Sunday, February 5, 2012

20 sen

Waktu petang di sekitar taman perumahan Taman Kantan Permai biasanya sentiasa cerah. Cahaya matahari asar yang kuning keemasan yang menyinari seluruh taman membuatkan taman itu seolah-olah sentiasa hidup dan bertenaga. Panas, tapi pada masa yang sama menenangkan mata yang suka termenung ke luar rumah.

Azan asar biasanya akan berkemundang di sekitar waktu itu; menandakan abah akan pulang dari kerja tidak lama lagi. Biasanya, kami adik-beradik tidak sabar untuk menunggu kepulangan abah kerana hanya dengan kepulangan abah, barulah pintu grill akan dibuka dan kami diberi izin untuk bermain di luar rumah.

Derum... Derum... Abah pulang dan motornya diparkir di simen luar rumah. Mak mengambil kunci dan langsung ke pintu untuk membuka pintu grill.

Kami adik-beradik pula, berdesup berlari ke depan. Kononnya untuk menyambut abah pulang, hakikatnya masing-masing sudah tidak tahan untuk bermain dan beriangan di luar.

Cuaca yang kurang terik tetapi masih menyilau mata tidak berapa dilayan. Kami terus ke tengah jalan ke arah masing-masing. Saya dan adik lelaki biasanya ke jalan TKP 1, kerana di situ biasanya budak-budak lelaki berkumpul. Kakak dan adik-adik perempuan pula, saya tidak pasti apa di mana mereka berkumpul dan apa yang biasanya mereka lakukan.

Sebelum keluar, biasanya kami tidak lupa untuk buat satu perkara. Satu perkara yang seolah-olah menjadi kemestian. Kami akan minta duit dari abah. Untuk belanja beli jajan.

Tak banyak. 20 sen sahaja.

Kemudian baru kami betul-betul berlari ke luar rumah.

Dengan 20 sen itu, saya boleh ingat, banyak benda yang berjaya kami beli. Banyak jenis makanan ringan yang mampu kami rasa.

Antara beberapa jenis jajan yang amat kami suka adalah choki-choki. Coklat dalam tiub yang boleh dimakan dengan pelbagai cara. Boleh dimakan begitu sahaja atau kadang-kala, bila terpengaruh dengan iklan di TV, kami sapu atas roti. Pada zaman itu, saya masih ingat, ada choki-choki pendek, ada choki-choki panjang. Yang pendek 10 sen, yang panjang 20 sen. Kami biasanya beli yang pendek sebab lebih berbaloi. Dua choki-choki 10 sen, panjangnya lebih dari satu choki-choki 20 sen.



Pada waktu itu juga, benda yang agak berbaloi untuk dibeli adalah sugus atau gula-gula. Dengan 20 sen, 5 biji sugus mampu kami dapat. Cuma kalau ada kedai yang jual mahal, 20 sen boleh dapat empat sahaja. Kalau beli sugus, saya akan makan satu demi satu; selang 30 minit. Sayang nak habiskan sebab sedap. Kalau habis, kena tunggu esok untuk beli lagi. Biasanya warna yang paling saya suka adalah warna merah. Merah untuk strawberry. Oren untuk oren. Ungu untuk anggur dan hijau untuk epal. Tapi saya tak akan ambil warna hijau kerana merasakan hijau adalah warna sayur dan untuk memakan gula-gula yang berasa sayur (seperti sawi), saya tak berapa boleh terima. Walaupun hakikatnya, rasanya yang sebenar adalah rasa epal.



Selain itu, antara jajan yang paling awal yang mampu saya ingat adalah Wafel Apollo yang panjang-panjang. Ada rasa coklat, ada rasa strawberry, ada juga rasa kacang tanah. Ketiga-tiga saya tidak suka, tapi sebab adik-adik yang lain selalu beli yang itu, saya pun akur beli sama sepeti mereka.



