembaran-lembaran kain, Mak akan berada di atas lantai memotong kain. Malam pula, jika tidak di tikar sejadah bersolat tarawikh, tangan Mak pasti akan memegang kain. Jika larat, Mak akan menyambung menjahit di mesin sehingga pukul 3 pagi sebelum ke dapur untuk menyediakan sahur. Ketika saya tidur, bunyi kayuhan mesin jahit Mak masih boleh didengari.


Setelah dua minggu berlalu, Makcik Nora datang ke rumah kami seperti yang kami jangkakan. Mak sudah bersedia di pintu rumah dengan beg-beg plastik besar yang berisi langsir. Mak kelihatan tidak sabar untuk menerima habuan beliau.

Selesai beg-beg plastik diangkat ke dalam kereta Makcik Nora, dia pun mengeluarkan wang untuk membayar upah jahitan Mak.

RM40 sampai ke tangan Mak.

Mak tercengang seketika seperti tidak percaya.

"RM40? Harga upah langsir tu RM1,000 macam aku cakap hari tu. Mana bayaran lebih?" kata Mak.

"RM40 cukup la. Bukan susah pun nak buat langsir. Kawan-kawan punya harga, bagi la murah sikit. Aku nak kena cepat ni. Apa-apa hal nanti aku jumpa kau lagi" jawab Makcik Nora.

Makcik Nora terus masuk ke dalam kereta dan meluncur ke jalanraya lalu lesap dari pandangan.

Mak masih tercengang di hadapan pintu seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Usaha dua minggu beliau, harapan beliau untuk menukar langsir, harapan beliau untuk membeli kain untuk menjahit baju raya kami, harapan beliau untuk sarung kerusi baru, dan juga persediaan sekolah kami. Semuanya ranap secara tiba-tiba.

Bukannya mudah untuk mendapatkan RM1,000. RM1,000, bukannya harga yang Mak buat-buat. Itu harga yang telah dijanjikan. Harga itu jauh lebih murah jika dibandungkan dengan kedai-kedai lain yang menjahit langsir. RM1,000 itu adalah harga dua minggu emak bertungkus lumus dalam penat beliau menjaga 6 orang anak.

RM1,000 kini hanya tinggal RM40.

Saya yang berada di belakang Mak tidak faham apa-apa dan hanya memerhati.

Dan raya hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Mak mampu untuk mengumpul duit lain hasil dari jahitan yang lain.

Tahun itu, raya kami menjadi lebih sederhana dari biasa. Tanpa baju baru, tanpa makanan istimewa, dan sudah tentu, tanpa dapat berjumpa dengan saudara mara di kampung.


**************************************************************************

Setelah lebih 10 tahun berlalu, Mak menceritakan semula kisah itu kepada saya. Dai cerita Mak, jelas menunjukkan yangMak masih berdendam dengan Makcik Nora atas apa yang berlaku.

Seperti tidak percaya diperlakukan sezalim itu.



(Artikel ini ditulis pada 15 Jun 2012 apabila saya membaca kisah PM Najib menghabiskan RM3 juta hanya untuk lawatan ke 3 tempat. Pembaziran yang sangat melampau. Saya sebagai seorang rakyat yang sangat-sangat menghargai nilai duit rasa sangat tercabar apabila seorang 'pemimpin' menggunakan wang sewenang-wenangnya. Kalaulah dia tahu peritnya seorang rakyat mencari sesuap nasi.)