Thursday, April 19, 2012

"Bagi saya, itu makanan bagus"

26 Februari 2010




Malam itu, saya rajinkan diri untuk ke masjid. Sudah agak lama kaki ini saya biarkan tidak berdiri bersolat maghrib secara jemaah di masjid. Dek kesibukan tugasan kelas dan aktiviti-aktiviti lain, di tambah pula dengan jarak masjid dan rumah yang agak jauh, agak jarang saya berjaya menggagahi diri untuk bermaghrib di masjid. Walaupun malam itu disimbahi hujan-hujan renyai, disertai angin musim bunga yang dingin menusuk tulang, niat untuk ke masjid tetap saya teruskan.

Sesudah solat maghrib, saya duduk mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang shaykh yang diterbangkan dari Texas. Saya tertarik untuk mendengar ceramah beliau kerana khutbah yang beliau sampaikan pada solat Jumaat tengah hari tadi sangatlah membuka minda dan hati. Ceramah yang beliau sembahkan pada malam itu berkisar tentang teknik untuk menjadi pemimpin di samping cara untuk untuk menjadi pendengar yang efektif.

Ketika ceramah hampir tamat dan jemaah bersiap-sedia untuk menunaikan solat isyak, bahu saya ditepuk dari belakang. Saya menoleh dan terlihat kelibat seorang remaja lelaki. Tingginya lebih kurang 5 kaki 9 inci dan berambut kemerah-merahan. Kulitnya putih dan ada beberapa titik oren boleh dilihat di muka beliau.

Rakan saya, Yusuf, seorang Muslim berkulit putih kacukan Arab turut hadir ke kuliah tersebut. Gembira sedikit hati melihat kehadiran Yusuf malam itu. Kehadiran beliau memberi harapan kepada saya untuk tidak pulang seorang diri sambil menunggu bas sendirian di bawah sejuk dan gelap malam.

Selepas solat, kami berjalan bersaingan menuju ke stesen bas yang berhampiran. Hujan renyai masih belum berhenti. Angin juga masih sayup-sayup bertiup. Walaupun sudah berbaju 3 lapis, angin sejuk masih berjaya menerjah untuk sampai ke kulit. Dinginnya bagaikan mencucuk-cucuk hingga ke tulang.

Skrin di stesen memberitahu bas akan tiba 20 minit lagi. Malam-malam seperti ini, biasanya bilangan bas universiti yang beroperasi kurang sedikit adalah berbanding waktu siang yang kekerapannya adalah setiap 7 minit. Untuk menunggu selama 20 minit, walaupun tidaklah kelihatan lama, tapi dengan hadirnya angin, hujan dan suhu di sekitar 5 darjah Celsius, adalah sesuatu yang menyeksakan.

Sambil menunggu bas, saya dan Yusuf berborak. Pelbagai perkara kami bualkan sepanjang waktu menunggu itu. Dari topik kuliah tadi hingga ke latar belakang keluarga masing-masing.

Perbualan kami tiba-tiba masuk ke topik makanan dan masakan. Beliau bertanya mengenai rutin makan saya, adakah saya sering beli luar, masak sendiri atau pun dari sumber lain; memandangkan saya bukan orang US dan mungkin mempunyai gaya makan yang berbeza.

Saya hanya berkata, "Normally I cook but if I'm too lazy, Subway is cheap and taste good at the same time. I cook because its cheaper and saves more time. I don't really like to go out just to buy food."

"You cook often?" tanya Yusuf dan saya menjawab "Not really. Maybe once or twice a week. If I have time, I'll cook more. And if I cook, I'll make sure its enough for three days."

"That's mean you always have home made food. For me, its a good food. Eating outside all the times is not good for your health, you know" kata Yusuf. "Burger Kings, McDonald's, Wendy's and all those stuff. Who knows when you will die because of heart disease because of too many many cholesterol in your system" tambah beliau.

"I rarely have home made food and I don't know how to cook so I have to rely on them (fast food) almost everyday. Its not good but they're cheap and those are the things that I can afford".

Benar juga kata beliau.  Di US, makanan segera seperti McDonald's, Burger King dan lain-lain teramatlah murah dan boleh didapati hampir di mana-mana. Burger 'Double Cheese' McDonald's boleh di beli dengan harga satu dollar sahaja dan Burger Kings juga mempunyai menu "1 Dollar Meal". Dengan akses yang mudah dan harga yang sangat murah, sudah tentu sesiapa sahaja mampu dan boleh mendapatkannya.

Cuma mereka perlu mempertimbangkan dari sudut kesihatan kerana mereka tahu, makanan tersebut jika diambil dalam jangka masa panjang boleh memudaratkan. Tapi untuk orang seperti Yusuf, apa pilihan yang mereka ada? Untuk mendapatkan makanan yang lebih sihat, harganya biasa lebih tinggi dan beliau tidak mempunyai masa untuk memasak kerana sibuk dengan kelas dan kerja sambilan untuk membayar yuran pengajian. Di tambah pula dengan kekurangan pengetahuan tentang masakan dan skil untuk memasak. Maka, makanan segera adalah pilihan untuk mereka.

Saya terfikir sejenak.

Bagi saya, memasak lebih memudahkan kerana saya tidak perlu keluar, berjalan di dalam sejuk dan menunggu bas. Juga, setelah membuat kira-kira, masak di rumah jauh lebih menjimatkan berbanding makan di luar. Malah, kerana saya mempunyai sedikit ilmu dan skil mengenai makanan, maka masak sendiri menjadi pilihan saya.

Tapi untuk orang-orang seperti Yusuf, dapat menikmati makanan masakan rumah boleh dikatakan satu 'kemewahan' kerana tidak ramai orang tahu dan mampu untuk memasak. Tambah-tambah lagi apabila makanan tersebut sukar dijumpai di US (seperti makanan Melayu). 'Nilai'nya akan menjadi lebih tinggi. Kata beliau, walaupun hujung minggu ibunya akan datang melawat, namun, mereka masih akan makan di luar. Dapat menikmati makanan yang dimasak di rumah, adalah sesuatu yang hebat!

Saya hanya tergelak.

Teringat pula senario di Malaysia. Betapa makanan-makanan segera diagung-agungkan dan manusia sanggup beratur panjang untuk membelinya. Harganya pula di Malaysia biasanya lebih mahal berbanding makanan di gerai biasa maka boleh dikatakan hanya orang-orang berada yang boleh menikmati makanan segera tersebut dan untuk orang biasa, boleh dinikmati hanya di 'musim gaji'.

Selepas berfikir beberapa ketika, saya berkata kepada Yusuf, "You know what, I'm gonna cook for you this weekend. I'll give you a call and you can come to my house. Maybe this is your only chance to try my 'exotic food.'"

Kami ketawa.

Bas tiba ke stesen tersebut dan kami sambung perbualan kami di dalam bas sambil menuju ke perhentian masing-masing.

Dalam hati, saya berkata "Yusuf, Ahad ni, aku akan pastikan lidah kau terbakar."