Wednesday, July 25, 2012

Surau Kami, Taman Permainan Kami

Ramadhan 1997

Surau An-Nur, Taman Kantan Permai yang baru

Masih ada 30 minit sebelum masuk waktu Subuh ketika saya menyudahkan sajian sahur pagi itu. 30 minit itu, saya gunakan untuk mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Ramadhan tahun itu jatuh pada hari sekolah, maka, selepas sahur, tiada ruang untuk kami tidur-tidur seperti tahun sebelumnya.

Ketika azan Subuh berkumandang, saya berjalan menempuhi hening pagi untuk ke surau Taman Kantan Permai yang letaknya selang 4 buah rumah dari rumah kami. Hari itu, surau penuh luar biasa memandangkan ramai yang mengambil kesempatan untuk berjemaah Subuh di surau, alang-alang sudah terbangun untuk sahur.

Kebiasaannya, subuh di surau kami hanya dihadiri oleh lingkungan 20 orang. Tetapi hari itu, surau penuh sehingga saf belakang. Saf belakang yang selalunya dibentuk oleh barisan kanak-kanak seperti saya, pagi itu dipenuhi oleh pakcik-pakcik yang kurang saya kenal.

Usai solat, saya terus menuju ke perhentian bas untuk ke sekolah.

Pulangnya saya dari sekolah, rutinnya, saya langsung menuju ke surau untuk bersolat Zohor. Waktu Zohor biasanya masuk betul-betul ketika saya turun dari bas sekolah. Dengan pakaian sekolah yang masih bersarung dan beg yang masih bergalas, saya ke surau untuk bersolat jemaah bersama beberapa orang pakcik, pakcik posmen dan kawan-kawan lain, dengan Pak Yusop selaku imam.

Habis sahaja solat, saya akan berehat-rehat dahulu di serambi surau sambil memerhati gunung di hujung Taman Kantan Permai yang dihiasi oleh awan-awan yang bertompok-tompok di langit biru. Udara tengahari di taman itu mendamaikan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja terlena dipuput bayu halus.

Kadang-kala di waktu cuti, saya akan mencari peluang untuk berbaring dan tidur di surau kerana surau itu redup, tenang, dan nyaman dan sangat kondusif untuk dijadikan tempat tidur ketika cuaca di luar terik dek sinaran matahari Zohor.

Selepas puas mengelamun di serambi, saya menyarung sepatu dan berjalan menuju ke pagar surau untuk pulang ke rumah. Ketika memijak simen di laman surau, saya boleh perhati ada beberapa kawasan yang berlubang-lubang 'hasil tangan' kami ketika bermain gasing di situ. Di laman simen itulah, tempat saya dan kawan-kawan berlatih bermain gasing. Pernah beberapa kali kami ditengking dan dimarah oleh pakcik-pakcik surau kerana merosakkan harta benda surau, namun kami buat degil dan tetap bermain di situ sehingga berlubang-lubang simen tersebut kami kerjakan.

Sambil berjalan menuju ke rumah, saya dapat melihat ruangan membasuh pinggan surau kami. Di situ, tempat saya akan bekerja membasuh pinggan dan cawan pada waktu malam nanti. Saya sudah berjanji dengan Pakcik Ghazali untuk membasuh pinggan dan cawan selepas moreh setiap malam di sepanjang bulan Ramadhan tahun itu. Pakcik Ghazali pula berjanji untuk memberi upah sebanyak RM300 jika saya boleh menyiapkan tugasan seperti yang saya janjikan. Setakat malam tadi, saya masih mampu membuat tugasan tersebut tanpa ada sebarang masalah.

Petang itu, saya hanya berehat di rumah menunggu buka dan hanya keluar untuk bersolat Asar di surau.

Selesai berbuka dengan ala kadar, saya terus mudik ke surau untuk bersolat Maghrib. Maghrib bulan Ramadhan biasanya lebih kosong berbanding hari biasa. Terbalik dengan waktu Subuh. Namun, untuk saya, sedaya upaya saya mencuba untuk bersolat di surau. Sesekali, jika saya sampai awal ke surau, saya akan menyertai jemaah surau berbuka. Tapi kebiasaannya, saya lebih selesa berbuka di rumah sambil menonton TV.

Selepas solat Maghrib, saya pulang dan akan makan sepuas hati di rumah.

Sambil menunggu waktu Isyak, sering saya dan adik berlegar-legar di sekeliling Taman Kantan Permai, mencari lokasi yang sesuai untuk bermain mercun. Hanya apabila azan dilaungkan, baru kami bergegas menuju ke surau untuk bersolat Isyak dan bertarawikh bersama jemaah surau.

Tarawikh pula, jarang kami tunggu sehingga tamat 20 rakaat. 8 rakaat sudah cukup banyak untuk kami. Selepas 8 rakaat, kami akan berdesup keluar, bermain mercun dengan rakan-rakan lain di sekitar surau. Pernah sekali, ketika kami asyik bermain mercun 'Thunderclap', botol yng memegang 'Thunderclap' jatuh dan menyebabkan mercun tersebut terbang mendatar menuju masuk ke surau. Ahli surau menjerit keluar dari surau sambil mengejar kami yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Alhamdulillah, tiada apa-apa yang buruk berlaku waktu itu.

Habis sahaja solat witir, kami akan menuju kembali ke surau untuk menikmati moreh yang disediakan oleh wakil-wakil dari setiap jalan. Pakcik-pakcik surau pula, seperti tidak kisah dengan kehadiran kami yang hanya bersolat 8 rakaat dan hanya kembali ke surau untuk makan.

Tamat moreh, saya akan ke belakang surau, "bermain" di kawasan membasuh pinggan membersihkan pinggan dan cawan-cawan yang digunakan untuk moreh tadi.

Selesai tugasan disiapkan, saya pulang ke rumah untuk berehat bagi menyambung rutin yang hampir serupa pada keesokkan harinya; sehinggalah ke penghujung Ramadhan.

Bulan Ramadhan di Surau Taman Kantan Permai sentiasa meriah. Walaupun suraunya tidaklah semewah dan secantik surau lain, tapi itulah tempat bertumpunya penduduk Taman Kantan Permai. Di situlah tempat kami, kanak-kanak Taman Kantan Permai, bermain sambil pakcik-pakcik surau menjadi pengawas kami. Di situlah juga kami belajar erti berjemaah, erti berkawan dan erti hidup berjiran.

Walaupun kini surau itu diruntuhkan dan diganti dengan surau yang lebih besar di kawasan lain, namun suasananya tidak dapat menggantikan suasana ketika di surau lama.

Semoga memori di surau tersebut dapat disambung di Surau An-Nur Taman Kantan Permai yang baru yang dihadiri oleh ahli Taman Kantan Permai yang baru.