Monday, March 12, 2012

Pertama kali saya kenal Tuhan

Jumaat sekitar tahun 1997

Tahun itu, saya berada di dalam darjah 3 dan bersekolah dalam sesi pagi. Antara perkara yang paling seronok bersekolah sesi pagi adalah pada hari Jumaat-nya. Sesi sekolah tamat lebih awal berbanding hari biasa.

Hari itu, loceng dibunyikan tepat pada pukul 12:35 tengah hari. Suasana sekolah yang diam dan sunyi ketika sesi pembelajaran tiba-tiba menjadi hiruk-pikuk dengan jeritan dan larian pelajar-pelajar. Dan saya adalah salah seorang dari mereka.

Selesai sahaja mengucapkan terima kasih dan memberi salam secara 'berjemaah' kepada cikgu yang bertugas pada waktu tersebut, saya bingkas keluar dari kelas dan berlari mendapatkan basikal yang letaknya di hujung blok hadapan.

Hari Jumaat kali ini, adalah Jumaat yang lebih istimewa berbanding Jumaat-Jumaat yang pernah saya alami seumur hidup. Jumaat kali ini, untuk pertama kalinya dalam sejarah, abang akan membawa saya untuk bersolat Jumaat bersama beliau. Solat yang kelihatan istimewa tetapi saya tidak pernah diberi peluang untuk menyertainya.

Ada beberapa sebab yang membuatkan saya menganggap solat Jumaat istimewa. Satunya, abang diberi izin untuk memakai baju raya pada hari tersebut. Siap bersongkok. Kedua, lebih kurang pukul 1 petang, abang bersama rakan-rakan beliau akan berbasikal ke suatu tempat yang dipanggil masjid untuk bersolat beramai-ramai. Naik basikal bagaikan ingin pergi rombongan. Nampak seronok! Ketiga, disebabkan solat Jumaat, waktu sekolah habis awal.

Saya, yang sebelum itu masih buta tentang solat, hanya mampu melihat abang dan kawan-kawannya bergelak dan bergembira dalam perjalanan mereka ke masjid. Dengan baju melayu berwarna-warni bersarung di badan masing-masing.

Al-maklum, saya hanya pandai bersolat di pertengahan tahun 3. Maka, tiada sebab untuk abang membawa saya bersolat di masjid sekali dengan beliau. Jika saya ikut pun, mungkin hanya akan memalukan beliau di hadapan rakan-rakan beliau kerana saya masih tidak tahu bersolat walaupun sudah di darjah 3. Saya juga, malu kepada rakan-rakan sebaya yang sudah pun bersolat sejak darjah 1.

********************************************************************

Hari itu, saya mengayuh lebih pantas berbanding biasa. Perjalanan pulang ke rumah yang biasanya mengambil masa selama 20 minit dan sejauh lebih kurang 5km, saya habiskan dalam 10 minit sahaja. Hati berasa sangat teruja kerana akhirnya, saya dibenarkan untuk menyertai abang ke 'pesta' yang dinamakan 'solat Jumaat'.

Sesampai sahaja di rumah, beg yang digalas terus dicampak ke kerusi ruang tamu. Dengan bergegas, saya bersiap seperti yang biasa abang buat. Mandi, berbaju melayu dengan seluar sukan, mencari butang baju melayu dan mencapai songkok. Abang yang biasanya sampai lebih awal ke rumah sudah pun bersiap dan menunggu saya di ruang tamu.

Lebih kurang pukul 1 petang, kami menyorong basikal masing-masing keluar dari rumah dan terus menonong ke jalan raya dan menuju ke masjid yang jauhnya tambahan 1-2 km dari sekolah rendah kami. Di pertengahan jalan, kami bertembung dengan rakan-rakan abang dan kami sertai mereka bergerak bersama 'rombongan' menuju ke masjid.

Tiba di masjid, kami kuncikan basikal-basikal kami di belakang masjid berdekatan dengan tandas. Waktu masih awal sebelum azan Zohor berkumandang. Kata abang, kebiasaannya beliau dan kawan-kawannya akan melepak dahulu di 'pasar' yang hanya dibuka pada hari Jumaat. Saya yang masih tidak tahu apa-apa hanya mengikut keputusan mereka.

