Sunday, March 10, 2013

Soalan Subjektif yang Berjawapan Objektif




54%

Besar nombor tersebut ditulis di hujung kertas peperiksaan Matematik Tambahan yang baru sahaja saya terima dari Cikgu.

Nombor itu ditulis dengan pen merah. Merah bagaikan api yang menyala yang memberitahu saya sudah melakukan suatu dosa.

Saya belek lampiran demi lampiran kertas peperiksaan tersebut dengan harapan bahawa mungkin Cikgu tersilap menanda. Mungkin juga Cikgu tersilap menambah markah keseluruhan untuk semua soalan di dalam kertas tersebut yang menyebabkan markahnya begitu sikit.

Malang sekali, harapan saya hampa. Tiada apa yang mampu saya buat untuk memperbaiki markah kertas peperiksaan tersebut.

Setelah puas membelek, saya letak kertas tersebut di atas meja dengan muka depan kertas tersebut dibalikkan menekap permukaan meja. Tidak mampu untuk saya menenungnya lebih lama. Melihat markah tersebut lama-lama bagaikan membiarkan hati saya dipanggang dan dikelar. Pedih.

'Masakan seorang pelajar kelas atas boleh dapat markah sebegini. Memalukan!' bisik hati saya yang masih pilu.

Cikgu masih menunggu di hadapan dewan ketika saya termenung, dikerumuni oleh pelajar-pelajar lain yang masing-masing mempunyai isu dengan markah dan jawapan mereka. Saya hanya memerhati mereka dari meja di belakang dewan.

Minggu itu, semua pelajar Tingkatan dikumpulkan untuk mengulangkaji di dewan besar sekolah. Bersama-sama menghabiskan sisa masa terakhir sebelum tibanya SPM.

Habis kelas, saya berjalan perlahan-lahan ke arah Cikgu. Waktu itu, masih ada dua orang pelajar sedang berbincang dengan Cikgu; meminta agar Cikgu memberi 'markah kasihan' kerana mereka hanya memerlukan dalam satu dua markah sahaja lagi untuk menaikkan gred mereka.

Saya hanya melihat gelagat mereka sambil memasang telinga.

Cikgu beralah dan gred mereka 'berjaya' dinaikkan.

"Zainal nak minta tambah markah juga ke?" sentap Cikgu yang akhirnya menyedari kehadiran saya di situ.

"Tak, Cikgu. Saya tak nak minta tambah markah. Kalau saya boleh tambah markah sekarang pun, SPM yang betul nanti bukannya boleh minta tambah-tambah markah." jawab saya selamba.

Pelajar-pelajar yang masih ada dengan kami membuat muka terkejut. Saya perasan, Cikgu juga terkejut tapi Cikgu sorok dengan terus melebar senyuman beliau yang biasa kami lihat.

Ketika melihat reaksi mereka, saya mula berasa bersalah. Cepat-cepat saya meminta izin dari Cikgu untuk ke dewan makan. Rasa bersalah kerana respon saya itu mungkin bukan jawapan yang tepat untuk soalan Cikgu. Cikgu mungkin berniat ikhlas untuk membantu saya menaikkan markah saya. Saya pula, seperti tidak sedar akan keadaan markah saya, mengambil ruang tersebut untuk memerli Cikgu dan kawan-kawan saya. Walaupun 'perlian' tersebut tidak saya niatkan untuk memerli.

Kaki saya, cepat-cepat saya hayun meninggalkan dewan. Tidak sanggup untuk terus berada dekat dengan mereka. Dalam perjalanan, saya memikir semula apa yang telah saya lakukan. Mungkin esok lusa, saya akan cuba untuk berjumpa dengan Cikgu untuk meminta maaf.

Walaupun masih berasa bersalah, jauh di sudut hati saya, terasa seperti saya telah membuat sesuatu yang betul. Satu, kerana saya akhirnya meluahkan apa yang saya rasa selama ini ketika melihat kawan-kawan yang sering mengecek kepada cikgu-cikgu untuk meminta markah lebih yang tidak sepatutnya mereka terima. Kedua, kerana saya memang tidak berminat dengan Matematik Tambahan. Matapelajaran yang mana soalannya subjektif, tetapi jawapannya sentiasa objektif.

Jika saya mampu menaikkan markah sehingga mendapat A pun, saya tidak pasti sejauh mana ia akan membantu saya di masa hadapan nanti. Terasa seperti subjek itu hanya membuatkan saya terperangkap. Terperangkap dalam khayalan soalan yang mempunyai banyak jawapan sedangkan jawapannya sentiasa satu. Subjektif yang menipu.

Lain sekali dengan subjek Biologi. Bila jawapannya subjektif, maka jawapannya juga subjektif. Selagi ada kaitan dengan soalan, mudah sahaja untuk mendapat markah. Itu baru dikatakan soalan subjektif.

Di perjalanan ke dewan makan, ketika mengenangkan markah subjek Biologi, hati saya berasa terubat sedikit setelah dirobek oleh markah Matematik Tambahan.

Apa-apa pun, esok  atau lusa, saya masih perlu mengadap Cikgu. Jika tidak untuk meminta maaf, mungkin kerana Cikgu akan memanggil saya untuk menerangkan mengapa markah saya teruk begitu.

Layankan saja.