Owh ya, lagi satu jajan adalah gula-gula coklat berbentuk pelet yang biasanya dalam bungkusan berbentuk lapan dan dalam iklan, ditunjuk boleh dibuat topeng. Sangat suka kupil satu demi satu untuk mengambil coklat di dalam. Bila sangat sayang untuk habiskan, saya tekan gula-gula coklat tu dengan kuku sampai retak macam pizza, dan ambil sikit-sikit supaya tidak cepat habis.

Ada banyak lagi jajan yang boleh kami dapat hanya dengan 20 sen. Keropok jagung perisa durian, keropok rota, bermacam jenis gula-gula, chewing gum yang pelbagai rasa dan warna, Super Ring, Bika dan lain-lain. Ada juga jajan yang sukar untuk kami dapat (kecuali kalau menyimpan 2-3 hari atau mak dan abah tiba-tiba baik hati belanja) seperti Ding-Dang (50 sen), Tora (RM 1) dan beberapa lagi jajan lain yang lebih mahal.

Bagaimanapun, apabila meningkat ke sekolah rendah, 20 sen tersebut sudah semakin kurang nilainya. Semakin banyak jajan kami meningkat dari 20 sen ke 30 sen. Cloud 9, kek coklat Hero, dan beberapa lagi makanan ringan. Kami tidak pasti, kenapa makanan ringan tersebut tiba-tiba naik harga. Mungkin kerana kegawatan ekonomi pada 1998, tapi pada pemahaman budak sekolah rendah, kami tidak berapa faham apa erti "gawat" dan "kenapa kami tak mampu lagi beli makanan-makanan tersebut", "apa kaitannya?"

Untuk minta duit tambahan dari abah, kami rasa, lebih baik kami tidak berbuat begitu kerana teringat kata abah, "Kesiannya anak-anak abah, dah sekolah pun masih dapat 20 sen sahaja. Nak bagi lebih, tapi itu sahaja yang boleh abah bagi. Apa lah yang korang boleh beli dengan 20 sen."

Ayat itu, seolah-olah menutup hati kami untuk meminta lebih. Kerana kami faham. Kami juga merasa apa yang abah dan emak rasa. 20 sen pun, 20 sen lah. Masih ada banyak benda yang boleh dibeli dengan duit tersebut.

Kami semakin besar, semakin faham dengan nilai duit dalam keluarga kami. Apa yang boleh kami buat pada masa tersebut, hanya belajar erti syukur. Kalau mahu beli sesuatu yang diluar kemampuan (sepeti gasing seringgit atau mercun thunder clap RM1.20), kami cuba menyimpan dengan duit belanja sekolah, walaupun nanti, akan kelaparan di kantin sekolah.

Walaupun tanpa jajan dari 20 sen, kami hakikatnya masih bergembira dan merasa menjadi kanak-kanak. Di lorong-lorong jalan taman perumahan, bermain layang-layang buatan sendiri atau bermain dengan selipar di kaki. Atau berkejaran di laman surau, atau melepak di tangga kedai. Dengan kawan-kawan yang sentiasa ada dan ibu bapa yang sentiasa menunggu di rumah, 20 sen atau 30 sen bukan sebab untuk menghalang kami belajar erti dewasa.

3 comments:

Anonymous said...

Sugus hijau rasa sayur sawi? Hahahaha!! Kanak-kanak zaman dulu mungkin lebih mudah memahami kan? Teringat masa kecil abang saya cakap pada ibu "kalau tak masuk Parkson, lalu depan Parkson pun jadilah.." :)

nhanunmr said...

Aiskrim roti pun 20sen. 20sen mengajar erti hidup!

Unknown said...

nhanunmr: Ais krim roti yang mana ye? (kurang ingat, tapi bunyi macam sedap)

Anonymous: Hahaha. Biasala... Orang-orang macam kita.... Dapat sipi-sipi pun cukup la.