Di pasar, suasananya seperti pesta! Pelbagai gerai yang menjual makanan bersusun di kiri kanan jalan yang menuju ke pintu utama majid. Cendol, roti goreng (yang kami panggil Roti Farina), samosa, karipap, mee sup, nasi beryani dan pelbagai lagi makanan yang mampu membuat diri terliur terhidang di meja-meja gerai. Bau-baunya dan warnanya sangat menarik menyebabakan perut berkeroncong; perut yang sudah penat mengayuh dari sekolah dan kemudian berpatah balik untuk ke masjid dan tidak pula berkesempatan untuk menyantap hidangan tengahari. Kopiah, beg tangan, tali pinggang, minyak wangi dan pelbagai pakaian solat juga ada dijual di situ.

Kawan-kawan abang ada yang membeli cendol, ada juga yang membeli samosa. Saya pula, selepas memeriksa wang yang ada di dalam saku, berkeputusan untuk membeli samosa yang kata mereka, sangat berbaloi untuk dibeli. Harganya agak mahal bagi seketul kuih (50 sen ketika itu), tetapi dengan saiznya yang lebih besar berbanding kuih biasa dan dengan testimoni dari mereka, menyebabkan saya membelinya tanpa berfikir panjang. Walaupun duit yang saya ada ketika itu cukup-cukup sahaja untuk membeli samosa tersebut, tapi jika dibandingkan dengan rasa dan kenyangnya, bagi saya, ia sangat berbaloi.

Selang 10 ke 20 minit kemudian, azan berkumandang dan kami terus masuk ke ruang solat di dalam masjid. Abang dan kawan-kawannya membawa saya ke tingkat atas masjid di mana ramai pelajar-pelajar sekolah yang lain berkumpul. Ruangnya agak gelap tetapi meriah dengan suara kanak-kanak lain yang lebih kurang sebaya dengan kami. Sepanjang sesi khutbah tersebut, beberapa kali khatib mengingatkan makmum di tingkat atas (kebanyakannya kanak-kanak) supaya diam, namun tidak diendahkan.

Bagaimanapun, saya tidak berborak pada waktu khutbah kerana saya tiada kawan. Untuk berborak dengan abang dan kawan-kawannya, seperti tiada apa yang boleh diborakkan.

Maka, saya tiada pilihan lain selain mendengar khutbah yang diberikan oleh khatib. Dengan tekun, saya mendengar khutbah yang dilaungkan dari speaker-speaker masjid.

Dalam khutbah itu, saya tersentap apabila khatib tersebut bercakap Allah. Yang saya ingat, beliau ada mengatakan hidup ini adalah untuk Tuhan dan kita tidak layak mengaku diri sebagai Islam selagi kita tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan dan segala benda lain diletakkan selepas Allah.

Isu itu antara isu yang menyebabkan saya terpana.

Suasana tingkat 2 masjid yang hiruk-pikuk itu tidak saya hiraukan. Cuma ayat-ayat khutbah tadi yang menarik perhatian saya.

Habis khutbah, iqamah dibaca dan kami berdiri untuk bersolat. Didalam solat, saya masih berfikir tentang Tuhan, tentang Allah. Saya tertanya-tanya, di mana Allah selama ini? Kenapa selama ini saya tidak pernah tidak pernah tahu wujudnya Tuhan yang dipanggil Allah? Kenapa selama hidup ini saya tidak tahu yang saya sebenarnya diciptakan untuk menjadi hamba kepada Tuhan yang bernama Allah?

Terasa hidup saya selama 9 tahun itu kosong! Kosong sekosong-kosongnya! Tanpa ada sebarang tujuan.

Hari itu, saya belajar sesuatu yang amat besar dalam hidup. Saya belajar yang saya mempunyai Tuhan!

Pengalaman pertama ke solat Jumaat itu sangat sukar untuk dilupakan. Pengalaman itu disekalikan dengan 'perjumpaan' dengan Tuhan.

********************************************************************

Usai solat, kami capai basikal dan terus meluru ke jalan raya untuk pulang ke rumah. Saya, masih tenggelam dalam soalan yang berat di dalam diri.

Di masa saya campakkan Tuhan selama ini?